Halaman

05 March 2012

Pemuda Umno terima 90,000 pengundi belia

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu berjaya mendaftarkan hampir 90,000 pengundi baru di kalangan belia di seluruh negeri ini.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin Jumlah pendaftaran yang dikemaskini pada akhir tahun lalu itu, merupakan satu angka tertinggi yang pernah dicatatkan oleh Pemuda Umno Terengganu.

Katanya, perkembangan positif seumpama ini seolah-olah sudah memberi gambaran awal bahawa Barisan Nasional mampu menang selesa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Kita yakin Umno dan BN mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.

“Semua jentera parti di 32 Dewan Undangan Negeri sudah lama menyusun gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurutnya, Pemuda Umno kini sedang giat menggempur di seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat, selain menyakinkan bahawa Umno dan BN adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

“Kita atur gerak kerja mengikut peti undi. Dengan bantuan Ketua-ketua Bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya.

Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa.

“Selaku sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apa pun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.