Halaman

09 May 2012

Program Jejak Inovasi intai produk ubi gadong

Oleh; Esah Abdullah

Program Jejak Inovasi Ke Akar Umbi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berjaya mengenalpasti 40 inovasi di seluruh negeri Terengganu.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Kerajaan YIM, Puan Sharmila Mohamed Salleh berkata, antara inovasi yang ditemui ialah sistem ternakan ketam kulit lembut (Kampung Mengabang Bakong), pembuatan bot tradisional inovatif (Kg Pulau Duyong), inovasi keropok lekor B.T.B 2209 (Bukit Tok Beng), inovasi tepung ubi gadung (Kampung Bukit Wan) dan pengeluaran makanan hidup untuk akuakultur (Mengabang Telipot).

“YIM akan mengiktirafkan lima inovator terbaik dan hasil inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan akan di beri bimbingan serta dimasukkan kedalam Program Laluan Laju,” katanya dalam program jejak inivasi di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit baru-baru ini.

Katanya, YIM akan membuat kajian dari pelbagai sudut termasuk dari segi komersial, pulangan kepada pengusaha serta peluang pasaran jangka panjang.

Menurutnya, YIM merupakan sebuah sebuah agensi di bawah MOSTI yang menyasarkan untuk merekodkan 300 buah produk inovasi akar umbi menerusi program Jejak Inovasi di 15 lokasi di seluruh Negara pada tahun ini.

“Tahun ini, Jejak Inovasi telah bermula di Temerloh, Pahang pada (3-5 Mac), di Kelantan (13–15 April) dan Terengganu (28-30 April),” katanya.

Katanya, rombongan disertai 35 pegawai YIM, Jabatan Strategik Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertujuan membuat penemuan dan merekod inovasi akar umbi bagi membantu pereka akar umbi membangunkan inovasi mereka melalui kepakaran-kepakaran yang disediakan, dengan matlamat membantu meningkatkan pendapatan, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat akar umbi.

Menurut Puan Sharmila, tahun lepas Jejak Inovasi telah meninjau produk-produk inovasi di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia, bermula di Melaka, Sabah dan Sarawak. Dan semua produk yang dikenalpasti akan didokumentasikan di dalam pengkalan data.

Tambahnya, program ini telah berjaya melibatkan interaksi rapat di antara kumpulan pakar penjejak, yang terdiri daripada individu-individu berpengetahuan teknikal dan berpengalaman dalam bidang kepakaran khusus yang bertindak sebagai mentor, melalui nasihat teknikal dan kaedah mempertingkatkan mutu produk rekacipta.