Halaman

10 May 2012

Sedia modal untuk ternak belut

Oleh: Suriati Ali
YB Haji Asha'ari menunjukkan bakat memasak menu daripada ikan air tawar selepas Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, sebentar tadi. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Kerajaan negeri bersedia memberi modal permulaan jika terdapat mana-mana individu di Terengganu ingin menceburi bidang ternakan belut sebagai alternatif mendapat sumber pendapatan sampingan .

Belut atau nama saintifiknya ordo anguilliformes kini semakin popular berikutan beberapa pengusaha restoran bijak mempelbagai menu daripada belut termasuk sup belut, belut goreng bercili (gambar kiri) dan laksa belut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris, berkata mereka yang berminat wajar merebut peluang itu, kerana kebanyakan pengusaha restoran kini terpaksa membeli belut dari luar Terengganu selain mendapatkannya dengan pencari belut liar.

Katanya, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada mana-mana pihak mengenai ternakan belut melainkan permohonan berkaitan ternakan ikan patin, keli dan baung.

 “Jika ada, kerajaan negeri sudi membantunya dengan mengenakan beberapa syarat tertentu supaya ia tidak merugikan. Mereka yang ingin menceburinya, biarlah serius dan bukannya bersikap sambil lewa dan mudah putus asa.

“Saya cukup kecewa dengan sikap seumpama itu, bila sudah dapat apa yang dihajati, termasuk memperoleh peruntukan atau modal awal, mereka cabut lari dan enggan bertanggunjawab apa yang dilaksanakan itu, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini..

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khali Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Putrajaya, Encik Nik Wahab Mat Diah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peserta yang hadir pada program anjuran Jabatan Perikan Negeri Terengganu, diberi peluang merasai keenakan beberapa masakan ikan air tawar seperti sup belut, ikan patin masak tempoyak, nuget ikan patin dan sebagainya.

YB Haji Asha’ari turut memberitahu potensi sektor akuapultur di Terengganu sangat luas di mana mempuyai kawasan daratan dan perairan seluas 5,046 hektar.
Katanya, semua kawasan itu dikenalpasti sebagai Zon Insdutri Akuakultur (ZIA) yang berpotensi dan sedang diusahakan untuk pembangunan ternakan ikan air tawar dan air payau.