Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Tohmahan pembangkang bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat sebagai rasuah jelas menghina golongan berpendapatan rendah dan orang miskin.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia membuktikan pembangkang sudah ketandusan modal cuba meraih simpati masyarakat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
“Ini satu penghinaan pembangkang terhadap orang miskin dan golongan berpendapatan rendah. Kita tidak boleh menghina orang ramai kerana menerima BR1M.
“BR1M adalah bantuan kebajikan yang disalurkan Kerajaan Pusat untuk meringankan beban mereka berpendapatan rendah dan ia bukan rasuah seperti didakwa pembangkang.
“Sebagai umat Islam, sepatutnya kita bersyukur atas usaha kerajaan memberi bantuan bukan sahaja BR1M tetapi juga bantuan RM100 kepada pelajar dan baucar buku RM200,” katanya selepas menyampaikan bantuan BR1M di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Kemaman, hari ini.
Seramai 1,275 orang menerima BR1M membabitkan peruntukan sebanyak RM637,500.
Mengulas lanjut, Dato’ Seri Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang itu.
Sebaliknya, menurut beliau, rakyat perlu menilai dengan bijak bantuan oleh kerajaan adalah untuk membantu semua masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik masing-masing.
“Bantuan ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah di negara ini,” katanya.
Katanya, pembangkang langsung tidak berusaha membantu meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Kita lihat pembangkang menghulurkan bantuan seperti beras satu kampit dan makanan lain tetapi tidak menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, bantuan tersebut membuktikan keupayaan ekonomi negara serta pemimpinnya yang cekap mampu memberi kesejahteraan hidup kepada golongan berpendapatan rendah.