Halaman

07 March 2012

Wali Band gegar Kuala Terengganu, pukau 15,000 penonton

Oleh FAUZI MOHD dan SURIATI ALI
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Wali Band membuktikan pengaruhnya di Terengganu apabila berjaya menambat hati kira-kira 15,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert mereka di Kompleks Sukan Gong Badak, malam tadi.

Berkongsi pentas bersama kumpulan rock remaja, Azlan & The Typewriter dan penyanyi Hattan, konsert percuma itu diadakan sempena Karnival Generasi Belia Gemilang anjuran bersama Kelab Remaja Terengganu (KRT) dan Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Kumpulan yang popular dengan album Cari Jodoh itu begitu melekat di hati peminat tempatan menerusi alunan vokalis kumpulan itu, Fa’ank serta dianggotai Apoy (gitar), Ovie (keyboard), Tomi (drum) dan Nunu (bass).

Pengunjung yang nyata tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan sepuluh lagu-lagu hebat Wali Band termasuklah Baik-Baik Sayang, Ingat Sholawat, Tobat Maksiat, Orang Bilang, Puaskah dan berakhir dengan lagu popular mereka, Yank.

Tidak melepaskan peluang turun bersama golongan belia meraikan kemeriahan karnival dan konsert itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat.

Pengerusi KRT, Saiful Bahri Bahruddin berkata, pemilihan kumpulan itu sebagai penampilan utama kerana elemen seni dan muzik yang dipersembahkan mampu mendidik masyarakat dengan lagu berkonsepkan ketuhanan serta berunsur irama tradisional.

“Pendekatan ini dilihat boleh menjadi wadah untuk menarik minat golongan belia berkumpul dan bergaul secara positif serta mahu mengekalkan hubungan stategik bersama pertubuhan-pertubuhan belia di daerah dan negeri ini,” katanya semasa ditemui pemberita pada program berkenaan.

Tambah Saiful Bahri, karnival yang dilaksanakan secara santai itu memfokuskan kepada kecenderungan dan pilihan belia, sekaligus menyediakan ruang kepada mereka menonjolkan diri secara sihat dan positif.

Katanya, ia turut melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan sukan seperti futsal, Street Soccer 3On 3, sepak raga, badminton, bola tampar, ping pong, acara basikal fixie, pertunjukkan permotoran dan pertandingan lasak, Muay Thai.

“Selain menwarkan hadiah pertandingan lebih RM50,000, pameran peluang kerjaya dan pendidikan turut mendapat tempat pada karnival empat hari itu,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri.

Katanya, karnival itu diteruskan ke setiap daerah iaitu Padang Astaka, Kemaman pada 7 hingga 9 Mac, Padang Astaka Kuala Berang, Hulu Terengganu (10 hingga 13 Mac), Stadium Mini Besut (11 hingga 14 Mac).

“Karnival sama dengan penampilan utama kumpulan Wali Band ke daerah Dungun, Setiu dan Marang akan ditentukan kemudian pada April depan,” ujarnya.