Halaman

10 May 2012

YPU e-mall.com urusniaga dalam talian

 
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Ads4bucks Network, sebuah portal pengiklanan dan komuniti sosial yang mempunyai 200,000 komuniti di seluruh Asia .

Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, MoU itu mewujudkan usahasama syarikat itu dengan YPU dan membuka peluang usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara talian terus.

“Saya meminta usahawan Bumiputera segera mendaftar dengan kita dan melalui ypu e-mall.com ini produk mereka dapat dilanggan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di majlis Program Outreach Tranformasi Bumiputera Berprestasi Tinggi di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM); Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu(DPMMT), Dato' Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Ads4buck Network, Encik Ameer Noraizedin Abd. Wahab.

Katanya, perniagaan dalam talian kini menjadi satu keperluan dengan menggunakan website atau facebook untuk disebarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, MoU ini dibuat semata-mata untuk membantu usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara lebih meluas dan tidak melalui orang tengah.

Tambahnya, dari segi promosi dan pasaran melalui ypu e-mall ini menjimatkan masa dan tenaga kerana ia dapat dilakukan di rumah atau di mana saja tempat yang sesuai asalkan ada komputer riba.

“Terdapat 200,000 komuniti yang berdaftar dengan Ads4bucks dari seluruh dunia, akan melihat produk –produk usahawan kita yang dipaparkan sekaligus membantu mendapatan pasaran yang lebih meluas,” katanya.

Haji Azmi mengesa semua usahawan di negeri ini agar merebut peluang perniagaan secara maya itu yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia siber hari ini.