TERENGGANU meletak sasaran¬ untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang Julai ini.
Reputasi terbaik Terengganu setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan pada temasya yang lepas menambah suntikan kepada semua atlet untuk mengekalkan kecemerlangan sama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat bagaimanapun berkata, rekod itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dipertandingkan, antaranya sukan kenu yang banyak menyumbang emas.
Keadaan itu sekali gus boleh menjejaskan usaha Terengganu mengekalkan muncul pasukan negeri terbaik selepas berbuat demikian ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12, Sukma ke-13 di Melaka dan Sukma ke-14 di Kuala Lumpur.
Pada temasya kali ini kontinjen Terengganu bakal menyertai 24 acara sukan yang menawarkan 1,179 pingat.
Temasya itu mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy serta lima sukan pilihan iaitu tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian