Atlit memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, 21, tidak mahu meletakkan sasaran pingat pada temasya London Julai ini, namun berjanji untuk menampilkan persembahan konsisten sepanjang persaingan, khususnya dalam acara berpasukan.
Anak jati Kampung Pasir Gajah, Kemaman itu pelengkap trio memanah kebangsaan bergandingan dengan Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin selepas muncul kumpulan atlet pertama layak ke Olimpik secara merit setelah meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali, baru-baru ini.
“Saya tidak mensasarkan pingat, kerana masih baru dalam acara ini. Pada usia baru 21 tahun, saya rasa naik begitu mendadak dan tidak mahu jatuh dengan cepat.
“Untuk acara individu, saya tidak yakin sangat untuk sasar pingat. Bagaimanapun saya berhasrat untuk membuat persembahan dengan konsisten dan dapat mengawal sepenuhnya persaingan memburu mata nanti,” katanya.
Dalam kejohanan Memanah Dunia di Torino, trio yang diketuai pemanah berpengalaman, Chu Sian mengharungi pertarungan penuh dramatik sebelum berjaya menjadi pasukan kesembilan terbaik sekali gus menempah tiket bersama-sama Korea Selatan, Perancis, Mexico, Itali, Ukraine, China dan Amerika Syarikat manakala Great Britain layak automatik selaku tuan rumah.
Kejayaan mereka di luar jangkaan dan amat membanggakan setelah pasukan negara berdepan saingan sengit daripada pasukan handalan dunia.
Selain Khairul Anuar, seorang lagi atlit memanah dari Terengganu, Nur Shafiqah Hashim turut layak ke Olimpik London 2012.