Halaman

11 May 2012

Rakyat digesa sertai industry akuakultur

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu menggesa rakyat di negeri itu merebut peluang menceburi bidang industri akuakultur terutama di Tasik Kenyir bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran ikan air tawar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB Asha'ari Idris berkata sehingga ini ternakan ikan air tawar di Sungai Como dalam kawasan Tasik Kenyir, Terengganu melibatkan keluasan 2,800 hektar yang bermula sejak 2006 melibatkan 11 pengusaha.

"Kita pelawa rakyat Terengganu merebut peluang menceburi industri akuakultur terutama di tasik terbesar buatan manusia itu kerana ia masih ada ruang yang luas.

Kalau mereka tidak ambil peluang, kita bimbang pengusaha luar akan memohon untuk membuka industri akuakultur di situ secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Makan Ikan Air Tawar Mega 2012 Negeri Terengganu di Pasar Tani Padang Hiliran di sini , semalam.

Turut hadir Pengarah Perikanan negeri Abdul Khalil Abdul Karim dan Pengarah Fama negeri Hassan Jusoh.

Asha'ari berkata ketika ini terdapat 1,445 penternak ikan air tawar di negeri itu melibatkan 4,371 sangkar serta 808 kolam dengan keluasan kira-kira 90 hektar.

Manakala ternakan ikan air payau pula seperti ikan siakap dan kerapu melibatkan 220 kolam dengan keluasan 50 hektar.

YB Asha'ari berkata ikan air tawar sudah menjadi kegemaran rakyat negeri itu apabila ia menghasilkan jualan RM100,000 sebulan di pasar tani berkenaan.

"Ikan air tawar seperti talapia, patin, baung dan lain-lain sangat digemari rakyat Terengganu. Ini kerana sepanjang Januari hingga April tahun ini pasaran ikan-ikan itu menghasilkan lebih RM400,000.

"Mereka bukan sahaja gemar kepada ikan-ikan berkenaan, tetapi belut pun sudah menjadi rebutan orang ramai. Belut mempunyai rahsia tersendiri kerana mempunyai nilai pemakanan yang tinggi, setanding dengan ikan tenggiri dan
selar," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung kempen makan ikan air tawar berkenaan Aslina Abu Bakar, 21, berkata beliau memang suka ikan air tawar sejak kecil lagi.

"Sejak kecil emak saya selalu hidang masakan ikan air tawar dari bendang dan saya paling suka ikan talapia masak tiga rasa," katanya yang tinggal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Terengganu.