Halaman

06 March 2012

400 hektar perintis tanaman Pisang Berangan, Cavendish di tiga rancangan Felda

Oleh FAUZI MOHD

Felda bercadang mewujudkan projek penanaman pisang secara komersial di kawasan tanah rancangannya di negeri ini dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi peneroka selain menambah pendapatan golongan itu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd Malib Abd Rani berkata, bagi menjayakan usaha itu, sebanyak 400 hektar tanah dari tiga rancangan penempatan Felda akan terlibat bagi penanaman pisang untuk tujuan eksport.

"Buat permulaan, kita sasarkan lebih 130 hektar tanah di setiap tiga rancangan Felda ini akan ditanam dengan pisang kerana kita mahu mendokong transformasi kerajaan dalam program Gedung Makanan Negara dilaksanakan di tanah rancangan Felda.

"Projek itu kini di peringkat permulaan dan kita telahpun mengenalpasti kawasan dan kaedah penanaman yang sesuai bagi menjana hasil lumayan dan konsisten," katanya baru-baru ini.

Tambah Abd Malib, tiga penempatan yang terlibat ialah Felda Tenang di Besut, Felda Chalok dan Felda Chalok Barat di Setiu.

Katanya, dua jenis pisang yang akan ditanam untuk projek itu ialah Berangan dan Cavendish.

“Kita tanam pisang ini bukan ambil anaknya dari benih tetapi kita ambil dari pengeluaran klon tisu kultur pisang.

“Pengeluaran hasil pertama mengambil masa 10 bulan dan jangka hayat pisang ini boleh mengeluarkan tiga pusingan buah untuk satu pokok," katanya.

Jelas beliau, bagi menjaga mutu dan kualiti produk, hanya hasil pertama iaitu Gred Premium akan dipasarkan untuk eksport manakala hasil seterusnya untuk pasaran tempatan.

"Kita (Felda) juga membuat kerjasama bersama Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) serta Jabatan Pertanian negeri bagi menjayakan usaha ini," ujarnya.