Halaman

08 May 2012

PATUHILAH KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bahawa haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara amatlah dialu-alukan.

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.


Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah,"

Umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.


PAS akui sukar saingi Umno di luar bandar, Felda

Oleh HISHAM JAMALUDDIN

PAS mengakui agak sukar bagi parti itu untuk bersaing dengan Umno bagi mendapatkan sokongan pengundi melayu terutamanya di luar bandar dan kawasan penempatan Felda.

Ketua Penerangan PAS pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meraih sokongan di kedua-dua kawasan itu.

“Ruang bagi PAS yang bersaing dengan Umno bagi merebut sokongan pengundi Melayu sehingga saat ini kita akui masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah khususnya di kawasan luar bandar dan Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Perak ke-16 semalam.

Katanya satu daripada faktor PAS gagal meraih sokongan pengundi ialah pendekatan inklusif yang dilaksanakan parti itu di mana program yang diadakan terlalu bersifat kepartian.

Pada sidang media kemudiannya, Tuan Ibrahim berkata PAS pusat telah menerima senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Kebiasaannya setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen akan hantar sekurang-kurangnya dua nama dan majlis syura telah meluluskan dua nama tersebut di seluruh negara.

“Semua calon telah diputuskan di peringkat Majlis Syura dan sekarang kita turunkan calon ke peringkat jawatankuasa pusat parti dan jawatankuasa itu yang akan putuskan siapa calon (yang akan bertanding) dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, katanya pembahagian kerusi di kalangan parti dalam pakatan pembangkang telah 90 peratus selesai.



Cabaran Gunung Tebu tawar hadiah keseluruhan RM30,000


Kejohanan Cabaran Gunung Tebu (TMC) 2012 yang akan diadakan di Taman Rekreasi Lata Belatan, Besut pada 18 dan 19 Mei ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM30,000.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Terengganu (Tenaga) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Pengurus kejohanan, Mohd. Khairul Abu Bakar berkata, kejohanan yang memasuki edisi kedua sejak diperkenalkan dua tahun lalu itu dijangka menarik kira-kira 250 penyertaan.

"Penggemar sukan dan aktiviti lasak yang berminat untuk turut serta boleh terus menghubungi kami di talian 012-9297837 dan 019-9178000 untuk maklumat lanjut.

"Tarikh tutup kejohanan ialah tiga hari sebelum ia bermula," katanya hari ini. – FAUZI MOHD



Mat Zan tinggalkan skuad Terengganu Jun ini – Dato’ Che Mat

Ketua jurulatih Skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris (gambar) mengambil keputusan untuk meletak jawatan semalam. Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu.

Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA.

Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Mengulas lebih lanjut, Dato’ Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.

"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.

"Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA.

"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya yang dipetik dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Tambah Dato’ Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu.

Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat.

"Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu.

"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura.

"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.

"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya. - FAUZI MOHD



07 May 2012

Muzium pamerkan kehebatan Terengganu

Oleh: Suriati Ali


Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir pada Pameran Kehebatan Terengganu yang bakal diadakan di Muzium Negeri Terengganu.

Pameran anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal berlangsung selama 54 hari iaitu bermula 9 Mei sehingga 30 Jun depan.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata puluhan kehebatan Terengganu, termasuk mampu mengekalkan kecemerlangan dalam pendidikan, pelopor kepada program kelas maya dan wajah-wajah pelajar terima e-Book bakal dipamerkan.

Katanya, pameran seumpama ini wajar dimanfaatkan semua golongan terutama pelajar kerana mampu memberi dorongan supaya terus berjaya.

“Ia juga dapat memberi kesedaran bahawa kerajaan Terengganu dan rakyatnya boleh mencipta kehebatan dengan acuan sendiri, “ katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, LMNT tidak jemu merangka beberapa program tahunan semata-mata ingin menarik minat orang ramai mengunjungi muzium.

“Pada tahun lalu, LMNT mencatatkan seramai 169,370 pelawat yang sudi datang melihat pelbagai khazanah dan artifak berharga yang diadakan di tempat kami,” katanya.





Kriket Terengganu cari bakat baru

Oleh FAUZI MOHD dan AIDA ABD RAHMAN

Persatuan Kriket Negeri Terengganu (PKNT) memperluaskan peranannya dalam mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat bermula bulan depan.

Pengerusinya, Apli Yusof berkata, usaha yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini yang dianggap ‘sudah berkubur’ oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, di peringkat Sukan Malaysia (Sukma), negeri ini sudah lebih 20 tahun tidak terlibat dalam acara berkenaan walaupun sukan itu pernah melonjakan nama Terengganu sekitar tahun 1980-an.

“Kerjasama akan dijalinkan dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi mencari kira-kira 20 atlet lelaki bawah 20 tahun dengan bantuan jurulatih daripada MCA sendiri serta bekas pemain kriket Terengganu.

“Mulai tahun depan, PKNT akan menyertai beberapa kejohanan peringkat remaja kebangsaan untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Apli, dengan keupayaan pasukan sedia ada, Terengganu turut memberi saingan kejohanan kriket kebangsaan anjuran MCA bermula April lalu di Kuala Lumpur dan akan berakhir awal Jun ini.

Katanya, pasukan bimbingan Zainal Fitri Zainal Abidin itu dibarisi 20 pemain berwibawa seperti Ruzmi Awang, Hamrizal Haris, Ahmad Yusaidie Ibrahim, Nizam Semaon, Mohd Azhar Ahmad dan lima pemain dari Pakistan.

“Kita harap mereka mampu memberi saingan terbaik bagi membuktikan Terengganu masih mempunyai pemain yang disegani dalam acara ini. Ia penting bagi menaikkan moral persatuan untuk melahirkan pelapis baru pada masa depan,” katanya.

Dari segi prasarana sukan itu kata Apli, PKNT masih belum mempunyai kemudahan lengkap untuk latihan atau apa jua penganjuran pertandingan peringkat negeri.

“Buat masa ini, kita tumpu sepenuhnya latihan dan sesi pencarian bakat akan datang di padang Kompleks Sukan Gong Badak,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Nerus.



Pasar, rumah siap dibina untuk penduduk Dun Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir terus mengecap keselesaan apabila pelbagai kemudahan prasarana seperti perumahan dan pasar baru siap dibina di mana kemudahan awam itu bakal diserahkan kepada penduduk terlibat dalam tempoh terdekat.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata sebanyak 437 unit Rumah Mampu Milik di Kampung Batu Hampar sudah siap dibina dan akan diserahkan penduduk tidak lama lagi.

“Pasar Manir yang dibina sejak setahun lalu itu juga bakal beroperasi pada bulan ini bagi menggantikan pasar lama yang tidak tersusun dan usang.

“Kita hanya menunggu kelulusan dari Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu untuk menyerahkan kepada peniaga terlibat supaya operasi dan urus niaga dapat dilaksanakan di ruang yang lebih selesa dan kondusif,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk juga dapat menjalankan ibadat dengan selesa apabila Masjid Batu Hampar selesai dibaikpulih bulan lalu dengan peruntukan RM800,000 mula digunakan umat Islam sekitar, baru-baru ini.

Selain peruntukan membaik pulih Masjid Batu Hampar, Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke DUN itu setahun lalu turut mengumumkan peruntukan RM150,000 bagi membina Rumah Penginapan 1Malaysia untuk petugas di klinik rawatan masyarakat berkenaan.

Katanya, rumah penginapan itu yang boleh diinap sejak bulan lalu juga boleh disewa oleh penduduk sekitar untuk majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.

“Malah kita juga mahu menjadikan rumah penginapan itu berfungsi seperti `inap desa’ yang mampu disewa oleh orang ramai dengan tawaran sewa yang berpatutan,” katanya.


a onblur="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">


UMNO perlu berjuang untuk survival Melayu

Oleh: Mastura Jamaluddin


“Tarik balik pangkat Dato’ daripada Anuar (Ibrahim) dan Ambiga. Lucutkan kerakyatan mereka kerana kebiadapan mereka kepada agama, bangsa dan negara.

“Mereka adalah pengkhianat paling besar dalam Malaysia hari ini dan pihak pembangkang sudah keterlaluan. Kita perlu sedar siapakah Ambiga sebenarnya… dan sekiranya Anuar menjadi Perdana Menteri Malaysia,kita akan hilang kedaulatan sebuah negara Islam”, demikian kata Penasihat Politik Kepada YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Mohamad Fairus Khairuddin.

Beliau berkata, Pas memang Parti Ajaran Sesat kerana memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka.

“Dalam satu artikel Harakah 1997, Pas pernah mengatakan bahawa mengundi Anuar umpama menempah bilik di neraka dan apakah yang sudah terjadi sekarang? Mereka pula menjadi pemuja Anuar yang merupakan Bapa Munafik yang terlibat sepenuhnya dengan Israel, ” kata Dr Mohamad Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang di Majlis Penerangan Isu-isu semasa di Peti Undi Tapu baru-baru ini.

Beliau turut mengecam hebat BERSIH 3.0 sebagai tindakan kotor Ambiga dan Anuar yang cuba memporak perandakan sebuah negara yang aman damai serta memecah belahkan rakyat di Malaysia.

Majlis penerangan tersebut turut dihadiri oleh oleh 100 orang penduduk yang berdekatan dan rata-rata mereka menyambut baik di atas ucapan Dr Mohamd Fairus.



Jangan pertikai calon

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu mengingatkan semua pengundi terutama golongan wanita tidak pertikaikan calon Barisan Nasional (BN) sebaliknya beri sokongan penuh tanpa mengira siapa dan asal usulnya.

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, semua pihak perlu akur siapa saja calon dipilih pucuk pimpinan, yang penting dan perlu diberi penekanan ialah kekalkan kuasa BN di negeri dan negara ini.

“Keamanan dan kestabilan pemerintahan di bawah BN perlu dipertahankan dan menjadi tanggung jawab semua rakyat yang cintakan kemakmuran,” katanya kepada Teganukita.

Melalui gerak kerja yang dilakukan oleh jentera wanita diperingkat akar umbi, beliau yakin BN mampu mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya yakin 50 peratus pengundi wanita adalah penyokong BN dan golongan ini merupakan pengundi setia yang tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak luar,” kata Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu.

Menurutnya, jentera wanita di arahkan untuk terus berdamping dengan pengundi di peti-peti undi seluruh negeri sehinggalah tarikh PRU diumumkan.

“Jentera kita tidak akan berhenti berkempen dan menjadi pendamping setia masyarakat, beramah mesra dan akan memberi penjelasan segera terhadap isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang,” katanya.





Hanya 11 peratus pertubuhan belia hantar laporan tahunan

Oleh FAUZI MOHD

Hanya kira-kira 11 peratus daripada 537 pertubuhan belia di negeri ini mengemukakan laporan tahunannya kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mengingatkan peneraju pertubuhan-pertubuhan itu supaya menunaikan tanggungjawab itu untuk mengelakkan tindakan pembatalan dilakukan.

Pengerusi MBNT, Mat Yusoff Mat Ali berkata, jumlah yang mematuhi peraturan itu sangat kecil dan ia boleh mencerminkan keadaan pertubuhan yang tidak bermaya.

"Sehubungan itu, MBNT dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) akan mengadakan gerakan bersama ke setiap daerah untuk memberi peringatan di samping membantu.

"Terdapat juga persatuan belia yang gagal menghantar laporan sejak ia berdaftar pada 2008 apabila Akta Pertubuhan Belia diluluskan pada 2007," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Majlis Perunding Belia Negeri 2012 peringkat negeri di Green Acress Golf Resort, Kuala Ibai semalam.