Halaman

29 March 2012

PKR mahu tanding 14 kerusi, PAS tersentak jadi ‘beruk’



Oleh FAUZI MOHD

Tradisi merebut kerusi di kalangan pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas kini mulai dirasai tatkala gendang pilihanraya mula dipalu di segenap ceruk negara.

Masing-masing merasakan mereka berhak untuk bertanding lebih kerusi daripada apa yang ditandingi pada tahun 2008.

Di Terengganu, PKR berhasrat untuk bertanding tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan, memandangkan pada pilihan raya umum lalu PKR bertanding 2 kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN yang menyaksikan kesemuanya rebah.

Tindakan Pas Terengganu yang dilihat memperkecilkan kewibawaan PKR untuk bertanding lebih kerusi telah mencetuskan kemarahan penyokong-penyokong parti Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ia berikutan tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Azman Sharpawi yang secara terbuka meminta PKR negeri itu mengukur baju di badan sendiri.

Beliau mungkin ‘terkejuk beruk’ dengan pengunguman PKR itu yang dibuat oleh Pengerusinya, Azan Ismail yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang.

"Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tonggak parti pembangkang di negeri ini," kata Azman seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Lanjutan penyokong-penyokong PKR kembali melakukan serangan ke atas Pas dan ia terbukti apabila sebuah blog milik penyokong PKR mempertikaikan kenyataan Azman.

"Penulis tidak ada masalah kalau rasa tidak puas hati ini disampaikan secara berhemah seperti mana adatnya berkomponen, masalahnya ialah bila Azman menyindir PKR negeri dengan meminta parti tersebut "mengukur baju di badan sendiri".

"Dari gaya bercakap, seolah-olahnya Pas negeri Terengganu yakin akan merampas semula negeri tersebut daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang tanpa bantuan sesiapa," kata penulis blog berkenaan.

Tidak hairanlah, Ketua Penerangan PKR negeri, Fariz Musa yang pernah tewas di Parlimen Kemaman pada PRU 12 membalas sindiran Azman Shapawi supaya Pas bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu.

“Adalah lebih baik seluruh 32 DUN di Terengganu diboloti Pas yang lebih hebat dan mampu menawan Terengganu dalam PRU 13 nanti tanpa melibatkan PKR yang dilihat sebagai liabiliti kepada Pas,” katanya yang dipetik dari sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan, Angkatan Muda Keadilan negeri seperti yang disiarkan akhbar tempatan mengeluarkan ugutan untuk memboikot aktiviti dan program Pas jika Azman Shapawi tidak menarik balik kenyataannya mengkritik PKR Terengganu sebelum ini.

Apa yang menarik, ramai penyokong-penyokong PKR mula mempertikaikan jasa Pas kepada pakatan pembangkang.

Mereka menganggap selama ini, Pas tidak menyumbang apa-apa kepada politik pembangkang sebaliknya mengharapkan PKR untuk melakukan serangan ke atas Barisan Nasional (BN).

Apakah perebutan kerusi antara Pas dan PKR ini hanya akan berlaku di Terengganu sahaja?



T-Team akur kekalahan, buru saingan Liga Super dan Piala Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Gagal menempah tiket separuh akhir Piala FA, T-Team beralih arah dengan memberi fokus terhadap saingan Liga Super untuk mengakhiri lima pasukan teratas carta liga musim ini.

Skuad bimbingan Yunus Alif itu terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Kedah dengan agregat 1-2 dalam perlawanan timbal balik suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa lalu.

Yunus berkata, kegagalan pasukan T-Team mengukir kejutan di laman sendiri sangat mengecewakan dan dilihat mempamerkan persembahan buruk dan hambar bertemu lawan.

"Saya terpaksa terima hakikat kekalahan anak didik saya dengan hati terbuka. Misi kami tidak akan terhenti dan akan terus berjuang dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia," katanya semalam.


Anak mangsa kebakaran di Pulau Perhentian dapat bantuan




Oleh: Mohammad Ishak


Anak mangsa kebakaran di Pulau Perhentian yang sedang belajar di sekolah mendapat bantuan dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran selepas rumah mereka musnah terbakar tiga hari lalu.

Bantuan berupa wang tunai, buku teks,pakaian sekolah, alat tulis dan peralatan lain itu di sampaikan sendiri oleh Pengarahnya, Zakaria Hussin dalam satu majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kuala Besut (SMKB) semalam.

Zakaria berkata, bantuan segera itu bagi membolehkan anak mangsa kebakaran di pulau peranginan itu supaya mereka dapat meneruskan pelajaran tanpa menghadapi masalah berikutan semua barang milik keluarga masing-masing musnah dalam kebakaran berkenaan.

Dalam kejadian itu dua keluarga nelayan di pulau itu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 1015 malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Besut,Ab Halim Hassan,

Beliau berharap menerusi sumbangan itu pelajar terbabit dapat meningkatkan semangat walaupun keluarga mereka kini menghadapi kesulitan hidup

Sebelum ini,keluarga berkenaan sudah mendapat sumbangan daripada penduduk setempat, Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Besut dan sumbangan peribadi ADUN Kuala Besut,YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

28 March 2012

Hantar pelajar ikuti pengajian Pusat Latihan TAECO

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Terengganu akan menghantar lapan pelajar lepasan diploma bagi melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Pusat Latihan TAECO Xiamen, China pada 20 April ini.

Kesemua pelajar itu akan mengikuti bidang Kejuruteraan Penyelenggaraan Kapal Terbang di pusat latihan itu dengan yuran pengajian dibiayai Yayasan Terengganu (YT).

Kira-kira RM1 juta dibelanjakan YT bagi tujuan itu di mana setiap Pelajar dikenakan yuran pengajian sebanyak RM124 ribu bagi tempoh dua tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kesemua pelajar yang dipilih itu adalah berkeluasan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan telah lulus cemerlang dalam ujian berkaitan yang diduduki.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan pusat latihan itu untuk terus menghantar lebih ramai lagi pelajar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menangani memorandum persahaman antara YT dengan Pusat Latihan TAECO Xiamen di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof dan Pengarah Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamarul Al-Amin Ismail.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menghantar sekurang-kurangnya sepuluh pelajar lepasan diploma untuk mengikuti pengajian di pusat latihan sama pada setiap tahun sekiranya melepasi syarat yang ditetapkan.


Jika PRU-13 Jun ini, tempoh daftar mengundi hanya tinggal tiga hari

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih sebelum Ahad ini berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini akan berakhir pada 31 Mac dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun (DPT ST) 1/2012 dijangka diwartakan pada bulan Mei ini.

"Kalau (pemohon) tidak terlibat dengan bantahan, mereka layak mengundi,” katanya yang dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pada suku tahun pertama tahun ini layak untuk mengundi pada PRU-13 sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bulan Jun dan ke atas.


YB Rozi minta ibu bapa pantau anak guna e-Book

Teks dan gambar oleh: Mastura Jamaluddin

“ Ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka menggunakan e-Book ketika berada di rumah bagi mengelakkan berlakunya masalah yang tidak di ingini.

“Gunakan sebaik-baiknya nikmat yang di berikan untuk mendapatkan ilmu supaya pendidikan di tingkatkan dan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, generasi yang celik It dan mampan.” kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Hj Rozi Mamat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Penyerahan e-Book kepada Pelajar Tahun 4 Peringkat DUN Telemong, di SMK Tun Indera, Tersat, semalam.



Beliau juga berharap supaya prestasi kecemerlangan Terengganu akan terus dikekalkan dalam UPSR dan meletakkan Terengganu sebagai negeri yang hebat dalam sistem pendidikan.

Katanya, lebih RM50 juta peruntukan dilaburkan untuk pendidikan di Terengganu dan ini membuktikan keperihatinan Kerajaan Negeri Terengganu dalam melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi.

Setakat ini, sebanyak 92326 buah e-Book telah di agihkan di seluruh negeri Terengganu meliputi pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 dalam usaha Kerajaan Terengganu melahirkan pelajar yang celik komputer dan mahir berinteraksi dalam alam maya.

TMT 2013- Sasar 4 juta pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mensasarkan untuk menarik lebih empat juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata untuk tujuan itu kerajaan akan memperhebatkan promosi terutama untuk menarik pengunjung ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir.

“Sasaran kita untuk menarik lebih empat juta pelancong pada TMT 2013. Tahun lepas Terengganu dikunjungi 3.8 juta pelancong manakala sasaran untuk tahun ini 3.9 juta,” katanya.

YB Dato’Abdul Rahin berkata untuk TMT 2013, kerajaan akan mengadakan pertandingan mencipta logo TMT 2013 yang dibuka kepada penuntut Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertemakan `Aspirasi Darul Iman — Satu Idea Seribu Harapan'.

“TMT 2013 juga akan mengetengahkan sukan lasak seperti pertandingan pacuan empat roda, buggy air serta pertandingan tradisional seperti perahu panjang.

“Penganjuran pelbagai sukan lasak di peringkat nasional mahupun antarabangsa akan terus dikekalkan kerana mahu menarik lebih ramai pelancongu sekaligus dapat merealisasikan TMT 2013,” katanya.


Sasar kelas maya di semua sekolah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mensasarkan semua sekolah di Terengganu melaksanakan konsep kelas maya menjelang 2015, sekali gus akan menjadikan negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri YB Ahmad Razif Abd Rahman berkata sasaran itu berdasarkan kejayaan yang dicapai menerusi projek perintis di tiga sekolah sebelum ini.

"Tahun ini kita akan melaksanakan kelas maya itu di 32 buah sekolah rendah terpilih dan dua sekolah menengah elit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu dan SMK Mak Lagam, Kemaman," katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin dapat melaksanakan kelas maya di semua sekolah rendah menjelang tahun depan, sebelum diteruskan di semua sekolah menengah.

“Berdasarkan pelaksanaan projek perintis di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong di Kemaman dan Sk Paya Bunga serta Sk Kompleks Seberang Takir pada awal tahun lepas, pelajar lebih teruja dan seronok berada dalam kelas maya berbanding dalam kelas biasa.
“Malah ada kes pelajar yang selalu ponteng berubah secara mendadak yang mana lebih rajin ke sekolah bagi mengikuti kelas maya,” katanya.

YB Ahmad Razif berkata kerajaan Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk menyediakan e-Book kepada murid yang akan dimanfaatkan untuk kelas maya.

“Saban tahun Terengganu membelanjakan RM300 juta untuk sektor pendidikan yang mana jumlah itu sama dengan peruntukan pengurusan bagi sesetengah negeri di negara ini, namun pelaburan besar tersebut perlu bagi menghasilkan anak negeri berkualiti, katanya.

"Biarlah mereka ini akan terus membangunkan Terengganu melalui kepakaran mereka dalam pelbagai bidang terutama perubatan, perakaunan, kejuruteraan dan ilmuan agama,” katanya.




PPD dekati penerima BR1M uzur

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu sampai kepada tangan penerima sendiri walaupun kesihatan mereka tidak mengizinkan, kata Pengerusi Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Sehubungan itu, sembilan daripada 592 penerima BR1M bagi fasa empat dan lima di DUN berkenaan didekati pemimpin itu di dalam kenderaan masing-masing berikutan halangan mereka untuk bersama-sama menerima di pusat pengagihan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak RM296,000 diperuntukkan untuk tujuan itu, di mana jumlah keseluruhan BR1M yang diagihkan di DUN berkenaan dijangka mencecah sehingga RM3 juta yang melibatkan kira-kira 6,000 penerima.

Haji Wan Mahyuddin berkata, hak penerima BR1M yang uzur terutama warga emas tidak dinafikan kerana sebagai rakyat Malaysia mereka berhak menikmati bantuan berjumlah RM500 seorang itu.

“Kita menyerahkan RM500 itu kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka, asalkan ia menepati syarat ditetapkan. Jika dalam keadaan uzur sekalipun kita perlu pastikan wang itu sampai ke tangan masing-masing.

“Bantuan itu diharap dapat meringankan bebanan mereka dan menceriakan golongan yang memerlukan,” katanya.




Bila senang, kerajaan buat semua tidak betul : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang mengenang semula kesusahan hidup lampau yang jauh ketinggalan dalam arus pemodenan, seterusnya menghargai nikmat pembangunan yang dikecap hari ini hasil buah pemikiran pemimpin terdahulu.

“Kita lupa sejarah dan hakikat kehidupan lampau..dulu di kalangan kita, tiada kemudahan asas, tandas pun tiada menyebabkan mahu buang air besar pun terpaksa di merata-rata tempat, makan buah kemunting, makan buah nyamuk, buah gelam tikus, buah gucil.

“Kita lupa sejarah menyebabkan kita `gong’, kita lupa asal-usul kita. Apabila sudah senang lenang kita hebat, rasa semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Ini masalah masyarakat kita, penyakit hati, `penyakit kalbu yang kelabu’,” katanya di Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di DUN Rhu Rendang, di Sekolah Kebangsaan (SK) Medan Jaya, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan wakil Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ngah Bidin.

Seramai 723 murid dari 11 sekolah termasuk SK Medan Jaya, SK Pulau Kerengga, SK Kelulut, SK Rhu Rendang, SK Bukit Gasing, SK Batangan, SK Marang, SK Gong Nangka dan SK Rusila menerima e-Book masing-masing.

Menteri Besar berkata, semua penduduk perlu muhasabah diri kerana kehidupan pada masa kini jauh lebih baik disebabkan dasar pendidikan yang dirangka pemimpin sejak awal merdeka lagi di mana ianya dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa kita.

Beliau berkata, pendidikan juga menjadi tunggak utama yang boleh mengubah kehidupan yang serba kekurangan menjadi lebih baik.

“Hari ini, kalau musim perayaan, anak cucu balik ke kampung, halaman rumah tidak mampu hendak letak kereta kerana setiap anak-anak memiliki kenderaan masing-masing. Adakah ini membuktikan kehidupan kita semakin susah? Dulu rumah berlantai nibung, dinding kulit kayu, hendak tidur cari pepijat dulu, pakai pelita ayam, mandi air telaga. Musim sekilau cari sekilau, musim lastik burung, cari burung…itu kehidupan kita.

“ Jika dulu ibu bapa tiada pendidikan, tidak pandai membaca. Hari ini, anak-anak tiada lagi yang tertinggal dalam arus pendidikan yang serba moden dan dunia celik IT. Dunia sudah berubah semakin maju dan membangun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ada di kalangan pemimpin parti pembangkang yang tidak bertanggungjawab, hanya tahu bersyarah dan bercakap mengikut emosi serta membangkang setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan kerana mengutamakan kepentingan politik semata-mata.

Beliau berkata,tindakan tidak berasas kumpulan itu termasuk pada akhir 70-an sehingga awal 80-an, mereka menentang kerajaan kerana mendakwa sistem pendidikan sekular bercanggah dengan Islam seterusnya memperkenalkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

“Mereka buat Pasti, berapa buah Pasti ada di Terenggganu. Kawasan Rusila mungkin ada 50 buah..Bagaimanapun, sekolah rendah Pas, sekolah menengah Pas ada ke? Jika bercanggah dengan Islam jangan hantar anak mereka ke sekolah kerajaan. Kalau halal, halal belaka, kalau haram, haram semuanya. Tiada istilah jika babi di Amerika haram, di negara kita halal.

“Pemimpin Pas Terenggnu juga menghantar anak mereka belajar sekolah menengah, menyambung pengajian di universiti dan mereka lulusan universiti yang diwujudkan Kerajaan Pusat,” kata beliau lagi.