Halaman

08 May 2012

PATUHILAH KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bahawa haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara amatlah dialu-alukan.

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.


Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah,"

Umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.




Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa menggadaikan keamanan negara.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia itu perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, termasuk 14 orang Mufti Negeri Negeri dan setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Bukan hal demonstrasi sahaja, muzakarah itu turut memutuskan gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam.

Selain mengelak daripada terjebak dalam seks songsang seumpama itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan umat Islam juga diminta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT.

Untuk orang yang menunjukkan sokongan dan simpati kepada pihak yang terbabit dengan LGBT pun haram juga. Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosalah jawabnya.