Oleh: Suriati Ali
Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’ hanyalah manifesto pancing undi dalam usaha parti itu untuk mengaburi mata rakyat yang telah melalui zaman gelap ketika negeri itu diperintah Pas pada satu masa dahulu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, rakyat Terengganu tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas di bawah Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.
Justeru katanya manifesto yang dikeluarkan itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja.
“Penghapusan cukai pintu, 17,000 pekerjaan bakal ditawarkan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan.
“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.
Lima manifesto yang dilancarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada pertengahan Oktober tahun lalu, di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah Melaksanakan pengecualian cukai kediaman, Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.
Dato’ Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan seterusnya menegaskan Pas perlu mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara melulu mengumumkan manifesto berkenaan.
“Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu.
“Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan madnat kembali kepada BN.
“Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,”