Halaman

18 August 2012

MB berbuka puasa bersama mahasiswa Terengganu


Oleh : Amirullah Othman

Seramai 1,000 mahasiswa dari IPTA dan IPTS dalam dan luar negara hadir pada majlis berbuka puasa bersama-sama pemimpin tertinggi negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Besar Taman Tamadun Islam, kelmarin.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof; Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Y.B. Hj Muhammad Ramli Nuh, Pegawai Pembangunan Dun Wakaf Mempelam, pemimpin-pemimpin masyarakat serta pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Menteri Besar dalam ucapannya menggesa para mahasiswa Negeri Terengganu supaya komited dengan pelajaran dan jangan terbabit dengan dakyah-dakyah pembangkang yang hanya merugikan mereka.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia dan Negeri Terengganu telah memberikan pelbagai bentuk pinjaman dan biasiswa untuk kesenangan mahasiswa untuk terus menimba ilmu supaya tidak tercicir atas alasan masalah kewangan.

“Negara-negara lain tidak menyediakan kemudahan sebagaimana yang dijalankan di Malaysia pada hari ini. Haruslah rakyat Malaysia bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada pemimpin yang melaksanakan dasar-dasar kearah kecemerlangan pelajaran.

“Negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang sudah tersohor dari segi pencapaian pelajarannya. Pencapaian UPSR, PMR, SPM dan STPM yang johan peringkat negara secara berturut menunjukkan Terengganu merupakan sebuah negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan di Terengganu seperti menaiktaraf jambatan, jalanraya, prasarana-prasarana lain untuk memberikan keselesaan kepada rakyat negeri Terengganu.

Selain itu, pelabur-pelabur dari luar negara juga telah memberikan persetujuan untuk melabur di Terengganu dan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu.



Jadual rumah terbuka Aidilfitri Pemimpin Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat UMNO Bahagian Besut menyelaras majlis sambutan Aidilfitri bagi semua pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut bagi memudahkan orang ramai mengatur perjalanan ke rumah pemimpin terbabit.

Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian, Salleh Abd Latif berkata, jadual yang diselaraskan itu bertujuan sebagai panduan kepada penduduk daerah Besut dan rakyat negeri ini untuk berhari raya dan beramah mesra dengan pemimpin bahagian berkenaan.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih yang juga Ketua UMNO Bahagian, mendahului program apabila beliau dan isteri akan menganjurkan sambutan Aidilfitri pada hari raya kedua (Isnin) yang akan berlan gsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong.

Pelbagai jenis makanan dan juadah tradisional disediakan mengikut gerai yang disusun atur dan menyamai sebuah restoran untuk kemudahan pengunjung mengambil makanan sambil bersantai.

Manakala pada hari ketiga (Selasa) majlis secara serentak tetapi di kediaman masing-masing akan diadakan membabitkan tiga ADUN dan Ahli Parlimen. Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, akan mengadakan sambutan di kediaman beliau di Kampung Alur Lintang.

Manakala tiga ADUN iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar akan mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman beliau di pekan Kuala Besut.

Sementara itu, ADUN Kota Putera.Muhamad Pehimi Yusof akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Batu Tumboh manakala ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,akan mengadakan majlis serupa yang akan diadakan di Dewan Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut,Kampung Cegar Batang.

Rumah terbuka MB raya pertama


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, pada hari raya pertama.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, akan melayan para tetamu yang berkunjung ke kediaman mereka bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Rakyat jelata, termasuk dari bangsa lain dijemput datang ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini.




MB rai kakitangan berbuka puasa


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meraikan kakitangan dan keluarga pejabat Menteri Besar Terengganu pada majlis berbuka puasa di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Isteri beliau, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta anak-anak turut hadir pada majlis tersebut yang merupakan acara tahunan bagi menghargai kakitangan pejabat Menteri Besar di semua peringkat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Penyelidik Kanan, Encik Hambali Abd Latif dan Setiausaha Akhbar, Encik Rosli Zakaria, hadir sama pada majlis itu.

Menteri Besar turut menyumbangkan ‘duit raya’ kepada semua kakitangan berkenaan.





JPN garis lima langkah ke arah Terengganu Negeri Anjung Ilmu

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pendidikan negeri mengariskan lima langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mewujudkan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Pengarahnya, Encik Zakaria Hussin berkata, langkah pertama ialah membekalkan bahan sokongan pembelajaran semerta kepada setiap pelajar sasaran utama dan pelajar berpotensi bagi memperolehi semua A dalam empat peperiksaan awam.

“Kita jangka 16,000 pelajar akan terlibat di bawah program ini dengan anggaran kos RM600,000,” katanya di majlis Pelancaran Program Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Stadium Gong Badak baru-baru ini.

Katanya, jabatan juga memperuntukkan RM200,000 dengan penglibatan 1,550 untuk mengadakan akademik 201052 selama tiga hari dua malam dan program cakna peperiksaan awam dengan memasang kain rentang di semua sekolah dan tempat strategik bagi menyemarak dan kecaknaan masyarakat yang menelan belanja RM50,000.

Selain itu, jabatan akan menghimpunkan semua pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan percubaan UPSR, PMR, SPM dan STPM selama dua hari satu malam di bawah program keterbilangan bersama kepimpinan negeri.

“Satu gerakan emergensi diadakan di setiap daerah melibatkan pelajar, ibu bapa, guru, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), JPN dan kerajaan negeri bagi mencetuskan tahap kesedaran tinggi terhadap kecemerlangan pedidikan di negeri ini,” katanya.

Seterusnya beliau yakin dan komited mengekalkan keunggulan Terengganu dalam peperiksaan awam terutama UPSR yang telah mengungguli peratus tertinggi pencapaian semua A selama 11 tahun berturut-turut manakala peperiksaan lain terus menunjukkan peningkatan setiap tahun.




Terengganu kekal kuasa sukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Gelaran juara buat kali keempat berturut-turut membuktikan Kerajaan Terengganu konsisten dalam menetapkan hala tujunya untuk memastikan pembangunan sukan negeri berada pada landasan yang kukuh.

Pada edisi kali ini, Sang penyu yang bertandang ke Pahang dengan kekuatan `hanelang’ diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail terus mencetus fenomena untuk mengekalkan kuasa sukan negara.

Pencapaian 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa merupakan pencapaian terbaik yang pernah diraih kontinjen Terengganu, berbanding kejuaraan tiga edisi Sukma terdahulu.

Kejuaraan pertama selaku tuan rumah pada Sukma ke-12 2008 dengan membolot 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa dianggap segelintir pihak sebagai jaguh kampung.

Namun, berbekalkan usaha dan perancangan efektif, teliti dan jitu yang didukungi bapa pembangunan sukan negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semua kontinjen akhirnya akur dengan kehebatan Terengganu yang terus mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Sukma Melaka 2010 apabila meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Malah, Terengganu terus melakar hatrik kejuaraan pada Sukma Kuala Lumpur tahun lalu dengan membawa pulang 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Menteri Besar berkata pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi indikator utama yang menjulang Terengganu selaku kuasa sukan negara dan muncul juara buat kali keempat berturut-turut.

Malah, atlet negeri ini yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi memberangsangkan.

Kejayaan Terengganu pada edisi Sukma Pahang turut menafikan penguasaan Selangor selaku juara Sukma tujuh kali sejak 1988 untuk menghuni tangga kedua dengan koleksi 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Sejarah turut tercatat pada Sukma lalu apabila menyaksikan atlet angkat berat Terengganu, Abdul Mubin Rahim diumumkan olahragawan mengiringi Frenceay Titus dari Sabah yang muncul olahragawati.


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin - MB


Saya mengambil kesempatan sempena hari yang mulia ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Terengganu.

Kepada perantau, saya dan keluarga mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan pandulah kenderaan anda dengan cermat serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Pada hari yang mulia ini ambillah kesempatan untuk menziarahi kedua ibu bapa kita, kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Kunjung mengunjung sempena Aidilfitri ini merupakan tradisi turun temurun yang mampu memupuk kemesraan antara kaum keluarga dan sahabat handai kita.

Justeru itu, saya minta tradisi ini diteruskan dan dipupuk di kalangan generasi muda. usah biarkan anak-anak kita melepak di depan televisyen atau bermain video game di dalam bilik saja pada sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Sempena hari lebaran ini marilah kita sama-sama ketepikan segala selisih faham, perbezaan ideologi politik, sambil kita semua mengeratkan semula tali silaturahim agar umat Islam dan bangsa Melayu menjadi kuat.

Tidak ada gunanya kita bergaduh sesama sendiri semata-mata disebabkan perbezaan pendapat dan fahaman politik kerana ia merugikan umat Islam dan bangsa kita sendiri.

Sementara kita masih bercakaran sesama sendiri, bangsa lain dan penganut agama lain sudah jauh meninggalkan kita dalam semua bidang.

Akhir sekali, saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakyat Terengganu jika sepanjang perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, terdapat kesilapan yang tidak disengajakan.





Terengganu boleh!


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Terengganu menyimpan impian besar untuk mengatasi rekod Selangor yang pernah muncul sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) selama enam tahun berturut-turut.

Bermula sebagai juara Sukma pada tahun 2008, Terengganu tidak menoleh ke belakang lagi apabila menguasai kejohanan tersebut pada setiap temasya hingga kini menjuarai Sukma buat kali keempat berturut-turut.

“Pada kejohanan Sukma di Pahang baru-baru ini, banyak pihak tidak menjangka yang Terengganu akan mengekalkan kejuaraan sukan tersebut.

“Ini memandangkan pada peringkat permulaan kejohanan tidak banyak pingat emas yang kita menang dan saingan terdekat meninggalkan kita agak jauh dari segi pungutan pingat,” katanya ketika meraikan atlet, pengurus pasukan dan pengawai Sukma pada majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Terengganu yang bermula agak perlahan pada peringkat awal temasya sukan terulung di Malaysia itu, bangkit pada peringkat pertengahan dan muncul juara Sukma ke-15 selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Menteri Besar berkata, beliau amat kagum dengan kegigihan dan semangat juang tinggi yang dimiliki atlet Terengganu yang terus berjuang pada kejohanan Sukma di Pahang.

“Saya yakin jika atlet kita mengekalkan semangat mereka dan terus berlatih bersungguh-sungguh, Terengganu akan muncul juara lagi pada kejohanan akan datang,” katanya penuh yakin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri berkeyakinan tinggi bahawa rekod Selangor dapat diatasi kerana semua kemudahan dan insentif untuk mereka, termasuk menjalani latihan di luar negara, telah disediakan.

“Dari segi bajet untuk sukan, Selangor hanya menyediakan RM4 juta untuk atlet mereka bagi menghadapi Sukma, tetapi Terengganu menyediakan peruntukan RM7 juta.

“Secara keseluruhan bajet untuk atlet kita (termasuk insentif kejayaan) Terengganu menyediakan peruntukan RM12 juta pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi komimen yang tinggi terhadap bidang sukan dan sentiasa menghargai mereka yang berjaya dan mengharumkan nama negeri di persada negara mahu pun antarabangsa.




PGA rampas barang seludup bernilai RM2.6 juta

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas pelbagai jenis barang yang cuba diseludup masuk ke negara ini bernilai RM2.6 juta dalam tempoh sebulan lepas.

Ajutan PGA Batalion 9 Terengganu, ASP Mohd Yusuf Ujang berkata rampasan itu adalah antara kejayaan besar pasukan keselamatan tersebut sejak mengambil alih tugas operasi di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang di Kelantan pada 16 Julai lalu.

"Antara barang yang kita rampas ialah beras, dadah, mercun, haiwan ternakan tanpa permit dan pakaian yang cuba diseludup masuk ke negara ini bagi mengelakkan cukai.

"Seramai 300 anggota telah berkawal di sana untuk menggantikan PGA Kuantan sebelum kami mengambil alih operasi dan selepas ini, PGA Pengkalan Chepa pula bertugas di kawasan itu,” katanya kepada pemberita, di satu majlis, baru-baru ini.

Katanya, pelbagai taktik digunakan, termasuk menyembunyikan bahan seludup dalam himpunan barangan keperluan harian, membawa masuk haiwan ternakan dan beras melalui sungai dan sebagai.

“Apa juga taktik, kita tetap berjaya menemuinya, hasil daripada sepakat dan kerjasama semua anggota,” katanya.




17 August 2012

Derma darah waktu malam di Hospital Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Walupun berpuasa tetapi bukan menajdi penghalang kepada umat Islam untuk menderma darah kepada tabung darah di hospital negeri ini.

Semangat ingin berbakti dan beramal pada bulan mulia ini dibuktikan oleh penderma darah daerah Besut apabila mereka tanpil menderma darah masing-masing kepada tabung berkenaan yang kini memerlukan lebih banyak darah untuk kegunaan pesakit.

Seramai 50 penderma tanpil secara sukarela menyertai kempen derma darah anjuran Unit Tabung Darah Hospital Besut (HB) yang diadakan di hospital berkenaan malam semalam.

Penderma terbabit datang menderma darah selepas selesai menunaikan solat tarawih di surau dan masjid masing-masing kerana pada Ramadan umat Islam tidak dapat melakukan aktiviti itu pada siang hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar berkata, pihak unit tabung darah kini memerlukan lebih banyak keperluan darah untuk kegunaan hospital selain dijadikan simpanan ketika berlaku kecemasan.

Katanya, selain di hospital unit berkenaan juga mengadakan kempen secara meluas di 10 masjid terpilih seluruh Kuala Terengganu. Kempen yang dijalankan pada sebelah malam itu, antaranya membabitkan Masjid AL-Muktafi Billah Shah, Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Rhusila, Masjid Pengadang Baru, Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin dan Masjid Instep.

“Pihak kami mengakui pada bulan Ramadan seumpama ini, penderma darah daripada masyarakat Islam berkurangan kerana tidak dapat menderma pada siang hari.

Katanya pada setiap kempen diadakan purata hanya 30 hingga 50 penderma saja yang tampil untuk menderma berbanding 80 hingga 100 penderma pada hari biasa.

Selain itu,katanya, unit berkenaan juga mengadakan kempen di pusat-pusat komuniti yang menjadi tumpuan ramai untuk menggalakkan masyarakat bukan Islam turut menderma.

“Walaupun Unit Tabung Darah belum menghadapi masalah kritikal kekurangan darah, tetapi ianya perlu mempunyai simpanan untuk menampung jika berlaku kecemasan yang memerlukan darah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata, apabila menjelang perayaan statik kemalangan jalan raya meningkat dan ada yang mengalami kecederaan teruk dan memerlukan bantuan daerah segera.

Dr A Raahman berkata, pada masa ini unit tabung darah tersebut memerlukan kira-kira 1,000 hingga 1,200 pain darah sebulan untuk membantu kes pesakit.