Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Timur akan menganjurkan Program Bicara Eksklusif bersama Pengacara RTM, Y. M. Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertempat di dewan teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
Kira-kira 1,000 peserta terdiri warga pendidik, pemimpin masyarakat, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dijangka hadir pada program yang bakal diadakan pada 14 Mei ini .
Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, seminar yang bertemakan 'Transformasi Minda Dengan Membaca' itu diadakan bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menyuntik amalan membaca sebagai amalan wajib.
“Ia juga mampu meningkatkan produktiviti demi kemajuan dan kepuasan diri setiap individu ke arah menyokong pembangunan modal insan yang dilaksanakan kerajaan Terengganu.
“Peserta sewajarnya mengambil manfaat terhadap program yang julung kali diadakan ini kerana pelbagai maklumat berguna bakal diperoleh terutama mengenai bagaimana ingin pupuk sikap minat membaca,” katanya