Halaman

27 July 2012

Jabatan Penerangan anjur Program Kembara Jalur Gemilang

Jabatan Penerangan Negeri akan menganjurkan Program Kembara Jalur Gemilang Ramadhan di seluruh negeri bermula 27 Julai hingga 12 Ogos, bagi menanamkan semangat cintakan negara di kalangan penduduk tempatan.

Penolong Pengarahnya, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata program itu akan bermula di Masjid al-Taqwa Kampung Nyior Tujuh, mulai jam 4 petang hingga 11 malam, hari ini (27 Julai).

Pada keesokannya program itu akan diteruskan di Masjid Kampung Pak Be, Langkap, Setiu dan diikuti Surau Balai Maras, Batu Rakit, Setiu, pada 31 Julai.

Pada 1 Ogos pula, program yang sama diadakan di Rumah Anak Yatim Akhyar, Kuala Terengganu.

Program berkenaan akan berakhir pada 12 Ogos di mana lokasi yang ditetapkan ialah Surau Sekolah Kebangsaan Kertih, Kemasek.


Polis Besut anjur majlis berbuka puasa bersama komuniti


Ketua Polis Terengganu bersalam dengan pelajar IMTIAZ Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Polis Besut anjur majlis berbuka puasa bersama komuniti Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Besut adalah antara tetmu jemputan yang diraikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, sempena majlis berbuka puasa dan Program Polis Bersama Komuniti semalam.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Surau PDRM Besut di Kampung Gelam Emas,Kampung Raja, dekat sini, turut disertai ahli dan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kempung (JKKK), Imam dan bilal serta pemimpin NGO lain.

Program itu bertambah meriah dengan kehadiran Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa serta pegawai kanan PDRM Kontijek Terengganu dan Daerah Besut.

Sempena majlis itu juga didakan majlis penyerahan sumbangan kepada balu anggota polis yang meninggal dunia dikuti tahlil dan doa selamat

Jamshah yang diiringi Ketua Polis Daerah Besut,Superentanden Kamaruddin Mohd Zakaria, kemudian mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar IMTIAZ dan jemputan lain sebelum menyertai majlis berbuka puasa.

Kamaruddin berkata, program PDRM bersama komuniti menjadi acara tradisi pihak polis dalam usaha mendekati masyarakat terutama pemimpin NGO di daerah itu.

Beliau berkata, ini kerana pemimpin terbabit banyak membantu polis dalam usaha membasmi kegiatan jenayah dan sosial yang berlaku di daerah itu termasuk pada bulan Ramadan.

Duit poket RM810,400 untuk remaja DUN Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri memperuntukkan RM810,400 bagi menyediakan `duit poket’ sempena Ramadan kepada 4,052 remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang diagihkan sepanjang empat hari bermula 16 Julai lalu.

Agihan bantuan Dana Remaja kepada penduduk berusia 21 tahun ke atas dan belum berumahtangga itu disampaikan Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Haji Wan Mahyuddin berkata, pengagihan dilaksanakan menerusi lapan siri sepanjang empat hari yang berlangsung pada pagi dan petang dengan 509 penerima menjadi kumpulan terakhir mendapat dana berkenaan.

“Manfaatkanlah wang dana yang anda perolehi ini sebaik mungkin. Gunakanlah untuk perkara yang positif dan dapat mendapatkan kebaikan kepada diri sendiri.

“Saya mewakili kepimpinan negeri yang ditunjangi parti Umno dan Barisan Nasional (BN) juga menyeru remaja semua merenung kembali segala jasa bakti dan usaha kerajaan yang sentiasa membela nasib rakyat dan golongan remaja seperti saudara- saudari semua termasuk bantuan dana ini. Oleh yang demikian berilah sokongan kepada parti yang terbukti membela kebajikan kita,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM89.26 juta bagi menyediakan bantuan dana itu sepanjang tempoh empat tahun bermula 2008 lalu.

Daripada jumlah itu RM18.69 juta disediakan pada 2008 yang memberi manfaat kepada 93,478 penerima remaja, manakala RM23.15 juta (90,081 penerima) pada 2009, diikuti RM23.42 (95,252 penerima) pada 2010 dan tahun lalu RM24 juta yang melibatkan 95,219 penerima.




TIIAF 2012 bakal dihadiri 50,000 pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 50,000 pengunjung tempatan dan luar negara dijangka hadir memeriahkan `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Program yang berlangsung selama empat hari dan bermula 14 September itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama TTI.

Sebanyak 17 negara, termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Jepun, China, India dan Pakistan akan terlibat sepanjang program itu berlangsung.

Pengarah Urusan TTI Haji Engku Md Azmi Engku Abd Rahman berkata, apa yang membanggakan, pakar-pakar seni khat dan pemuzik profesional dari Mesir, Turkey, Syria, Iran, Afrika Selantan dan Sepanyol turut menyertai festival kali kedua dianjurkan.

Katanya, program yang akan berlangsung nanti adalah kesinambungan daripada program Inspirasi Seni Khat Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun lepas.

“Sambutan yang diterima pada program itu sangat menggalakkan sehingga mendorong TTI memperluaskan program sama ke peringkat antarabangsa.

“Di samping seni khat yangdiperkenalkan tahun lepas, pengunjung festival kali akan meyaksikan keunikan Muzikhat iaitu suatu konsep persembahan muzik yang digubah dan dialun dengan keindahan seni khat,” katanya.

Menurutnya, batikhat akan diperagakan secara ekslusif kepada orang ramai supaya lebih memahami fungsi dan teknik batikhat.

“Pihak kami berharap dengan adanya festival seumpama ini, ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan tersohor seiring dengan acara lain seperti Moosun Cup, Sukan Berkuda dan 4x4 Challange.


MENTERI BESAR KE MAJLIS PENYERAHAN KUNCI PERUMAHAN AFFIN ISLAMIC BANK/MAIDAM, AGIHAN ZAKAT HARI RAYA DAN MAJLIS BERBUKA PUASA DI MASJID PADANG NENAS, MENGABANG TELIPOT


26 July 2012

Baikot gerai kotor- YB Dr A.Rahman

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar mengesyorkan orang ramai membaikot peniaga yang tidak menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan seperti tidak memakai apron dan makanan yang tidak ditutup .

Katanya, orang ramai perlu berhati-hati memilih makanan dan ambil berat tentang kebersihan terutama dalam bulan puasa begini gerai makanan tumbuh bagai cendawan.

``Jika pengguna masih membeli makanan di premis berkenaan seolah-olah mereka menggalakkan peniaga bersikap ambil mudah dan tidak peka kepada apsek kebersihan,’’ katanya.

Menurutnya, pegawai kesihatan negeri dan daerah serta pegawai penguatkuasa PBT akan sentiasa mengadakan pemeriksaan dan pemantauan dari masa kesemasa untuk memastikan semua peniaga mematahi peraturan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pada Ops Ramadan tahun lalu, sebanyak 71.4 pertus atau 1,734 gerai daripada 2,427 bazar Ramadan seluruh negeri mendapat penilaian 80 peratus ke atas, manakala bakinya mendapat penilaian 60 hingga 80 peratus dan tiada premis yang mendapat penilaian 60 peratus ke bawah direkodkan.

Daripada 135 sampel makanan yang diambil untuk dianalisis mikrobiologi oleh Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati 71 sampel atau 52.6 pratus didapati melanggar standard yang ditetapkan iaitu mengandungi S aureus, B cereus, Salmoneila, E coli dan kolifrom.



Ahli Serikandi tidak lupa jasa ahli veteran

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA



Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) tidak pernah melupakan jasa dan keringat ahli-ahli veteran Serikandi yang sebelum ini bergiat aktif dalam semua perkara.

Untuk terus merapatkan hubungan sedia ada, Serikandi mewujudkan Program Ziarah Ramadan Ahli Veteran Serikandi bertujuan melawat dan bertanya khabar mereka yang uzur.

Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Norliza, berkata program seumpama ini bukan saja mampu merapatkan hubungan antara ahli veteran dan ahli baru malah dapat berkongsi pengalaman.

“Semua ahli-ahli veteran ini banyak pengalaman kerana pernah bergiat aktif dalam semua perkara sewaktu suami masing-masing bergelar wakil rakyat dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada era 80-an lalu.

“Kami menghargai jasa dan bakti mereka kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada kami semua yang masih aktif sebagai ahli Serikandi,” katanya.


Katanya, dia dan ahli rombongan lain cukup gembira kerana dapat berkumpul dan menziarahi ahli-ahli veteran yang kebanyakan sudah uzur dan ada juga yang menghidap penyakit tertentu seperti diabetis, jantung dan sebagainya.

“Kami cukup mengharapkan kedatangan ini dapat menghilangkan rasa rindu dan sunyi mereka,” katanya.






Ahli Veteran Serikandi terharu terima kunjungan To’ Puan Norliza

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA


“Hanya ungkapan terima kasih yang mampu diucapkan kepada isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Norliza Mahmud dan semua ahli rombongan kerana sudi melawat saya yang sudah uzur ini.

“Rombongan seumpama ini mampu menghilangkan rasa sunyi kerana saya kini hanya terperap di rumah anak kerana mengalami sakit lutut dan terpaksa bertongkat untuk berjalan,” kata ahli veteran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), Hajah Kamariah Taib, 72.

Beliau antara lima ahli veteran yang dikunjungi kira-kira 15 ahli Serikandi sempena Program Ziarah Ramadan yang diadakan di beberapa kampung sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Ahli rombongan menghadiahkan pakaian raya, kurma dan biskut raya kepada ahli veteran yang dikunjungi sebagai tanda ingatan.

Seorang ahli veteran Hajah Mariam Abd Rahman, 61, berkata dia cukup terharu kerana rombongan Serikandi sudi melawatnya pada bulan Ramadan ini dan mudah-mudahan Allah memberkati segala usaha yang dijalankan.

“Walaupun ada di antara ahli veteran sudah tidak aktif untuk mengikuti mana-mana program dan mesyuarat, rombongan ini tetap menghargai kami,” katanya yang ditemui di rumahnya, di Kampung Jeram, Manir.

Seorang lagi ahli veteran dari Kampung Wakaf Tembesu To’ Puan Haja Rogayah Dato’ Yusof, berkata dia cukup terharu di atas komitmen Serikandi kerana sudi melawat ahli-ahli veteran yang uzur.

Katanya, jika mereka tidak berkunjung dan bertandang ke rumah, mungkin dia sukar untuk mengenalinya secara dekat dan beramah mesra bersama isteri wakil-wakil rakyat yang ada sekarang ini.

“Mujur sangat mereka datang, sekurang-kurangnya hilang sedikit rasa rindu saya kepada semua ahli Serikandi.

“ Apabila bersama mereka terbit rasa rindu untuk turut aktif tetapi ianya seakan msutahil untuk berbuat demikian kerana saya kini haya mampu tinggal di rumah kerana keuzuran,” katanya.





TBS sedia dana tanpa had

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan dana tanpa had di bawah Tabung Bantuan Segera (TBS) untuk membantu anggota masyarakat ketika berhadapan saat kecemasan.

Timbalan Pengarah 1 JKM negeri, Hajah Che Mah Darus berkata, TBS mula diperkenalkan bulan lepas dengan bantuan RM300 bagi setiap kes.

“Bantuan yang disediakan ini lebih tertumpu kepada kes-kes kematian, bencana alam dan seumpamanya yang memerlukan bantuan segera,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Katanya, isteri kematian suami yang mempunyai ramai tanggungan juga diberi keutamaan bagi membantu meringankan beban sebelum menerima apa-apa pampasan lain.

Walaupun bantuan ini nampak mudah dan cepat tapi pihaknya tidak sewenang-wenangnya meluluskan setiap yang datang memohon sebaliknya mengenalpasti mereka yang benar-benar layak dibantu.

Beliau tidak menolak, ada individu mengambil kesempatan di atas keperihatinan jabatan membantu golongan susah dan membuat pelbagai helah untuk mendapatkan wang tunai.

“Bantuan tunai hanya diberi kepada mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan, bukannya saja-saja untuk berbelanja perkara yang tidak berfaedah,” katanya.