Halaman

07 March 2012

Siasat segera punca permainan hambar

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kehebatan skuad Penyu yang berjaya mengalahkan Kelab Vietnam , Song Lam Nghe An menerusi aksi sulung Kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam menarik perhatian peminat nombor satu bola sepak negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menundukkan juara liga super Vietnam dan berharap semua pemain dapat bermain cemerlang dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan yang berkesudahan Terengganu membenam Vietnam 1-0 di Stadium Vinh, Vietnam semalam, Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad penyu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-51.

Perlawanan seterusnya Terengganu akan bertemu dengan pasukan Kitchee FC (Hong Kong) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pada 20 Mac depan.

“Sebagai tuan rumah saya menaruh harapan pemain-pemain kita dapat memberi persembahan terbaik dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi.” katanya.

Mengenai masalah stadium yang dikatakan tidak cukup pencahayaan,perkara berkenaan akan diselesaikan sebaik mungkin namun perlawanan terdekat akan diadakan pada sebelah petang.

Dalam perkembangan lain Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat menyiasat secara terperinci mengenai mutu permainan pasukan Terengganu yang tidak menentu.

Menteri Besar mengambil contoh pada perlawanan dengan Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka Sabtu lalu, terlalu pincang serta gagal menunjukkan permainan yang sebenarnya.

“Walau pun kita menang, tapi saya kecewa dengan corak permainan yang ditunjukkan, seolah ada sesuatu yang tidak kena dan berharap pihak pengurusan PBSNT membuat siasatan segera,” katanya.

Beliau juga mengingatkan supaya persembahan buruk itu tidak membabitkan tindakan pemain terlibat dengan rasuah mahupun sebarang masalah yang berbangkit, selain mahu keserasian dapat dibentuk antara pemain tempatan dan pemain import.