Halaman

12 May 2012

Peruntukan RM5j wujud taman rekreasi sepanjang Manir, Sungai Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan taman rekreasi di sepanjang Sungai Terengganu yang melibatkan kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dengan peruntukan kira-kira RM5 juta, bermula tahun ini.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata perancangan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan negeri menerusi program menyusuri Sungai Terengganu sehingga ke Sungai Berang, Hulu Terengganu di mana lokasi penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

“Program menyusuri sungai dengan menaiki bot ini akan melibatkan kira-kira 10 kampung dalam DUN Manir yang berada di pinggir Sungai Terengganu sehingga ke Telemong (Hulu Terengganu).

“Kami sedang berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri serta Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu untuk melaksanakan projek itu supaya berjalan dengan lancar dalam tempoh yang dijadualkan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, pada peringkat awal, projek membangunkan kemudahan sekitar sungai itu akan dimulakan dengan kerja menambak sekitar kawasan pasir.

Menurut Encik Yusof, projek membangunkan taman rekreasi di sepanjang sungai ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat sebelum ia selesai keseluruhannya.

Beliau berkata,usaha itu dijangka mampu menjana pendapatan sebahagian penduduk yang terlibat dengan industri desa khususnya pengusaha makanan seperti keropok, bahulu dan akok, manakala kraf tangan seperti tikar mengkuang dan nyiru.

“Kita mengambil peluang dan ruang yang ada untuk memastikan kelebihan alam semula jadi di kawasan sungai dengan pasir dan pemandangan indahnya akan dieksploitasikan dengan baik supaya dapat menjana ekonomi dan memberi faedah kepada masyarakat setempat,” katanya.