Halaman

07 March 2012

Piala AFC 2012 : Skuad Penyu jinakkan kelab Vietnam 1-0

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh semalam, Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.

Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.

Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.

Terengganu yang turun tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof akibat kecederaan diletakkan dalam Kumpulan E berhadapan saingan Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Roves (Singapura).

Juara Piala FA 2011 itu bakal berdepan dengan Kitchee dalam perlawanan seterusnya, 20 Mac ini.