Halaman

17 May 2012

Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara berkolaboratif menganjurkan larian mendaki Gunung Berembun menerusi program `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012’ .

Program edisi kedua itu menawarkan hadiah lebih lumayan dan menarik kepada peserta itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia, Tourism Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu serta Ketengah.

Menurut jurucakap, acara itu bertujuan mempromosikan Gunung Berembun yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan menjadi aset Terengganu yang perlu dihayati oleh semua pihak sama ada bagi menjalankan sukan rekreasi, pelancongan, sejarah, perhutanan, alam sekitar serta pendidikan.


Katanya, pertandingan akan diadakan bermula di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong pada 30 Jun ini bakal menyediakan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM27,500.

Untuk rekod, Gunung Berembun yang berketinggian 1108 meter / 3405 kaki terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 305 meter.



Menurutnya, kelebihan itu pastinya menjanjikan kepuasan kepada peserta sama ada dari dalam dan luar negara dengan sasaran seramai 400 orang bakal menyertai program itu nanti.

Secara teknikalnya, pertandingan ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori.

“Mengenai kategori pertandingan pula, ia terbahagi kepada tujuh kategori iaitu terbuka lelaki/wanita (22 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (40 tahun ke atas), terbuka remaja lelaki/wanita (15-21 tahun) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (18 tahun ke atas).

“Manakala yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka adalah RM60, veteren lelaki terbuka RM40, terbuka remaja lelaki/wanita RM30 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita RM40.


Katanya, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi media, lawatan kembara bersama media, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.

Malah, program turut mendapat sokongan rakan penaja utama seperti Deuter, Salomon, Corezone, 100 Plus, Milo, Power Bar, Pro Fresh dan Majalah Santai.

Kepada yang berminat untuk menyertai larian ini boleh dapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.com Semua borang hendaklah diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai/wang pos/cek diatas nama PERSATUAN KEMBARA NEGARA sebelum 28 Jun 2012.

Untuk keterangan lanjut hubungi sekretariat Mount Berembun Green Challenge
PERSATUAN KEMBARA NEGARA
No 11, Jalan 14/1 Taman Tun Abdul Razak
68000, Ampang Selangor

Fax : +603 4252 3743
Emel : kembara.event@gmail.com
FB : Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012 atau

Sabri : +6013 633 6961
Muhammad Rafi : +6012 371 5412
Afnal : +6012 202 2644
Mohd Arif : +6012 939 7170



TTITC jalin usahasama dengan MTIB lebarkan industri perkayuan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra
 
 Perjanjian usahasama antara Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) dan Malaysian Timber Industri Board (MTIB) ini memberi kelebihan kepada rakyat tempatan untuk bergerak maju dalam industri perkayuan yang kini mendapat permintaan agak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, selepas termeterainya perjanjian ini, TTITC akan memberi fokus utama terhadap industri perkayuan yang mempunyai masa depan yang cerah.

 “Terengganu terkenal dengan produk perkayuan seperti pembuat kapal, perabut dan kraf berasaskan kayu dan kerjasama dengan MITB ini secara langsung dapat memberi lebih peluang anak tempatan berkembang maju,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara TTITC dan MTIB di Wisma Darul Iman semalam.

TTITC diwakili Dato’ Toh manakala MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Jalauddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains , Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman selaku saksi bagi pihak kerajaan negeri.

Dato’ Toh berkata, dengan termeterainya usahasama ini TTITC akan menawar beberapa kursus baru dalam bidang kemahiran untuk memberi pendedahan anak tempatan meneroka lebih jauh dalam bidang industri perkayuan .

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC berkata, pihaknya bercadang membina bangunan tambahan setelah kerajaan negeri meluluskan 20 hektar kawasan berhampiran kepada TTITC.

“Tahun lalu terdapat 1,214 pelatih telah berjaya menamatkan latihan masing-masing dan telah memasuki alam pekerjaaan manakala tahun ini 1,399 lagi sedang mengikuti latihan dalam pelbagai bidang kursus,” katanya.







Lindungi anak yatim dapat ganjaran syurga- isteri MB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pemimpin Masyarakat, warga pendidik dan badan bukan kerajaan diajak memberi kerjasama dan sokongan berterusan kepada usaha memajukan anak-anak yatim yang berada di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, ganjaran pahala daripada Allah SWT begitu besar kepada orang-orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim.

 “Marilah bersegera membuat kebajikan kepada anak-anak yatim sebagai menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w yang menjamin syurga bersama baginda terhadap orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim,” katanya di majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-anak Yatim daerah Kuala Terengganu di Kediaman Seri Iman semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah berhenti memberi sokongan dalam pembangunan pendidikan untuk melahirkan generasi celik ilmu dan cemerlang pada masa akan datang.

Beliau turut mengingatkan pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi agar belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang.

 Sehubungan itu beliau turut mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua warga pendidik di seluruh negeri dan terus memberi khidmat mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan.

“Masih belum terlambat, saya juga ingin mengucapkan selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu diluar sana, meraikan jasa dan pengorbananan seorang ibu sebenarnya tidak terhad pada sesuatu hari sahaja sebaliknya sepanjang masa selagi ibu kita masih hidup,” katanya.

Selain itu, mengingatkan anak-anak yang masih mempunyai ibu agar sentiasa mendengar kata dan jagalah hati ibu kerana doa seorang ibu membawa kejayaan dunia dan akhirat.

Beliau berterima kasih kepada Perkaya kerana usaha murni menjaga dan melindungi anak yatim di negeri ini semoga pertubuhan ini terus menjadi payung serta dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan pakaian raya berupa sepasang baju kurung (perempuan) dan sepasang baju Melayu (lelaki) kepada 667 pelajar dari 81 buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.






Elaun tahunan RM50,000 kepada Tunku Aziz – Siapa kata DAP bukan parti korup?


Oleh FAUZI MOHD

TAWARAN jawatan kanan di Institut Pulau Pinang dengan elaun tahunan sebanyak RM 50,000 serta faedah lain sebagai ganti tidak meletak jawatan dan kehilangan jawatan Senator kepada bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim adalah bukti jelas parti itu korup.

Soal ini sangat penting kerana intergriti dan bebas rasuah adalah tiang yang membentuk DAP hari ini.

Jika PAS menentang BN dan UMNO dari sudut agamanya kerana tidak melaksanakan hukum Hudud, DAP pula memperjuangkan soal intergriti dan rasuah.

PAS cukup pantang dituduh kurang Islamik, DAP juga sangat pantang kalau dikaitkan dengan rasuah, kerana itu imej yang telah dibina sekian lama.

Tapi akhirnya sekarang, dua parti itu telah dibuktikan hanya penipuan masing-masing untuk mendapat kelebihan politik dan undi.

Terutama DAP, sanggup menggunakan wang rakyat Pulau Pinang dalam jumlah yang banyak untuk merasuah Tunku Aziz menarik semula perletakkan jawatannya.

Ya, duit rakyat Pulau Pinang, sebab Institut Pulau Pinang itu bukannya badan yang menjana keuntungan tapi sebaliknya badan pemikir ‘think thank’ yang bertujuan memantapkan DAP.

Sudah tentu peruntukkan datang dari duit rakyat Pulau Pinang, bukan dari poket Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang.

Mungkin DAP akan kata Tunku Aziz membuat cerita dan sebagainya, itu masalah senang, saman sajalah Tunku Aziz dan selesaikannya di Mahkamah.

Lagipun jalan cerita apa-apa yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat ini sama sahaja setiap kali, sama seperti PAS yang berdolak-dalik mahu melaksanakan hudud.

Tapi sementara itu berlaku, bolehlah kita anggap DAP ini tidak terlepas dari menjadi korup, bukan orang lain kata, tapi bekas Naib Pengerusi dia sendiri kata.

Itu yang terdedah, yang tidak terdedah mungkin lebih hebat ceritanya.


16 May 2012

Menara tinjau tambah keunikan jambatan

Oleh: Suriati Ali

Jambatan dan menara tinjau akan menjadi mercu tanda baru kepada pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC). - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan Terengganu akan membina menara tinjau setinggi 10 tingkat sebagai menambah keunikan jambatan yang menghubungkan Kampung Tanjung, Kuala Terengganu dan Seberang Takir.

Manara tinjau yang bakal dibina bersebelah jambatan itu turut dilengkapi restoran sebagai pelengkap menarik minat pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke negeri ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kemudahan yang belum diputuskan peruntukan kerana masih di peringkat awal itu adalah kesinambungan daripada projek Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER).

“Jambatan dan menara itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju meluluskan 1,090 lot tanah rancangan berkelompok membabitkan tiga lokasi berasingan di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 991 lot tanah membabitkan kawasan kediaman dan selebihnya iaitu 99 lot tanah untuk pertanian.

“Kawasan yang diluluskan itu adalah Kampung Jambu Bongkok, Bukit Payung; Jeram Cina, Manir dan Kampung Tajin, Kuala Berang,” katanya.

Katanya, pihaknya bersedia membayar insentif sebanyak RM20,000 kepada empat anak jati Terengganu yang berjaya mengharumkan nama negeri pada Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia 2012 di Stadium Bukit Serindit, Melaka, baru-baru ini.

“Insentif yang bakal diterima RM5,000 seorang itu bagi menyuntik semangat pemain supaya terus mencipta kejayaan membanggakan,” katanya.



Perkaya tubuh pusat tahfiz untuk lahir imam muda

 Anak-anak yatim gembira selepas menerima pakaian Hari Raya yang disampaikan isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) akan menubuhkan sebuah Pusat Tahfiz di kawasan seluas 1.5 hektar di Jerangau, Dungun dengan kos RM400,000.

Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Haji Tengku Mahmud Mansor berkata, tanah berkenaan telah diwakafkan oleh isteri allahyarham Dato’ Haji Awang Jabar, To’ Puan Mariam Abdullah kepada Perkaya.

“Kawasan itu telah ada sebuah kompleks yang bernilai hampir RM1 juta, merangkumi kolam renang, kolam ikan, dewan yang boleh menampung 100 orang , lima bilik untuk tetamu serta kemudahan wakaf rehat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Pakaian Raya kepada anak-anak yatim daerah Kuala Terengganu di Kediaman Seri Iman hari ini (16 Mei).

 Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan sumbangan pakaian raya kepada 667 orang pelajar yatim dari 81 buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, Perkaya akan membina satu blok bangunan tiga tingkat di kawasan itu untuk menampung 150 orang anak yatim yang akan dididik untuk menjadi imam-imam muda pada masa hadapan.

Menurutnya, pusat ini terbuka kepada semua anak-anak yatim di seluruh negeri dan sekurang-kurangnya mendapat 3B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebagai permulaan 20 pelajar akan memula sesi pembelajaran pada Januari tahun depan.

 “Matlamat kita mahukan anak-anak yang hafal al Quran dan juga cemerlang dalam akademik di mana mereka akan dihantar belajar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau.

Katanya, hajat Perkaya selepas habis di SMK mereka akan meneruskan pengajian mereka di Universiti Kolej Bestari untuk mengikuti kursus latihan persediaan selama setahun sebelum membuat Ijazah untuk tempoh tiga tahun.

“Hasrat kita biarlah seramai 11,636 orang anak yatim yang ada diluar asrama dapat mengambil manfaat ini untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang al-Quran,” katanya.

Sehubungan itu, Perkaya telah membelanjakan RM75,000 untuk membeli pakaian raya kepada 1,102 anak yatim di seluruh negeri tahun ini.






Derma darah sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Besut

Pelajar daerah Besut derma darah

Oleh: Mohammad Ishak

Sambutan Hari Guru peringkat daerah Besut tahun ini dimeriahkan dengan program menderma darah yang disertai oleh guru dan pelajar sekolah menengah daerah itu.

Kempen derma darah yang diadakan di ruang legar Bangunan Persekutuan,Kampung Raja, dekat sini yang turut menempatkan Pejabat Pendididikan Daerah Besut mendapat sambutan luar luar biasa dan berjaya menarik minat penyertaan golongan pendidik dan pelajar.

Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah,Abd Halim Hassan berkata, kempen yang berlangsung sehari itu disertai kira-kira 100 penderma mewakili guru dan pelajar serta kakitangan sekolah dari seluruh daerah Besut.

Katanya, kempen dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Besut (HB) itu sebahagian daripada acara yang diadakan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Besut, tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini jawatankuasa penganjur turut mengadakan sesi menziarah pesara guru yang uzur dan sakit di rumah masing-masing yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.

“Penyertaan guru dan pelajar dalam kempen derma darah ini satu perkembangan menarik dan diharap menjadi amalan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang tanpil menderma darah pada majlis itu juga patut dipuji kerana sebelum ini mereka takut malah sebahagian besar mereka adalah pertama kali menderma darah dan satu pengalaman berguna

Masyarakat Terengganu diminta cetus inovasi

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat di Terengganu terutama mereka yang tinggal di kawasan pendalaman di minta bersama-masa mencetuskan inovasi supaya ekonomi keluarga dan gaya kehidupan harian mampu diubah kepada lebih selesa.

Mereka juga tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk mengubah nasib keluarga kerana ia bukan saja membantutkan minda, menimbulkan sikap malas berusaha malah mampu menghalang pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff, berkata menyedari hakikat Itu, pihaknya prihatin melaksanakan pelbagai program induk sebagai platform mengubah minda masyarakat.

“Antara program yang dirancang adalah Karnival Sains dan Inovasi, Jejak Inovasi; Anugerah Inovasi dan Anugerah Cipta 1Malaysia.

“Pelbagai negeri, termasuk Terengganu telah dan sedang kita selusuri semata-mata mahu memperjelaskan secara dekat kepentingan inovasi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis merasmikan Program Inovasi@UMT 2012 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Naib Caselor (Akademik & Antarabangsa) UMT, Profesor Dr Noor Azhar Mohamed; Ketua-ketua agensi korporat dan Ketua-ketua jabatan.

Program anjuran UMT itu menghimpunkan penyelidik-penyelidik UMT daripada pelbagai bidang kepakaran, pelajar-pelajar UMT dan 15 sekolah terpilih dari Kuala Terengganu.
Mereka yang terlibat mempamer dan mempertandingkan hasil inovasi, rekacipta dan kreativiti masing-masing pada program itu.

Profesor Datin Paduka Dr Khatijah, berkata apa yang dilaksanakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya sains dan inovasi di kalangan masyarakat ke arah menghasilkan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

“Pihak kami dengan kerjasama pelbagai pihak mempunyai agenda tersendiri untuk menyemarakkan lagi inovasi sedia ada dan sedang dirancang,” katanya.




HNSZ sedia bantu pesakit Neorofibromatosis

Oleh: Suriati Ali

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersedia membantu pesakit Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, yang dialaminya sejak 30 tahun lalu, menjalani imbasan di kepala dan mendapatkan rawatan lanjut.

Imbasan yang bakal dijalani dalam tempoh terdekat itu bagi mengetahui sama ada masalah lumpuh yang dialami pesakit enam bulan lalu, berpunca daripada penyakit itu atau sebaliknya.

Pakar Perubatan (Kulit) HSNZ, Dr Chong Yew Thong, berkata peluang penyakit itu akan diwarisi tiga anak Md Rahim adalah 50 peratus dan ia menyerang populasi masyarakat negara ini dalam 1:4000 orang.

“Sekiranya kedua –dua ibu bapa turut mempunyai penyakit itu, peratusan untuk anak menghidap lebih tinggi. Dalam kes Md Rahim ia diwarisi daripada ibunya yang turut mengalami penyakit sama.

“Penyakit Neorofibromatosis yang juga dikenali sebagai von recklinghausen boleh mengakibatkan lumpuh sekiranya ia menyerang organ dalaman dengan menekan saraf-saraf,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke rumah pesakit di Kampung Jerung Seberang, Marang, kelmarin.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar dan Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, To’ Puan Rosnani Ngah dan beberapa pemimpin setempat.

Menurutnya, dalam kes ini, mangsa diserang ketumbuhan pada kulit yang teruk, tetapi ada juga kes tidak menunjukan benjolan tetapi tetap menghidap Neorofibromatosis.

“Saya mengsyorkan mangsa mendapatkan rawatan lanjut di HSNZ bagi menjalani rawatan lanjut, termasuk melakukan sesi imbasan di kepala bagi mengenalpasti punca lumpuh separuh badan,” katanya.

Dalam laporan Teganukita semalam, Pesakit yang mengalami penyakit kulit atau dikenali sebagai Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, reda dengan musibah yang dialami walaupun pakar perubatan mengesahkan beliau tidak akan sembuh.

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata itu kini turut mengalami masalah lumpuh di bahagian badan kiri bermungkinan kesan daripada penyakit keturunan yang dialami sekarang.

Md Rahim berkata, dia terhutang budi dengan mana-mana pihak yang mengambil berat mengenai masalah yang dialaminya walaupun menyedari penyakit itu tidak mampu pulih.
“Penyakit kulit yang dialami mula dikesan sejak umur 25 tahun lalu di mana pada ketika itu terdapat dua hingga empat biji saja di bahagian leher,” katanya.





Pelumba TSG beraksi cemerlang dinaikkan gaji

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) menempatkan diri selaku pasukan terbaik negara dan juga Asia dalam Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1Malaysia (J1M) yang berakhir Ahad lalu, mengundang reaksi gembira pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Ekoran kejayaan itu juga, Menteri Besar turut meminta Majlis Sukan Negeri Terengganu menilai semula dan menaikkan gaji pelumba yang merekod prestasi serta kejayaan cemerlang itu.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai kejayaan anak-anak jati Terengganu, baik dalam bidang pelajaran mahupun sukan.

"Saya berasa bangga dengan TSG. Hari ini peserta TSG berjaya mendapat tiga tempat terbaik, pertama kedua dan ketiga. Saya menerima SMS sebentar tadi.

“Kelmarin (semalam), kelmarin dulu..dua hari berturut-turut. Mohd Hariff Salleh dapat nombor satu di dua peringkat. Hari ini, sekali lagi TSG mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga..Tetapi tidak dimaklumkan kepada saya pelumba yang berjaya itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Felda, di Felda Belara, baru-baru ini.

Pelumba yang mewakili TSG dalam J1M 2012 ialah Mohd Hariff Salleh, Mohd Zamri Salleh, Shinichi Fukushima, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Nor Umardi Rosli.

Dalam perlumbaan penutup tirai J1M yang berakhir di Dataran Merdeka Ahad lalu, TSG mencuri tumpuan apabila menyapu bersih kedudukan podium pada peringkat akhir perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012 (J1M 2012) yang berakhir di Dataran Merdeka, semalam.

Pada saingan peringkat keenam sejauh 199.5km dari Ipoh ke Dataran Merdeka, pelumba Jepun Shinichi Fukushima mengatasi 54 pelumba lain untuk mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 4 jam 24 minit 31 saat.

Diekori rapat ialah rakan sepasukan Mohd. Harrif Salleh dan abangnya, Mohd. Zamri Salleh yang melakukan catatan sama 4"24:34s.

"Adalah amat membanggakan untuk memenangi kedudukan 1-2-3 untuk pasukan. Strategi pasukan menjadi dengan begitu cemerlang sekali pada peringkat akhir.

"Selepas Jelajah 1Malaysia, saya akan menyertai pasukan TSG bagi menghadapi Jelajah Jepun dan juga melakukan persediaan untuk kejohanan ujian masa di Jepun," kata juara berusia 41 tahun itu pada sidang media.

Kemenangan Shinichi itu adalah kedua pada jelajah selepas menjuarai peringkat pertama dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar.

Selain itu, pelumba berasal dari Terengganu, Muhamad Adiq Hussainie Othman dari Pasukan Pembangunan Malaysia dinobatkan sebagai Raja Pecut (Jersi Hijau) serta muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia dengan menyarung Jersi Putih.

a onblur="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">