Halaman

07 May 2012

Kriket Terengganu cari bakat baru

Oleh FAUZI MOHD dan AIDA ABD RAHMAN

Persatuan Kriket Negeri Terengganu (PKNT) memperluaskan peranannya dalam mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat bermula bulan depan.

Pengerusinya, Apli Yusof berkata, usaha yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini yang dianggap ‘sudah berkubur’ oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, di peringkat Sukan Malaysia (Sukma), negeri ini sudah lebih 20 tahun tidak terlibat dalam acara berkenaan walaupun sukan itu pernah melonjakan nama Terengganu sekitar tahun 1980-an.

“Kerjasama akan dijalinkan dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi mencari kira-kira 20 atlet lelaki bawah 20 tahun dengan bantuan jurulatih daripada MCA sendiri serta bekas pemain kriket Terengganu.

“Mulai tahun depan, PKNT akan menyertai beberapa kejohanan peringkat remaja kebangsaan untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Apli, dengan keupayaan pasukan sedia ada, Terengganu turut memberi saingan kejohanan kriket kebangsaan anjuran MCA bermula April lalu di Kuala Lumpur dan akan berakhir awal Jun ini.

Katanya, pasukan bimbingan Zainal Fitri Zainal Abidin itu dibarisi 20 pemain berwibawa seperti Ruzmi Awang, Hamrizal Haris, Ahmad Yusaidie Ibrahim, Nizam Semaon, Mohd Azhar Ahmad dan lima pemain dari Pakistan.

“Kita harap mereka mampu memberi saingan terbaik bagi membuktikan Terengganu masih mempunyai pemain yang disegani dalam acara ini. Ia penting bagi menaikkan moral persatuan untuk melahirkan pelapis baru pada masa depan,” katanya.

Dari segi prasarana sukan itu kata Apli, PKNT masih belum mempunyai kemudahan lengkap untuk latihan atau apa jua penganjuran pertandingan peringkat negeri.

“Buat masa ini, kita tumpu sepenuhnya latihan dan sesi pencarian bakat akan datang di padang Kompleks Sukan Gong Badak,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Nerus.