Halaman

20 June 2012

Iban, Bajau sertai Pertandingan Pidato 1Malaysia esok

Oleh: Aida Abd Rahman
Lapan peserta termasuk seorang masyarakat Iban dan Bajau mengesahkan penyertaan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia 2012 (Bukan Melayu) peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan di Kolej Komuniti Kuala Terengganu, esok.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) yang membuka penyertaan kepada warga Malaysia bukan Melayu turut disertai masing-masing tiga India dan tiga Cina.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan ini menawarkan hadiah berjumlah RM4000 dengan johan akan menerima wang tunai RM1500, RM1000 (kedua), RM500 (ketiga) manakala lima hadiah sagu hati RM200 setiap pemenang.

Katanya, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysia, "katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh akan menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan, di Dewan Tok Ku, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi, esok.



JPNIN anjur pertandingan koir

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu akan menganjurkan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik bertempat di Auditorium Taman Budaya Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 29 Jun depan.

Pertandingan peringkat Terengganu itu melibatkan lapan Kelab Rukun Negara dari pelbagai sekolah menengah seluruh Terengganu.

Urusetia pertandingan itu, Encik Asronizam Mamat, berkata setiap kelab yang terpilih menyertai pertandingan akan mempersembahkan dua lagu patriotik.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan, termasuk Cemerlang, Gemilang, Terbilang; Malaysia Tanahair Ku; Perpaduan Teras Kejayaan dan Gemilang Malaysia.

Katanya, program itu bertujuan menjadikan lagu-lagu patriotik sebagai medium yang berkesan untuk menyemarakan semangat patriotisme di kalangan pelajar sekolah dan orang ramai.

“Di samping itu, semangat kerjasama, kekitaaan, nilai-nilai permuafakatan, perpaduan dan bertolak ansur antara masyarakat juga mampu dipupuk.

“Johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM2,000, naib johan (RM1,000), tempat ketiga (RM500) dan lima saguhati, masing-masing bakal memperoleh RM200,” katanya.

Pertandingan yang dijangka bermula 8.30 malam itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar.

Orang ramai, terutama penduduk tempatan dijemput hadir bagi memberi semangat kepada pasukan bertanding, sekaligus memeriahkan program tahunan itu.


MB lancar Kejohanan Golf Pro-Am 23 Jun

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan melancarkan Kejohanan Golf Pro-Am di Awana Kijal Golf beach & Spa Resort, Kijal, Kemaman, jam 7.30 pagi, pada 23 Jun ini.

Majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut akan dilakukan pada jam 1 tengahari di tempat yang sama.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, dijangka hadir sama pada majlis berkenaan.




Pangsapuri kos rendah KP Perdana laris

Oleh: Suriati Ali

Projek pangsapuri kos rendah KP Perdana di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dilaksanakan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sudah habis dijual kepada penduduk tempatan.

Pangsapuri yang mengandungi 120 unit rumah dan berkelulusan 700 kaki persegi seunit itu mendapat permintaan mengalakkan daripada pembeli berpendapatan rendah, sejak penjualan dibuka kepada pembeli yang layak.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, projek yang membabitkan kos keseluruhan bernilai RM7.8 juta itu sedang menunggu kelulusan Sijil Menduduki (CF) dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dijangka memperolehinya dapat tempoh terdekat.

“Rumah tersebut dijual pada harga RM65,000 seunit ditawarkan kepada pembeli yang disenaraikan oleh bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Apa yang membanggakan, rata-rata mereka bersetuju dengan harga itu kerana lokasinya berdekatan dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di bandar raya Kuala Terengganu,”katanya kepada Teganukita.

PMINT akan meneruskan beberapa projek lagi di kawasan KP Perdana, termasuk membina gelanggang futsal, dewan orang ramai dan sebagainya semata-mata mahu memberi keselesaan kepada pembeli.


Jentera Umno dan BN siap sedia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi Biro Penerangan Umno Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya sudah selesai mengatur pelbagai strategi bagi menghadapi tentangan parti lawan selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita sudah bersiap sedia di semua peringkat merangkumi peti undi, DUN dan Bahagian-Bahagian di seluruh negeri,” katanya ketika ditanya mengenai persiapan jentera Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

Beliau berkata, pihaknya telah menyenaraikan penceramah-penceramah terdiri daripada penceramah tempatan dan luar untuk berkempen sepanjang proses PRU 13 nanti.

“Kita menyerahkan kepada peti undi dan DUN untuk memilih penceramah, tetapi pihak kami sedia membantu dari setiap aspek bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan lancar,” katanya.

YB Haji Ahmad Razif berkata, Biro Penerangan telah pun memohon bajet pilihan raya dan ia akan diagihkan kepada setiap peti undi, DUN dan Parlimen bagi menggerakkan jentera kempen parti.

“Pihak kami merancang mengadakan ceramah perongkat peti undi secara serentak dalam tempoh terdekat ini bagi menyampaikan maklumat terkini dan penerangan isu-isu semasa kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap dengan perancangan yang rapi jentera Umno dan BN akan berjalan lancar, sekaligus memastikan BN terus memegang tampuk pemerintahan negeri ini pada PRU 13 nanti.

“Kita mengharapkan semua pihak bekerja keras mulai sekarang dan tidak menunggu pembubaran DUN dan Parlimen untuk berkempen,” tambahnya.



Taman Panorama Bukit Pak Apil beroperasi bulan depan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Taman Panorama yang terletak di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu bakal memulakan operasinya pada pertengahan bulan depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya sedang dalam proses menentukan tender kepada operator yang bakal menguruskan operasi di taman itu.

“Kita jangkakan taman berkenaan dapat dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan depan selepas proses menentukan tender selesai serta akan menentukan kadar bayaran kepada pengunjung,” katanya.

Menurutnya, buat permulaan tiada kutipan bayaran dikenakan dalam jangka waktu tertentu dan berharap agensi pelancongan dapat membawa seberapa ramai pelancong ke taman itu bagi tujuan promosi.

“Bayaran mungkin akan dikenakan nanti apabila perkhidmatan ‘buggy’ untuk urusan turun naik ke atas bukit itu diperkenalkan,” katanya.






Terengganu bina Pusat Sains dan Kreativiti



Oleh: Mohammad Ishak

Pembinaan sebuah Pusat Sains dan Kreativiti di negeri ini mampu memberi kemudahan dalam pembangunan sains apabila kompleks yang sedang dibina itu siap sepenuhnya pada akhir 2014.

Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pusat berharga RM43.8 juta yang terletak di kawasan seluas 25 hektar di Cendering,Kuala Terengganu kini sudah 76 peratus kemajuan pembinaannya.

Katanya, usaha pembinaan pusat itu dijangka dapat meningkatkan minat dikalangan anak tempatan dalam bidang sains dan dapat melahirkan kalangan saintis di kalangan remaja bermula dari pelajar sekolah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pusat sains baru itu mempunyai lima kompleks iaitu bangunan induk yang menempatkan Kompleks Utama Pusat Sains dan Kreativiti, Zon Dunia Maritim (Maritime World), Dunia Sains Tumbuhan (Flora World), dunia angkasawan dan Kompleks Inkubator untuk kajian sains .

“Kerja pembinaan yang menggunakan teknologi dan reka bentuk Korea, serbuah nergara yang maju dalam bidang sains di rantau ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains dan Inovasi di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmod 2, di Besut, dekat sini semalam.

Kerajaan negeri,katanya, memandang serius terhadap kuota penyertaan pelajar Terengganu dalam bidang sains masih di tahap rendah 20% .Beliau berharap dengan pembinaan pusat baru ini penyertaan pelajar dalam bidang sains di sekolah akan dapat diperbaiki.

Dr A Rahman meminta ibu bapa supaya menanamkan semangat dan cintakan sains di kalangan anak-anak.Sehubungan itu,katanya, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukkan RM1 juta setiap tahun untuk mengadakan aktiviti sains di sekolah-sekolah negeri ini

“Apabila siap nanti, pusat sains lama di Jalan Sultan Mohamad akan dijadikan sebagai balai pencerapan bagi melihat objek langit dan anak bulan sepenuhnya,” katanya.

TATiUC kekal kejuaraan Masiswa Zon Timur 2012

Oleh: Aida Abd Rahman
Kolej Universiti TATI (TATiUC) mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dalam Karnival Sukan Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Masiswa) Zon Pantai Timur 2012 yang berlangsung di Kemaman, baru-baru ini.

Pengarah karnival, Encik Wan Zulkarnain Othman berkata, TATiUC muncul juara untuk tahun kedua, malah memahat pencapaian lebih kali ini selaku tuan rumah penganjuran karnival itu.

Katanya, daripada 11 kategori yang dipertandingkan, tuan rumah berjaya memonopoli kemenangan dengan meraih emas untuk acara bola sepak, futsal perempuan, badminton lelaki dan perempuan, ragbi dan bola jaring.

Program selama empat hari itu menarik penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk 127 atlet tuan rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Pengerusi Lembaga pengarah TATiUC merasmikan karnival itu.



19 June 2012

Pengerusi JKKK dan Imam Masjid Daerah Besut sertai seminar


Seorang peserta seminar bertanyakan soalaan

Oleh: Mohammad Ishak

Seminar Inovasi Memartabatkan Peranan Masyarakat Dalam Pencegahan Jenayah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemimpin komuniti daerah Besut melengkapkan lagi usaha pasukan keselamatan berkenaan mendekati masyarakat.

Seminar itu walaupun singkat ia memberi impak besar kepada pemimpin masyarakat yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Imam Masjid di daerah Besut.

Pada program yang diadakan di Dewan Ibnu Sina,Pejabat Agama Daerah Besut, Kampung Raja, peserta yang dipilih khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, memberi penekanan terhadap usaha memerangi jenayah dan dadah.

Tiga tokoh berkaitan dalam bidang masing-masing menyampaikan ceramah khas yang didahului Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, diikuti Pegawai Agama Daerah Besut, Azmi Tengah dan ditutup oleh Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh.

Menerusi seminar itu pemimpin yang menjadi tonggak kepada masyarakat akar umbi itu diminta memainkan tugas dan tanggungjawab untuk membantu pasukan keselamatan dalam memerangi masalah sosial, dadah dan jenayah setempat.

Kamaruddin berkata, pihaknya bimbang indek jenayah di daerah itu sejak kebelakangan ini semakin meningkat terutama dalam kes rogol, pukul dan pecah rumah.

Sehubungan itu, polis daerah itu melancarkan program 1 Polis 1 Masjid bagi mengawasi gejala tidak sihat yang berlaku dikalangan remaja daerah terbabit.

Sementara itu, Abd Rahim pula mahu semua jawatankuasa masjid meningkatkan usaha menjaga kebersihan di pusat ibadat itu supaya semua 80 masjid di seluruh daerah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan cantik.

PSKT anjur Program Pencerapan Objek Langit

Oleh: Suriati Ali

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan menganjurkan Program Pencerapan Objek Langit di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada 20 Jun (esok).

Program yang akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman turut diselitkan beberapa aktiviti sampingan di lokasi berasingan.

Bengkel penyelanggaraan dan aplikasi teleskop dan ceramah berkaitan rukyah alam akan diadakan di dewan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Majlis perasmian Pencerapan Objek Langit dan Pelnacaran Kelab Astronomi Terengganu pula akan diadakan di dataran dan dewan konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Pemangku Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata orang ramai yang hadir pada program ini boleh mengetahuinya secara lebih mendalam mengenai objek ciptaan Allah di langit.

“Apa yang membanggakan, mereka akan diberi peluang menerap sendiri objek langit seperti, anak bulan, bintang dan planet,” katanya