Halaman

22 March 2012

iSHARP sasar 81 peratus eksport udang ke Jepun

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan melepaskan anak udang ketika mencemar duli mendengar taklimat operasi iSHARP di Setiu, Terengganu.

Oleh FAUZI MOHD

Gambar oleh Mohd Yahya Muda

Blue Archipelago Berhad yang memajukan penternakan udang putih di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh, Setiu mensasarkan 81 peratus hasil pengeluarannya dieksport ke negara Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Ibrahim berkata, selain faktor permintaan yang tinggi, Jepun antara negara yang menempah udang tanpa kepala dan kulit.

Faktor itu katanya, membawa kepada kewujudan industri hiliran kepada usahawan tempatan dengan membuka kilang pemprosesan lain pada masa depan.

“Sisa kulit dan kepala udang boleh diprosesuntuk dijadikan baja. Tapi, ia perlu kajian mendalam dari pelbagai sudut termasuk teknologi dan pasaran jika ada minat daripada pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan taklimat operasi iSHARP sempena keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke ladang itu hari ini.

Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha’ari Idris dan kenamaan lain.


Tambah Abu Bakar, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang putih terbesar negara apabila projek iSHARP beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata, dalam tempoh percubaan ini, ladang seluas 1,000 hektar itu sudah mengeluarkan hasil sehingga enam tan, iaitu lebih satu tan daripada sasaran awal.

“Menerusi fasa pertama, 216 kolam ternakan akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 2,100 tan udang setahun dan menjelang tahun 2013, sebanyak 400 kolam akan dibina.

"Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, iSHARP mampu menyediakan sehingga 1,200 peluang pekerjaan terutamanya kepada anak tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, ladang iSHARP dibangunkan Blue Archipelago, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad khusus untuk menternak udang secara teratur dan terkawal.

Katanya, kewujudan projek itu antara lain bagi menyuburkan perkongsian swasta, kerajaan negeri dan persekutuan bagi merancang gugusan akuakultur udang secara moden.

“Fasa kedua tahun hadapan, iSHARP akan mempunyai 400 kolam ternakan udang yang mampu menghasilkan 3,920 tan udang setahun.

“Apabila siap sepenuhnya, hasil pengeluaran iSHARP dijangka mencecah nilai pasaran RM78 juta setahun dan udang ini turut dieksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya.

Katanya, pusat pembenihan udang di ladang itu mampu mengeluarkan satu bilion benih udang setahun, cukup untuk menampung keperluan iSHARP dan penternak kecil di Pantai Timur.

"Pada masa ini, 48 kolam telah mengeluarkan hasil udang dan seramai 108 pekerja telah memulakan tugas di iSHARP dimana 85 peratus daripada mereka adalah anak Terengganu.

"Pekerjaan yang diwujudkan itu mampu menjana pendapatan RM12 juta setahun dan secara langsung mampu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.


Skuad Mubaligh kesan Muallaf

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menubuhkan Skuad Mubaligh sebagai langkah mengesan dan menjejaki 1,498 Muallaf yang tidak aktif.

Berdasarkan rekod sepanjang 21 tahun iaitu berakhir 2011, seramai 2,058 orang telah memeluk Islam dan hanya 560 Muallaf dikesan aktif dengan mengikuti kelas bimbingan saudara kita di 18 lokasi seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya serius mengesan mereka kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan berlaku termasuk akan kembali kepada agama asal.

“Kebanyakan mereka gagal dikesan kerana dikaakan telah berkahwin, sudah berpindah ke negeri lain dan mendapat pendidikan agama Islam daripada keluarga angkat.

“Terdapat juga antara mereka lebih berminat mendapatkan ilmu Islam secara bersendirian dengan menghadiri cemarah agama di masjid atau surau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, semalam.

Haji Wan Harujan berkata, Skuad Mubaligh yang dianggotai 7 ahli berketurunan Cina, Orang Asli, India dan Kemboja itu akan mengesan secara terperinci termasuk mengambil tahu tentang pemahaman dan amalan hidup, tempat tinggal dan sebagainya.

“Pihaknya meluluskan peruntukan RM360,000 bagi membiayai aktiviti skuad itu sepanjang tahun ini,” katanya.







Kemasukan pelancong ke pulau perlu dihadkan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mungkin mengehadkan kedatangan pelancong ke pulau-pulau di negeri ini, terutama Pulau Redang bagi memulihara habitat laut.dan mengelak kawasan berkenaan daripada pencemaran alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata langkah itu amat wajar kerana hidupan laut seperti batu karang dan penyu kini semakin pupus akibat kelalaian pengusaha chalet dan pelancong.

Katanya, pelbagai faktor boleh menyebabkan aset laut itu mudah rosak, antaranya penggunaan `kaki itik’ (alat renang) serta sisa buangan seperti air sabun dan syampu.

“Pihak kami serius membendung masalah seumpama ini kerana dibimbangi generasi akan datang tidak lagi mengenali apa yang dimaksudkan batu karang.

“Kita masih lagi berbincang mengenai bagaimana cara mengatasi perkara ini secara berkesan supaya tidak mendatangkan kerugian mana-mana pihak iaitu kepada alam sekitar dan pengusaha chalet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak 12 Kelab Program Pelancongan pelbagai sekolah di negeri ini menerima bantuan keseluruhan RM6,000 di mana setiap kelab mendapat RM500.

Dato’ Haji Rahin turut memberitahu, jumlah 2,000 pelancong yang mengunjungi pulau dalam tempoh sehari dianggap sudah memadai kerana dalam kadar itu penggunaan sisa buangan dapat dikawal.

“Mewujudkan pakej tertentu kepada pelancong seperti perlu berada di mana-mana lokasi menarik di daratan seperti di Tasik Kenyir, selama dua hari satu malam manakala berada di pulau pula dalam tempoh bersesuaian adalah wajar sebagai langkah mengatasi masalah yang dihadapi sekarang,” katanya.


Empat pelajar cacat turut cemerlang SPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kekurangan dan kecacatan tidak menghalang empat Calon Berkeperluan Khas (CBK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 mencapai keputusan cemerlang mengatasi calon normal yang lain.

Tiga daripada mereka adalah pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, iaitu Nurul Alwani Mohd Zaib (kecacatan saraf) memperolehi 6A+, 2A, 2A- dan 1B+; Muhammad Azizi Mohd Rashdi (masalah pendengaran) 1A+, 4A, 5A- dan 1B+ serta Muhammad `Izzat Mohamad (sawan) mendapat 2A, 2A-, 3B, 1C+, 2C, 1D.

Seorang lagi pelajar Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman, Mohamad Amaluddin Othman yang mengalami masalah pendengaran mendapat 3A,1A-,2B+, 1C+ dan 2D.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata empat calon cemerlang itu merupakan 37 daripada keseluruhan calon CBK SPM 2011, berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya.

“Jumlah CBK yang berjaya memperolehi sijil SPM meningkat berbanding tahun lalu. Seramai 25 calon (67.57 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 24 calon (58.54 peratus) pada 2010,” katanya.

Katanya, semua calon itu mendapat peluang yang sama seperti calon normal yang lain untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya menerima pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan bagi memenuhi keperluan mereka.

Sementara itu, Terengganu terus mengungguli kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila merekodkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN), pencapaian keputusan Gred Cemerlang dan Minimum C berbanding pencapaian pada 2010.

Malah, keputusan itu turut mencatat rekod terbaik dalam tempoh empat tahun yang mana GPN meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 serta mengatasi Gred Purata Nasional (5.04).

Manakala lapan sekolah berjaya mencapai keputusan terbaik berdasarkan Sekolah Berpencapaian Cemerlang (GPS 2.25 ke bawah).

Sekolah berkenaan, SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu(1.48),Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu)(1.71), diikuti SM Imtiaz Dungun (1.82), SM Sains Kuala Terengganu (1.85), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (1.86), SMKA Sheikh Abdul Malek (2.00), SMK Tengku Mahmud (Besut) (2.17) dan SM Imtiaz Kuala Berang (Hulu Terengganu) (2.18).




Program Jejak Inovasi 2012

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Program Jejak Inovasi Peringkat Negeri Terengganu bakal berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC),Kuala Terengganu pada 6 hingga 8 April ini.

Jurucakap program berkata, program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, karnival ini melibatkan aktiviti seperti ‘scouting’ jejak inovasi, pameran inovasi dan YIMKid Invent yang akan disertai oleh pakar inovasi, sukarelawan, pelajar sekolah rendah dan agensi yang terlibat.

“Beliau berharap orang ramai di negeri ini di semua peringkat, memberi sambutan yang baik dan datang beramai-ramai ke karnival yang amat istimewa ini.

"Pelbagai pameran dan acara yang akan diadakan selama pameran ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita hari ini.





Politeknik Sultan Mizan muncul terbaik di Konvensyen Six Sigma

Oleh; Esah Abdullah

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu (PSMZAT) muncul pasukan terbaik dalam Konvensyen Six Sigma Jemputan Politeknik Malaysia 2012 yang diadakan di Bandaraya Melaka Bersejarah baru-baru ini.

Pensyarah pengiring PSMZAT, Puan Yusma Mohd Yusof berkata, lapan politeknik dari seluruh negara termasuk dari Terengganu terpilih menyertai program itu dan telah membuat pembentangan kertas kerja masing-masing dengan menggunakan kaedah Six Sigma Dmaic iaitu Define, Measure, Analyze, Improve dan Control.

“PSMZAT menang menerusi projek bertajuk ‘Langkah Mengatasi Kelemahan Sistem Wifi di Kolej Politeknik Sulatan Mizan Zainal Abidin’,” katanya.

Katanya, empat peserta mewakili pasukan ialah, Norhayaty Abdul Wahab,21; Mariyati Alwi, 21; Wan Nurul Amilah Ibrahim, 21 dan Fatimatuliyana Jusoh, 22, begitu teruja kerana terpaksa bersaing dengan puluhan peserta dari seluruh negara.

Menurutnya, sebelum sesi pembentangan diadakan semua peserta diberi kursus selama 12 hari yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman bagi mendalami kemahiran kaedah yang digunakan secara meluas dalam industri pekerjaan di Malaysia, selain negara maju lain bagi membantu pengurusan organisasi.

“Kursus ini memberi input berguna berkaitan kemahiran seperti komunikasi, persembahan dan kemahiran menghadapi temuduga pekerjaan,” katanya.





SM Sains Sultan Mahmud kekal legasi terbaik SPM

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam pencapaian peperiksaan awam apabila muncul sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 seluruh Terengganu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata berdasarkan Sekolah Berpencapaian Cemerlang (GPS 2.25 ke bawah) sebanyak lapan sekolah seluruh negeri berjaya mencapai keputusan terbaik pada peperiksaan SPM 2011.

“ Mendahului carta kedudukan sekolah terbaik,SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dengan GPS 1.48, kedua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu) (1.71), diikuti SM Imtiaz Dungun dengan pencapaian 1.82.

“Manakala keempat SM Sains Kuala Terengganu (1.85), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (1.86), diikuti kedudukan kelima SMKA Sheikh Abdul Malek (2.00), SMK Tengku Mahmud, Besut dengan pencapaian 2.17 dan kelapan SM Imtiaz Kuala Berang (Hulu Terengganu) (2.18),” katanya.

Beliau berkata, prestasi mata pelajaran juga bertambah baik apabila 47 daripada 72 mata pelajaran diambil calon SPM negeri ini menunjukkan peningkatan yang menggalakkan daripada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Katanya, bagi kategori cemerlang sebanyak 35 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang (A+, A atau A-).

“Sebanyak 18 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus untuk gred cemerlang , manakala sebanyak 18 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang.

“Bagi prestasi gred kepujian (B+,B, C+, C) pula sebanyak 21 mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus, 24 mata pelajaran adalah stabil, manakala 26 mata pelajaran menunjukkan penurunan tiga peratus ,” katanya.

Menurutnya, bagi kategori lulus (D dan E) pula sebanyak sembilan mata pelajaran menunjukkan pertambahan melebihi tiga peratus, 47 mata pelajaran pula menunjukkan stabil dan 15 mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan melebihi tiga peratus.

Encik Hashim berkata, bagi kategori gagal (G) 25 mata pelajaran menunjukkan penurunan, 34 mata pelajaran tidak berubah dan 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan.



Adik Nurulssayahmah disambut meriah pelajar dan guru




Oleh: Mohammad Ishak

Adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi,13, dari SMK Wataniah, Jertih yang baru menjuarai Program Realiti Anak-Anak Ku Musim Ke 3 anjuran JAKIM dan RTM Ahad lalu disambut meriah oleh rakan pelajar guru-guru sekolahnya semalam.

Pada majlis meraikan kejayaan iru lebih 800 pelajar sekolahnya menyambut sebaik ketibaaban beliau di perkarangan sekolah berkenaan seumapa seorang pemimpinb Negara.

Sambutan meriah yang di berikan itu sebagai menyokong pelbagai kejayaan yang diraih oleh pelajar berkenaan sekalgus mengharumkan nama sekolah dan daerah Besut.

Sempena sambutan yang dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu beliau turut membuat persembahan dan bacaan al-Quran.

Kejayaan beliau dikitiraf oleh pentadbiran sekolah dan memberi gelaran pelajar itu sebagai Wirawati SMKAWA 2012 ekoran kejayaannya dalam pelbagai bidang termasuk tilawah al Quran di peringkat negara dan antarabangsa.

Tahun lepas beliau memenangi tempat ke 3 dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Dunia yang diadakan di Dubai, Qatar.



Jangan maki, herdik pemain kita – Presiden PBSNT

Oleh FAUZI MOHD

Kekalahan 0-2 Terengganu kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC pada saingan Piala AFC 2012 kelmarin, ada sedikit teguran yang mahu disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh kepada para penyokong skuad Penyu itu.

Kata beliau, jadilah penyokong yang berjiwa sukan dan bukan hanya tahu memaki dan mengherdik para pemain apabila pasukan tewas.

Teguran itu dibuat ekoran sikap segelintir penyokong yang memaki para pemain Terengganu dengan kata-kata kesat sejurus perlawanan menentang Kitchee FC berakhir.

“Saya sendiri tidak faham apa tujuan mereka ke stadium. Saya tidak kisah kalau persatuan dikritik tetapi janganlah jatuhkan semangat pemain-pemain saya dengan kata-kata yang tidak membina,” katanya semalam.

Lebih memburukkan keadaan, Dato’ Che Mat mengakui kumpulan kecil penyokong itu seperti sengaja membuat hal di stadium terutamanya pada masa rehat mahupun selepas perlawanan berakhir.

“Pemain bukan hanya dimaki ketika dalam permainan, tetapi sepanjang mereka memasuki bilik persalinan, ada juga suara-suara sumbang yang menjatuhkan maruah pemain.

“Saya sangat kecewa dengan situasi ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan fokus para pemain, tetapi juga menganggu penonton-penonton lain,” katanya.

Terdahulu, Terengganu gagal meraih tiga mata penuh apabila tewas kepada lawan dari Hong Kong itu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris kini menghuni kedudukan kedua Kumpulan F, ketinggalan tiga mata di belakang Kitchee FC.

“Apapun, saya berbangga dengan keseluruhan penyokong kita yang telah memberi kerjasama sepanjang perlawanan berlangsung.

“Mereka mengikut peraturan yang ditetapkan dan sentiasa mematuhi arahan-arahan daripada pihak berkuasa seperti Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan polis,” tambahnya.


Janji BN Terengganu - 5,500 nelayan dapat RM200

Dato' Seri Haji Ahmad Said melambai tangan ke para nelayan sebaik tiba di Dewan Besar Wisma Darul Iman dalam majlis Menteri Besar bersama Nelayan. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu akan menaikkan kadar bantuan tahunan kepada lebih 5,500 nelayan di seluruh negeri ini daripada RM100 kepada RM200, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut beliau, agihan yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.1 juta itu terlaksana sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Katanya, bantuan yang diperkenalkan tahun lalu itu bukan ‘gula-gula’ pilihanraya, sebaliknya inisiatif kerajaan negeri untuk mengurangkan beban golongan itu khususnya pada musim tenkujuh.

“Walaupun tidak seberapa, bantuan ini sebagai saguhati kepada golongan nelayan di Terengganu. Selain itu, sebahagian besar daripada mereka turut menerima elaun sara diri berjumlah RM200 sebulan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama nelayan di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris.

Pada siri majlis kali keempat itu, lebih 1,000 nelayan dari seluruh negeri menerima bantuan bernilai RM100 seorang yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad.

Walau bagaimanapun kata beliau, golongan nelayan dinasihatkan tidak terpedaya dengan janji-janji manis pihak pembangkang yang lebih banyak bercakap dan berceramah untuk memburukkan pihak kerajaan.

“Banyak kes sebelum ini, mereka (pembangkang) menjadikan nelayan sebagai alat politik. Mereka buat demontrasi ajak nelayan. Buat ceramah ajak nelayan. Lepas itu kutip derma dari nelayan.

“Kerajaan nak dalamkan muara sungai pun, mereka (pembangkang) ajak nelayan tunjuk perasaan. Padahal, program yang dirancang kerajaan untuk faedah rakyat. Bila rakyat dapat manfaat, pemimpin pembangkang akan pening kepala. Saya tidak tahu kenapa,” katanya.