Halaman

01 July 2012

Warga emas di DUN Wakaf Mempelam tidak tersisih

Oleh: Aida Abd Rahman
Keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian terbukti walaupun berada di kawasan pembangkang.

Malah, sikap itu sentiasa diamalkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah merangkap Pengerusi Penyelaras Umno DUN apabila meneruskan amalan melawat penduduk setiap kali mendapat maklumat berkenaan penduduk yang memerlukan perhatian.

Beliau disertai pegawai di Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, pegawai warisan Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Lebai Saleh menyertai Program Lawatan Muhibah dengan mengunjungi empat warga emas dan miskin di Kampung Lebai saleh, Kuala Terengganu, kelmarin (29 Jun).

Haji Wan Mahyuddin berkata, kerajaan BN dan Umno tidak pernah meminggirkan rakyatnya walaupun rakyat terlupa jasa dan pengorbanan kerajaan selama ini sehingga memilih pembangkang memerintah Wakaf Mempelam sepanjang 33 tahun lalu.

Katanya, Kerajaan BN menjaga kebajikan rakyat sejak dulu lagi dan tidak kerana berpaksikan mahu meraih undi dan sokongan rakyat semata-mata pada setiap kali pilihan raya umum.

“Boleh dikatakan setiap hari lawatan ini diadakan. Kita mendekati masyarakat yang memerlukan bantuan dan kecaknaan pemimpin. Jika pemimpin Pas yang dipilih majoriti penduduk di DUN Wakaf Mempelam gagal membela nasib rakyat, kita sama sekali tidak akan membiarkan penduduk yang harus dibantu ini hidup tersisih serta melarat tanpa perlindungan sewajarnya.

“Kita Cuma mahu rakyat berfikir dan merenung kembali jasa kerajaan BN dan Umno yang tidak pernah menghukum kesilapan rakyat memilih parti Pas yang gagal membela nasib dan memberi faedah kepada mereka,” katanya.

Dalam lawatan itu, empat penduduk, Aminah Abd Rahman, 62, Che Yah Awang, 59, Ismail Mohamad, 66, dan Gayah Ibrahim, 80, menzahirkan rasa gembira dan terharu dikunjungi pemimpin kawasan yang sanggup melawat dan menghulurkan bantuan kepada mereka.




Tindakan Maidam wajar dijadikan pengajaran


Oleh: Suriati Ali

Tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melucutkan serta merta pelantikan 39 amil tahun lalu membuktikan jabatan itu menjalankan tugas secara telus dan serius.

Pelucutan itu terpaksa diambil kerana amil tersebut didapati menyelewangan dan gagal menyerahkan wang kutipan zakat dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri kesal dengan tindakan mereka itu yang jelas tidak amanah dan jujur dalam menjalankan tugas.


Katanya, amil adalah individu yang dipercayai masyarakat, jika mereka bersikap tidak amanah, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pelbagai pihak.



“Tindakan tegas dengan menarik balik serta merta tauliah pelantikan jawatan itu adalah sebagai pengajaran kepada mereka kerana ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

“Kita berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran berguna kepada amil seluruh negeri yang dilantik secara rasmi untuk sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di padang bola Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, semalam.

Pada program sama, YB Khazan penyampaikan watikah pelantikan 1 Komuniti kepada wakil setiap daerah.

Pelbagai program diadakan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan wau malam, senam seni 1 Malaysia, jualan produk 1Malaysia, sukan rakyat dan sebagainya.

Program yang bertujuan memupuk perpaduan di kalangan ahli komuniti di Terengganu turut mengadakan `Konvoi Kembara Jalinan Kasih’ iaitu menziarahi da menemui penduduk kurang bernasib baik di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

YB Khazan turut memberitahu tugas amil selaku pihak yang diberi amanah untuk membuat kutipan zakat sewajarnya melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh jujur dan amanah.

“Apatah lagi ia menyedari dan menjadi kesalahan besar di sisi agama Islam apabila menyeleweng kutipan zakat,” katanya.


Pulau Redang rekod 80 penyu naik bertelur

Oleh; Esah Abdullah

Santuari Penyu Chagar Hutang di Pulau Redang merekodkan kira-kira 80 ekor penyu naik bertelur di situ sepanjang tahun ini.

“Perkembangan ini sesuatu yang memberangsangkan dalam usaha pemuliharaan hidupan itu,” kata Pembantu Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Siti Norazliyana Ali.

Katanya, jumlah berkenaan diketahui berdasarkan tag yang dilekatkan pada setiap penyu yang mendarat dan bertelur termasuk penyu yang baru pertama kali mendarat bagi tujuan kajian.

“Penyu merupakan sejenis haiwan yang akan kembali bertelur di tempat ia lahir walaupun telah merantau ke seluruh dunia untuk mencari makanan,” katanya.

Menurutnya, penyu bekenaan juga akan mencari pasangan di tempat asalnya dan sebab itu genetik haiwan ini tidak bercampur dengan penyu dari negara lain.

Tambahnya secara keseluruhannya tahun ini sebanyak 292 sarang penyu dicatatkan di santuari berkenaan dan kebanyakannya dari jenis penyu agar dan hanya sedikit dari jenis penyu karah.

“Di kawasan yang sama tahun lalu mencatatkan 596 sarang telur penyu direkodkan, 676 sarang (2010), 408 sarang (2009), 610 sarang (2008), 367 sarang (2007) dan 273 sarang (2006),” katanya.




Tabur kebaikan bukan untuk raih undi-YB Haji Khazan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil sikap mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi untuk pilihan raya tetapi mengorbankan kepentingan negeri bagi jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pelbagai pendekatan dilaksanakan kerajaan semata-mata mahu memberi keselesaan dan menjaga kebajikan rakyat, termasuk mewujudkan sistem pendidikan berkualiti, kemudahan kesihatan yang sempurna dan sebagainya.

“Semua dilaksanakan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk kepentingan parti.

“Apa yang menyedihkan, semua itu diputarbelitkan pembangkang supaya menampakkan apa yang dilaksanakan kerajaan itu berpaksikan kepada kepentingan politik,” katanya .



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di padang bola Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, semalam.

Pada program sama, YB Khazan penyampaikan watikah pelantikan 1 Komuniti kepada wakil setiap daerah.

Pelbagai program diadakan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan wau malam, senam seni 1 Malaysia, jualan produk 1Malaysia, sukan rakyat dan sebagainya.

Program yang bertujuan memupuk perpaduan di kalangan ahli komuniti di Terengganu turut mengadakan `Konvoi Kembara Jalinan Kasih’ iaitu menziarahi da menemui penduduk kurang bernasib baik di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

YB Haji Khazan berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya nampak salah, nampak hodoh dan berbaur politik bagi mereka, sedangkan pada masa sama mereka merasai kenikmatkan dan kebaikan yang ditakbur kerajaan.



“Bila sakit mereka pergi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dengan bayaran serendah mungkin, anak-anak pembangkang pun mendapat pendidikan di sekolah kerajaan, bila melihat keadaan itu, saya pun tidak faham apa yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan.

“Semuanya kebaikan telah pun kita laksanakan, bukan setakat itu saja malah pelbagai bantuan lain turut dihulurkan jika ada rakyat susah, hendak mengharapkan pembangkang, mereka hanya pandai menabur janjikan, hendak melaksanakannya jauh sekali,” katanya.



YPU tambah RM1 juta tabung pinjaman usahawan

Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan negeri akan menambah RM1 juta lagi untuk tabung pinjaman usahawan di negeri ini bagi membantu golongan itu mengembangkan perusahaan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, suntikan itu menjadikan dana tersebut berjumlah RM2 juta setahun bagi memenuhi keperluan usahawan tempatan.

Katanya, tambahan RM1 juta melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu antara lain bagi membantu para usahawan dalam pelbagai sektor termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


"Buat masa ini setiap tahun ada RM1 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam bentuk pinjaman kepada para usahawan dan mulai tahun depan, kerajaan negeri bersetuju untuk tambah RM1 juta lagi.

"Begitulah seterusnya, jumlah pinjaman untuk golongan usahawan di Terengganu akan kita tambah RM1 juta setahun," katanya baru-baru ini.

Dato’ Mohamed berkata, kerajaan negeri menerusi YPU akan terus memainkan peranan proaktif termasuk cuba mengubah minda para usahawan agar lebih kreatif dalam memajukan lagi perusahaan mereka.

Beliau menambah, sehingga kini, YPU berjaya melahirkan seramai 17,000 usahawan di negeri ini yang merangkumi pelbagai sektor perusahaan termasuk pembinaan, pertanian dan pelancongan.



30 June 2012

Ijazah berkembar Inspi-Universiti Islam Medan

Oleh FAUZI MOHD

Institusi Pengajian Islam (Inspi) di Binjai, Kemaman yang kos pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) kini merancang mengadakan program ijazah berkembar dengan Universiti Islam Medan (UIM), Indonesia.

Pengetuanya, Firdaus Khairi Abdul Kadir berkata, bagi tujuan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti berkenaan akan dimeterai bagi membolehkan pelajar lepasan Inspi menyambung pengajian peringkat ijazah di sana.

Menurutnya, beliau sendiri akan menyertai satu rombongan ke universiti tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung hasrat itu.

"Kita merancang untuk menjalin MoU dengan Universiti Islam Medan, mungkin selepas Aidilfitri nanti kita akan ke sana untuk mengadakan perbincangan mengenainya.

"Kerjasama itu juga membolehkan pelajar lepasan Inspi meneruskan pengajian peringkat ijazah dalam bidang dakwah, usuluddin dan syariah yang diiktiraf oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), " katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Idul Ilmi (konvokesyen) Graduan Inspi 2012 di Dewan Utama Menara Yayasan Islam Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah YIT, Alias Jaffar dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Insan) YIT, Ahmad Fadluldin Mohamad.

Pada majlis itu, seramai 56 pelajar menerima sijil serta wang tunai dengan 26 daripadanya merupakan pelajar yang mengikuti program pra Al-Azhar manakala 30 lagi bagi program Pra Universiti Islam Negeri (UIN) Itmamudirasah.

Firdaus menarik perhatian, Inspi pernah mengadakan MoU dengan Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kassim (UIN-Suska) di Riau, Indonesia dan ketika ini terdapat 40 pelajar lepasan Inspi sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah di sana.

"Seramai 20 lagi pelajar kita (Inspi) yang tamat pengajian akan menyambung pengajian masing-masing ke UIN-Suska tahun ini," ujarnya.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada 1984, kampus Inspi kini sedang berkembang pesat dengan fasa kedua sedang dalam pembinaan, dijangka siap penghujung tahun depan.

Jelasnya, fasa pertama merangkumi bangunan asrama, pentadbiran, blok kuliah serta masjid menelan belanja RM7.3 juta manakala fasa kedua menempatkan asrama tambahan serta dewan serbaguna melibatkan kos RM5 juta.

Pada masa ini, tambahnya, lebih 200 pelajar sedang menuntut di Inspi, milik YIT sambil dibimbing lebih 20 orang pensyarah dan dua naib pengetua.



Penyokong pembangkang mula beralih angin kepada BN

Semakin ramai penduduk negeri ini yang dulunya menyokong pembangkang kini beralih angin kepada Barisan Nasional (BN) kerana mereka semakin yakin dengan agenda transformasi dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Bekas Ketua Pemuda Keadilan Negeri Terengganu, Fahkrul Azman Abu Bakar, berkata pihaknya yakin penyokong pembangkang kini makin merosot kerana mereka sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin berkenaan yang hanya menumpukan kepada agenda peribadi.

“Selepas ini bukan saja penyokong pembangkang yang lari, tetapi juga pemimpin mereka juga tidak akan bertahan lama dalam parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat negara ini tambah yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, yang meletakkan pentadbiran negara ini di landasan yang betul.
“Keutamaan Perdana Menteri
kepada rakyat dalam semua aspek bantuan tambah meyakinkan rakyat kepada hala tuju yang mahu dibawa oleh beliau,” katanya.

Katanya, sikap Pas menganaktirikan PKR menjadikan ikatan Pakatan Rakyat (PR) bertambah tegang, sekaligus menyebabkan ramai peyokong PKR mula lari.



JKKK Kg Alur Tuman rancang masa depan anak-anak

Oleh :Amirullah Othman




Kira 400 orang telah hadir di Program Ramah Mesra bersama pemimpin di depan Pusat Khidmat Masyarakat JKKK Kampung AlurTuman, kelmarin.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Alur Tuman telah membelanjakan RM1220 untuk 120 orang kanak-kanak di Kampung Alur Tuman dan dalam proses membuka akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Program tersebut telah dihadiri oleh Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Penghulu Mukim Pulau Kerengga serta pemimpin-pemimpin sekitarnya.


Haji Nik Dir berkata, program ramah mesra yang dianjurkan oleh JKKK Kampung Alur Tuman ini amat baik untuk mengeratkan silaturahim antara masyarakat dengan pemimpin supaya setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan segera.

Menurutnya, beliau amat berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada semuajawatankuasa JKKK Kampung Alur Tuman kerana walaupun ia baru sahaja diluluskan, namun JKKK ini telah mampu mengadakan program yang besar seperti ini.

Pengerusi JKKK KampungAlurTuman,Khasperi Muda, mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar Terengganu, Pegawai Daerah Marang dan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang kerana telah meluluskan permohonan daripada masyarakat di Kampung Alur Tuman untuk menubuhkan JKKK.


Beliau berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan memulakan langkah awal dengan mengadakan pertemuan bersama semua lapisan masyarakat serta merancang masa depan anak-anak yang berusia enam bulan keatas dengan membuka akaun ASNB yang ditanggung sepenuhnya oleh JKKK Kampung Alur Tuman.

PuanAzlina Muhamad,Eksekutif Kanan Pejabat ASNB Kuala Terengganu berkata, program itu sangat baik bagi menjaga masa depan anak-anak dan berharap ia dicontohi JKKK kawasan lain.






Kerajaan prihatin masalah rakyat

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat miskin, termasuk ibu tunggal kerana macam-macam program dilakukan bagi membela nasib mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata seramai 12,000 rakyat negeri Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan hasil bantuan pelbagai program kerajaan.

Katanya, berdasarkan rekod Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YKPT) pada 2008, lebih 42,000 rakyat dikategori sebagai miskin dan mudah miskin.

"Namun, kini selepas pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan, hanya terdapat 30,000 rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan itu dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM1,500 bagi kawasan bandar dan RM1,000 bagi kawasan luar bandar.

“Mengenai bilangan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang agak tinggi di Terengganu, beliau menjelaskan terdapat banyak faktor yang menyumbangkan kepada masa lah itu,” katanya.

Katanya, pertama disebabkan bilangan kematian ketua isi rumah yang tinggi menyebabkan keluarga berkenaan hilang sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada bantuan JKM.

“Ada ibu tunggal sudah menjalankan perniagaan seperti menjahit dan membuat kuih, tetapi masih ada yang tidak membuat apa-apa pun, hanya tinggal di rumah mengharapkan belas ehsan dan bantuan kebajikan masyarakat sahaja.

“Kita perlu melatih mereka yang berminat berniaga supaya melibatkan diri dalam apa jua perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya




29 June 2012

IPGM anjur bicara tokoh

Oleh; Esah Abdullah

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail akan menganjurkan Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail 1948 – 2008 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, 3 Julai ini.

Allahyarham yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran ketika hayatnya juga merupakan bekas Pengarah IPGM tersebut diibaratkan seorang sebagai arkitek pendidikan yang amat dibanggai oleh rakyat Terengganu.

Menurut setiausaha program, Encik Zahar Ibrahim, ketokohan dan kecemerlangan beliau mempimpin bidang pendidikan memberi cetusan kepada IPGM untuk menganjurkan program berkenaan sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau dan seterusnya menjadi contoh kepada orang lain.

Katanya, tiga panel yang merupakan orang yang paling dekat dengan allahyarham ketika hayatnya dijemput iaitu anak sulungnya, Mohd Norazli Razali, mantan Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Pelajaran (ketika allahyarham), Wan Hashim Mohd dan S.M. Nor yang merupakan sahabat allahyarham sejak kecil.

``Ketiga-tiga panel tersebut akan membicarakan pelbagai aspek mengenai ketokohan sebagai seorang bapa, penjawat awam dan politik serta seorang rakan yang amat baik,’’ ujarnya.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang bertindak selaku moderator yang juga merupakan bekas pelajar allahyarham dan mentor.

Katanya, program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kira-kira 2,000 orang akan menyertai program tersebut yang terrdiri daripada guru-guru, pensyarah, guru-guru pelatih serta mantan pengarah IPGM di wilayah Timur dan keluarga allahyarham turut diundang.