Halaman

07 May 2012

TV al-Hijrah perluas siaran akhir tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih ramai penduduk di negara ini berpeluang menonton siaran TV al-Hijrah menjelang akhir tahun ini apabila pihak pengurusan televisyen berkenaan meningkatkan transmisinya di seluruh negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, ketika memberi jaminan itu hari ini, berkata pihak pengurusan TV al-Hijrah sedang berusaha meningkatkan transmisinya agar lebih ramai penduduk negara ini dapat mengikuti siarannya secara percuma.

“Sejak kebelakangan ini, semakin ramai menonton TV al-Hijrah kerana banyak program menarik disiarkan melalui saluran televisyen ini, khususnya yang bercorak keagamaan,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan urusetia Karnival TV al-Hijrah 2011, di Primula Beach Hotel, pagi ini.

Karninal tersebut yang diadakan akhir tahun lalu di Dataran Shahbandar, mendapat sambutan luar biasa dengan kahadiran di luar dugaan.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Haji Othman Mustapha; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan ketua-ketua jabatan agensi negeri.

Dato’ Seri Jamil Khir berkata, jika masih ada kawasan yang belum dapat menerima siaran televisyen berkenaan akhir tahun ini, mereka akan dapat menonton TV al-Hijrah setelah sistemnya ditukarkan kepada digital menjelang 2014.

“Kita harap lebih banyak program bercorak keagamaan dapat ditonton rakyat negara ini melalui TV al-Hijrah dan mutunya akan ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi kepuasan penonton,” ujarnya.