Halaman

10 May 2012

Dua musuh tradisi bertemu di pusingan kedua Piala AFC

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu yang gagal mencari tiga mata penuh ketika menentang Kelab Hong Kong, Kitchee FC di Stadium Tseung Kwan O Sports Ground, malam tadi terpaksa bertemu jiran tetangga, Kelantan pada aksi pusingan kedua Piala AFC, 23 Mei ini.

Pertembungan dua seteru Pantai Timur skuad kendalian Khalid Mohd Dahan dengan anak didik Bojak Hodak di peringkat kedua bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu.

Dalam pertembungan malam tadi, Kitchee FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit kesembilan, sebelum Ashaari Shamsudin menyamakan kedudukan enam minit berselang.

Sebelum rehat separuh masa, tuan rumah mendahului Terengganu dengan kelebihan satu jaringan. Bagaimanapun, asakan bertali arus Terengganu akhirnya berjaya memanfaatkan gol penyamaan yang dihasilkan menerusi penyerang, Abdul Hadi Yahya pada minit ke-70 untuk kedua-dua pasukan saling berkongsi mata.

Skuad Penyu bergelar naib juara Kumpulan F dengan mengumpul 10 mata, satu mata ketinggalan di belakang Kitchee FC selepas menutup tirai perlawanan akhir kumpulan dengan sekadar berkongsi satu mata.

Sebelum itu, Kelantan membenam kelab Myanmar, Ayeyawady United, 1-0 kelmarin, untuk mengungguli Kumpulan H..