Halaman

10 March 2012

Pulau Petang saji keindahan

Oleh: Suriati Ali

Pertama kali menjejak kaki di Pulau Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terenggganu pasti menjanjikan pengalaman yang cukup indah dan menarik buat pengunjung `dek’ tarikan panorama menghijau dan udara yang menyegarkan.

Suasana itu membuatkan pelancong seakan terpanggil untuk mengunjunginya buat kali kedua supaya setiap keindahan dan kemudahan yang terdapat di lokasi itu dapat dimanfaat sepenuhnya.

Perjalanan menaiki bot laju ke Pulau Petang yang mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit bagaikan tidak terasa berikutan setiap detik pergerakan pengunjung disajikan pemandangan yang cukup indah dengan kicauan pelbagai jenis unggas, deretan pokok bakau dan air sungai yang jernih.

Sebaik tiba di pulau yang berkeluasan 9.35 hektar itu, pemandangan anda pasti tertarik untuk melihat puluhan gambar dan beberapa koleksi barangan berharga yang dipamerkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di bangunan khas kaki lima pulau itu.

Pelbagai aktiviti menarik boleh diikuti pengunjung setiap kali singgah, antaranya memancing, merendah hutan, berkhemah, menyusuri sungai, mendaki gunung, berkayak dan `flying fox’.

Jika anda ingin berehat, Petang Island Resort ada menyediakan beberapa kemudahan seperti:- ,

Chalet eksekutif- rumah kayu dua tingkat, dilengkapi peralatan moden, direka dan dihiasi mirip kediaman sendiri.

Chalet biasa- menempatkan ruang tidur berkembar dan kemudahan bilik air yang selesa.
Penginapan asrama- sesuai bagi mereka yang datang secara berkumpulan atau rakan persatuan.

Bahtera Petang- penginapan terapung yang cukup unik, dilengkapi dua bilik tidur dan ruang tamu. `Deck’ di tingkat atas sesuai untuk majlis keraian dan jamuan ringan.
Bagaimana ke sana:-

Jika dari Kuala Lumpur anda perlu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kuantan- Jerangau Jabor dan seterusnya ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.