Halaman

08 March 2012

Kerajaan responsif, tuntut komitmen setimpal : Penjawat awam

Oleh: Aida Abd Rahman

Penjawat awam di negeri ini menyambut baik dan menganggap berita gembira yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengekalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik melonjak momentum baru kepada sektor itu bagi memberi komitmen yang setimpal dan meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Malah, pengumuman pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus) membuktikan pucuk pimpinan sentiasa responsif dan komited terhadap kumpulan penjawat awam.

Ketua Penolong Setiausaha (Korporat) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu , Puan Afnida Alwi, berkata kenaikan yang dinikmati semua penjawat awam yang lebih telus dan adil itu pastinya suatu yang relevan dan mampu mengelakkan ketidakadilan dalam aspek gaji yang sering membelenggu kumpulan penjawat awam sebelum ini.

“Ini satu `hadiah’ cukup bermakna oleh pucuk pimpinan yang sering mendengar suara rakyat terutama penjawat awam yang menjadi nadi pembangunan dalam usaha memastikan mutu dan perkhidmatan golongan itu sentiasa mencapai tahap terbaik dan optimum,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Sementara Penolong Pengarah (Usahawan dan IKS) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Encik Nik Fahmi Nik Nordin, berkata penjawat awam perlu menerima keputusan kerajaan itu sebagai cabaran yang realistik untuk memberikan pulangan setimpal dengan apa yang diterima.

“Kenaikan gaji serta faedah sampingan kepada semua penjawat awam sesuatu yang perlu dilihat secara komprehensif yang menuntut kepada transformasi budaya kerja supaya sektor awam menterjemahkannya kepada pencapaian kerja yang lebih berdaya saing dan bermutu,” katanya.

Dalam pengumuman itu juga, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat pada masa depan.

Selain itu, jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.

Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.