Gagal pada percubaan terakhir pada peringkat ke-10 Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk
meraih juara peringkat, tidak mengecewakan peminat tempatan malah Mohd. Harrif Salleh tetap menjadi kebanggaan penduduk Terengganu.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu hanya berpuas hati ditempat keempat dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu dan perlu mengakui tahun ini Andrea Guardini (Farnese Vini-Selle Italia) adalah raja pecut dan jaguh ketika perlumbaan berakhir dalam kelompok yang besar.
Harrif menduduki tempat keempat di belakang Guardini, Jacobe Keough (United Healthcare) kedua dan Sonny Colbrelli (Colnago CSF Inox), tatkala pencapaian terbaiknya pada edisi ke-17 ini ialah muncul naib juara di peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai Jumaat lalu.
Saingan sejauh 114.8 kilometer, bermula dari Tasik Kenyir menuju ke Dataran Shahbandar dan menawarkan tiga zon pecutan, menyaksikan Harrif gagal pada saingan terakhir apabila berlaku pergelutan ketika dua kilometer menuju ke garisan penamat.
Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, dia berada pada posisi terbaik semalam untuk melakukan pecutan juara namun tindakan pelumba Europcar, Matteo Pelucchi menyikunya menyebabkan pelumba berusia 24 tahun itu tersasar pada landasan.
"Saya sedih kerana tidak menang hari ini namun sukar bagi saya keluar ke depan kerana saingan cukup laju ditambah pula dengan pelumba Europcar itu bermain kotor apabila menyiku saya sehingga terkeluar dari posisi terbaik," katanya.
Jelasnya, ketika melihat ke belakang pada dua kilometer terakhir tidak ada pelumba Malaysia lain, hanya Anuar Manan, pelumba Champion System itu terlalu jauh daripadanya.
Harrif menamatkan saingan peringkat terakhir itu di kedudukan keempat dengan catatan dua jam 36 minit 42 saat.