Halaman

10 May 2012

Atlit termuda timba pengalaman, buru kedudukan terbaik di Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Muncul antara atlit termuda mewakili negara ke Sukan Olimpik London, Nur Shafiqah Hashim, 18, berjanji untuk memberi sepenuh tumpuan selain menempatkan diri dalam kedudukan terbaik di kalangan pemanah seluruh dunia di temasya sukan dunia Julai nanti.

Pemenang pingat gangsa di Sukan Sea Indonesia menerusi gandingan dengan Cheng Cu Sian itu, tidak mahu terlalu yakin dan enggan meletakkan sasaran pingat berikutan penyertaan pertama kali di sukan dunia nanti lebih kepada mahu mencari pengalaman dan memperbaiki pencapaian untuk masa depan.

“Memandangkan saya masih muda dan usia saya seperti baru mahu menanam, belum lagi mengeluarkan benihnya berbanding orang lain yang sudah berpengalaman dan lebih tua dalam sukan memanah.

“Saya berada dalam kelompok elit pun baru setahun. Malah, saya belum mendapat banyak ilmu dan pengalaman sebagaimana atlit senior yang lain,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu itu layak beraksi pada Olimpik 2012 secara merit selepas meraih kedudukan ketiga menerusi acara recurve individu, di Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Iran.

Kejayaan Nur Shafiqah itu turut mengenepikan rakan seangkatan wanita yang lebih senior dalam acara berkenaan.

Menurut ibu Nur Shafiqah, Norzana Abd Rahim, 42, dia tidak menduga daripada hanya mewakili sekolah, akhirnya dalam usia yang masih mentah anak sulung daripada empat beradik yang berkarektor pendiam itu berjaya melayakkan diri ke Olimpik London 2012.

“Saya sangkakan dia hanya (main) biasa-biasa sahaja..tidak sangka terus ke tahap ini mewakili Malaysia. Langsung tidak pernah menduga, tidak pernah bermimpi Shafiqah mampu melangkah begini jauh.

“Walaupun saya tidak bersamanya di London nanti, saya tetap mendoakan Shafiqah dapat melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara serta Terengganu yang sudah banyak berjasa dan bertanggungjawab mengetengahkan bakatnya sehingga ke pentas dunia,” katanya.

Selain Nur Shafiqah, seorang lagi pemanah dari Terengganu Khairul Anuar Mohamad dan dua pemanah lain, Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin melayakkan diri ke Olimpik.