Kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah peringkat akhir kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali kedua tahun depan jika masih diberikan peluang itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia ekoran sambutan hangat yang diterima daripada penduduk sepanjang dua hari perlumbaan LTdL di negeri ini terutamanya ketika memasuki peringkat kelapan iaitu dari Pekan menuju ke Chukai, Kemaman.
Menurutnya, beliau difahamkan ketika pelumba memasuki Chukai lebih 10,000 rakyat Terengganu datang memberi sokongan terutamanya selepas pelumba Terengganu, Mohd. Harrif Salleh dari pasukan TSG (Terengganu Cycling Team) menaiki podium di tempat kedua.
"Justeru, saya berharap tahun depan Terengganu akan diberi peluang sekali lagi menjadi tuan rumah dan kita juga bersedia untuk membuat penajaan.
“Ini secara tidak langsung dapat memberi suntikan semangat kepada atlet pelapis lumba basikal di negeri ini untuk berusaha dengan lebih kuat seterusnya mampu menyertai acara berprestij ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam bagi meraikan petugas LTdL di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk kelmarin.
Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Zolkples Embong; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab; Ketua
Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal serta Pengerusi Jawtankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat.
Turut hadir Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa; Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad turut berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan TSG dalam perlumbaan LTdL kali ini.
"Saya bersyukur kita mampu memberi saingan walaupun ini adalah penampilan kita yang kedua dalam kejohanan lumba basikal yang amat berprestij ini," katanya.