Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bakal berubah wajah apabila kerja-kerja menaik taraf melibatkan peruntukan RM129.9 juta dijangka siap Oktober ini.
Projek tersebut turut membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin membabitkan kos RM115 juta selain menaik taraf unit kecemasan dan trauma sedia ada yang melibatkan peruntukan RM14.9 juta.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai satu blok bangunan setinggi enam tingkat itu yang mula dibina pada Disember 2008 dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.
Beliau memberitahu, selain dilengkapi pelbagai peralatan canggih dan tenaga pakar mencukupi, kompleks tersebut bakal menyediakan kemudahan 308 katil berbanding 100 katil di wad bersalin di HSNZ sekarang.
"Kompleks ini dibina di atas padang bola di sebelah bangunan hospital, kita harap kemudahan ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan pesakit di wad bersalin yang ada.
"Di samping kompleks ini, satu lagi blok setinggi lima tingkat yang mampu menempatkan 390 lot kenderaan dengan keutamaan diberi kepada kakitangan hospital juga sedang dalam pembinaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka HSNZ di pekarangan hospital lama, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr. T. Ramelah T. Senik.
Dr. Anwa berkata, sebaik kompleks itu siap, wad-wad bersalin sedia ada yang dikosongkan akan dimanfaatkan untuk kegunaan pelbagai unit perubatan lain.
Katanya, penyediaan lot-lot tempat letak kenderaan di kompleks berkenaan dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan kenderaan di kawasan letak kenderaan sedia ada di pekarangan hospital itu.
"Buat masa ini, kita ada lebih 800 lot tempat letak kenderaan dan itu pun tidak cukup untuk tampung kenderaan milik kakitangan hospital dan pelawat. Jadi, tambahan 390 lagi lot letak kenderaan diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan," katanya.
Mengenai unit kecemasan dan trauma, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf unit tersebut dijangka siap tidak lama lagi selepas mula dilaksanakan pada November 2009.