Halaman

12 May 2012

Giliran Harrif Salleh naik podium

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd. Harrif Salleh akhirnya meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012.

Perlumbaan peringkat keempat Jelajah 1Malaysia dari Kangar ke Sungai Petani itu menyaksikan Mohd. Harrif melakukan henjutan bertenaga mendahului kelompok besar pelumba-pelumba ke garisan penamat.

Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan sejauh 115.6 kilometer dengan catatan masa dua jam, 40 minit dan 56 saat.

"Saya tidak dapat melakukan pecutan dengan baik pada peringkat pertama kerana masih keletihan selepas Jelajah Borneo.

"Hari ini, saya cuba untuk membuat pemecahan tapi tidak berjaya kerana dapat dikejar pelumba-pelumba lain dan sebab itu saya hanya tunggu peluang dalam kelompok besar untuk lakukan henjutan saat akhir," kata pelumba yang berasal dari Kampung Ladang Titian, Terengganu kepada pemberita.

Pada edisi perlumbaan tahun lepas, Mohd. Harrif merangkul jersi hijau selepas dinobatkan selaku "Raja Pecut".

Menurutnya, peluang untuk menyarung semula jersi hijau pada edisi kali ini agak sukar.

"Untuk dapat jersi hijau agak susah sekarang ini. Adiq (Muhamad Adiq Husainie Othman) mendahului dengan jumlah mata yang besar dan saya tidak dapat kejar dia. Bagaimanapun, sekiranya ada pemecahan esok, saya akan cuba untuk menang satu lagi peringkat," kata calon pelumba lebuh raya negara ke Sukan Olimpik London, pada Julai ini.

Peringkat kelima perlumbaan esok akan melibatkan jarak sejauh 194.9km dari Sungai Petani ke Ipoh, Perak yang melibatkan satu zon pendakian kategori empat di Padang Rengas serta tiga zon pecutan di Penang Megamall, Bagan Serai dan Talang. - FAUZI MOHD.