Halaman

08 September 2012

Kepakaran jurulatih China bentuk atlet Terengganu terbaik negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menggunakan kepakaran jurulatih yang diimport dari China untuk melatih atlet negeri bagi acara menembak, renang, terjun, wushu dan gimnastik pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun depan dan Perlis 2014.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin, berkata pihaknya kini dalam proses mengenal pasti jurulatih dari negara berkenaan dalam usaha menjadikan atlet Terengganu sebagai yang terbaik di negara ini.

"Kita sedang mendapatkan maklumat jurulatih yang berpotensi sebelum berlepas ke China untuk melakukan rundingan dan melihat sendiri sesi latihan yang mereka kendalikan di sana.



"Berdasarkan pencapaian jurulatih dari China di Olimpik London baru-baru ini membuka mata seluruh dunia terhadap keberkesanan teknik latihan serta jurulatih mereka menyebabkan kita berminat menggunakan kepakaran mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri MSN Terengganu di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (6 September).

Beliau berkata pihaknya juga dalam perancangan mencari jurulatih dari Thailand bagi acara sukan Muay Thai yang akan diperkenalkan buat pertama kali pada Sukma Kuala Lumpur nanti.

Haji Zainal Abidin berkata Terengganu turut akan mengambil bahagian dalam satu lagi acara baru di Sukma Kuala Lumpur iaitu 'wood ball', sejenis sukan padang yang mirip kepada acara kriket dan sedang mengenal pasti atlet berbakat bagi acara tersebut.

Beliau juga yakin dengan kemampuan atlet Terengganu dalam sukan akuatik terutamanya bagi acara terjun.

"Atlet kita mempunyai kelebihan kerana Terengganu yang dikelilingi dengan keadaan semula jadi yang banyak iaitu sungai dan pantai malah mereka mempunyai sifat keberanian yang tinggi.

"Kita juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada seorang aktivis sukan yang sanggup bekerjasama menyediakan kemudahan dalam usaha melahirkan atlet akuatik setanding dengan penerjun negara, Pandelela Rinong," katanya.

Dalam pada itu, Sukma ke-16 di Kuala Lumpur bakal berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai 2013 yang mempertaruhkan 19 acara sukan.








55 Kereta berhias berarak simbolik kemerdekaan ke 55 sempena Merdeka Raya Daerah Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Jalan utama sekitar daerah Besut dipenuhi ribuan penonton yang keluar memenuhi tepi laluan utama bagi menyaksikan perarakkan kereta berhias sempena sambutan Merdeka Raya Peringkat Daerah Besut malam tadi.

Perarakan dilepaskan serentak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan DUN Hulu Besut kemudian bertemu di Bandar Jertih sebelum ke Stadium Mini Besut,Kampung Raja, mewarnai daerah itu dengan ciptaan kereta berhias.

Orang ramai keluar membanjiri jalan raya dari Kuala Besut ke Jertih dan Pasir Akar ke Jertih dan laluan akhir Jertih-Kampung Raja menyaksikan kemeriahan penduduk daerah itu penuh semangat menyambut hari kemerdekaan negara.

Sebelum ketikaan kereta berhias Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih, mengetuai lebih 1,000 penduduk termasuk kaum Cina membawa tanglung mengelilingi Bandar Jertih.

Warga Besut sememangnya memberi sokongan paling meriah kepada program itu kerana inilah kali pertama kereta berhias memenuhi jalan raya sekitar daerah itu dengan pelbagai bentuk dan kreativiti hasil ciptaan penduduk.

Polis menjalankan tugas secara professional dan berjaya mengawal keadaan lalu lintas meskipun ia laluan utama membabitkan pelbagai kenderaan yang keluar masuk ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Penonton yang hadir bukan sahaja orang Besut malah disokong oleh penduduk daerah Setiu,Pasir Puteh, Macang dan Tanah Merah,Kelantan yang bersempadan dengan daerah ini.

PPAT wujud 88 pustaka desa

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mewujudkan 88 buah perpustakaan desa di seluruh negeri ini nyata memberi impak positif kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sikap penduduk pedalaman yang gemar mengunjungi `gedung ilmu’ atau perpustakaan berbanding mereka tinggal di kawasan bandar.

Berdasarkan perangkaan, perpustakaan desa mencatatkan 512,477 bilangan pengunjung pada tahun lalu, perpustakaan daerah dan pekan (354,372 pengunjung) dan perpustakaan pusat pula seramai 244,200 pengunjung.

“Sikap ini sewajarnya dicontohi, walaupun tingal di kawasan pedalaman dan kurang kemudahan awam untuk ke perpustakaan mereka tetap berusaha meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha PPAT menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.

“Setiap Sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini,” katanya.

Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu.


07 September 2012

MB Bersama Bakal Haji

WAJAH-WAJAH MAJLIS PERASMIAN KURSUS HAJI PERDANA 1433H/2012M PERINGKAT NEGERI TERENGGANU DI STADIUM TERTUTUP, KOMPLEKS SUKAN GONG BADAK, KUALA TERENGGANU YANG DIRASMIKAN MENTERI BESAR, DATO' SERI HAJI AHMAD SAID.

GAMBAR-GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Seri Haji Ahmad Said bermesra dengan bakal haji.

Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud bersalaman dengan peserta kursus.

Antara bakal haji yang menghadiri Kursus Perdana Haji.

Menteri Besar ditemani SUK Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah berkenalan dengan peserta kursus haji.

Seorang bakal haji khusyuk mendengar taklimat daripada Tabung Haji.

Selamat mengerjakan haji....mungkin itu yang diperkatakan Menteri Besar kepada peserta kursus haji.

UniSZA terima 1,200 pelajar sesi 2012/2013

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Seramai 1,200 pelajar baru telah memulakan program pengajian peringkat ijazah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi pendaftaran sesi akademik 2012/2013.

Naib Canselor UniSZA, Dato’ Prof. Dr Alias Daud berkata mereka mengikuti pengajian di sembilan fakulti antaranya bahasa dan komunikasi, informatik, pengajian kotemporari Islam, pengurusan perniagaan dan perakaunan, pertanian dan bioteknologi serta rekabentuk inovatif dan teknologi.

“Kesemua pelajar ini akan menjalani Minggu Mesra Siswa selama empat hari untuk pendedahan mengenai universiti,” katanya.

Dato’ Prof Dr Alias kemudiannya berharap semua pelajar baru dapat menyesuaikan diri sepanjang pengajian di kampus dan jadikan program Minggu Mesra Siswa sebagai flatfrom untuk mengenali rakan-rakan baru.





Harga rumah PMINT berpatutan

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha membangunkan kemudahan perumahan dengan harga berpatutan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang lebih selesa dan kondusif.

Harga yang ditawarkan bagi setiap unit bergantung kepada jenis rumah iaitu rumah kos rendah ditawarkan pada harga RM42,000 dan rumah mampu milik pula RM62,000.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda (gambar) berkata, permohanan terhadap projek perumahan yang dibina secara berperingkat-peringkat di Pulau Duyong itu sangat menggalakkan tetapi terpaksa ditapis dengan mengutamakan penduduk setempat.

“Apa yang membanggakan projek pertama mengandungi 120 unit rumah mampu sudah pun didiami sepenuhnya sejak lima tahun lalu.

“Projek kedua melibatkan 176 unit dengan keluasan 844.75 kaki persegi pula sudah siap sepenuhnya, akhir tahun lalu, mereka yang terpilih dijangka mendiaminya selepas mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF),” katanya.

Katanya, pihaknya tidak jemu berusaha dengan memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat, termasuk berkaitan rumah perkedaian, tempat letak kereta dan sebagainya.

“Kita membina rumah dengan harga berpatutan bagi memastikan penduduk di Terengganu memiliki kediaman yang lebih selesa dengan suasana kondusif,” katanya.




06 September 2012

Hanya BN tunai janji – PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sentiasa menunaikan janji kepada rakyat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyelar sikap sesetengah pihak yang mempertikaikan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-55 tahun ini iaitu “Janji Ditepati”.

Beliau tidak faham kenapa pihak berkenaan mempertikaikan tema tersebut sedangkan menepati janji memang amat dituntut dalam ajaran Islam.

Puluhan ribu penduduk dari daerah Setiu dan Besut berhimpun di Kampung Tok Lebai, Jabi, Setiu bagi menyambut pemimpin kesayangan mereka, Dato' Seri Mohd Najib.

“Dalam sembahyang kita berjanji untuk menyerahkan hidup dan mati kita kepada Allah. Bila kita berjanji kepada Allah kita wajib menunaikannya…begitu juga bila kita berjanji kepada manusia, kita mesti menunaikannya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Kampung Tok Lebai, Jabi, Setiu, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji mereka kepada rakyat, sedangkan perkara itu tidak berlaku di kalangan pemimpin parti pembangkang.

Perdana Menteri menyampaikan `hadiah'  hari raya kepada warga emas.

Beliau berkata, sejarah membuktikan bahawa pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji tetapi mereka tidak menunaikannya.

Sebagai bukti, katanya, pembangkang berjanji untuk melakukan banyak perkara di Selangor setelah mereka menang dalam pilihan raya itu seperti pemberian air percuma, bantuan kepada ibu tunggal dan sebagainya, tetapi ia tidak ditunaikan.

“Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku di Terengganu ada tahun 1999 (semasa Pas memerintah negeri ini}?” soal beliau sambil disahut ‘ingat’ dengan laungan yang kuat oleh hadirin majlis itu.

Perdana Menteri berharap rakyat negeri ini mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyokong kerajaan negeri semasa agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti.




Lebih 20,000 hadir majlis raya bersama PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Haji Mohamad Ishak
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Dato' Seri Mohd Najib menggandar cenderahati berupa makanan tradisional hasil nukilan JKKK kawasan dan penduduk Kampung Jabi.

Lebih 20,000 penduduk sekitar Parlimen Setiu dan Besut membanjiri padang bola Kampung Tok Lebai, Jabi, bagi menghadiri majlis sambutan Aidilftri bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang disambut dengan penuh meriah dan kehormatan kepada pemimpin kesayangan rakyat itu.

Penduduk kampung keluar beramai-ramai bagi mendengar amanat Perdana Menteri.

Sambutan luar biasa dan meriah terhadap kunjungan pemimpin nombor satu itu pasti menyebabkan Perdana Menteri boleh tidur lena malam ini.

“Kalaulah bendera yang dipacak di sepanjang jalan dari Pengkalan TUDM Gong Gedak (tempat pesawat Perdana Menteri mendarat} hingga ke tapak majlis ini diadakan, tiada satu pun bendera lain (parti pembangkang).

Apa yang dibincangkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najid sehingga kedua-dua pemimpin Barisan Nasional itu ketawa besar.




“Sampai di sini pula melihat ramai orang hingga penuh sesak dalam khemah yang begini besar…Bila bersalam dengan genggaman yang erat, barangkali saya tidur ‘jenera” (nyenyak) malam ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut sambil diiringi tepukan gemuruh rakyat Terengganu yang berhimpun sejak awal pagi bagi meraikan kehadiran pemimpin kesayangan mereka.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu.



Secara berseloroh Perdana Menteri berkata, beliau tidak kisah walaupun jarinya berasa sakit kerana digenggam teralalu kuat oleh orang ramai, asalkan ia diterjemahkan dengan undi kepada calon Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, berdasarkan sambutan meriah dan kehadiran luar biasa penduduk di Setiu dan Besut, beliau yakin BN dapat mengekalkan kedua-dua kerusi Parlimen tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, katanya, semua empat kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen Setiu dan Besut juga dapat dipertahankan dan kerusi berkenaan akan dimenangi BN sampai bila-bila.

PPNT sedia galas tanggungjawab jayakan TMT


Oleh; Esah Abdullah



Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri untuk bersama-sama menjayakan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) pada 2013.

Pengerusinya, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, pihaknya bersedia memain peranan dan merealisasikan apa saja tugas yang diberikan kerajaan dan akan memastikan TMT berjalan lancar.

“Saya berharap kerajaan segera menghidupkan Payang Warisan Alam Kebudayaan (Payang Walk) yang dirancang sekian lama demi merealisasikan program TMT,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli-ahli di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, Payang Walk merupakan satu produk baru pelancongan di negeri ini kerana ia bakal menempatkan pelbagai aktiviti di pentas kebudayaan seperti mak yong, rodat, wayang kulit dan sebagainya turut diadakan jualan barangan kraf, kuih muih, laman seni , kios minuman dan river cruise.

“Saya yakin jika semua perancangan ini menjadi kenyataan, tiada lagi rungutan dari pelancong luar yang menginap di bandaraya ini, kerana tiada tempat bagi mereka menikmati aktiviti pada waktu malam di sini,” katanya.

Katanya, mengikut perancangan asal Payang Walk akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam enam petang hingga 12 malam di mana pelancong boleh menikmati keindahan bandaraya dengan menaiki River Cruise menyusur sungai pada waktu malam.

“Bila naik ke darat, mereka boleh menjamu selera dengan memilih apa saja juadah rakyat tempatan yang disediakan di gerai-gerai jualan serta kios minuman di kawasan persekitaran.

Sehubungan itu, sempena TMT sebanyak 33 acara utama dan sampingan yang dirancang oleh Sektariat TMT dalam Kalendar Pelancongan Negeri dan mensasarkan empat juta pelancong asing dan domestik akan datang ke negeri ini.




Pmint bina tempat letak kereta elak kesesakan

Ole: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membina tempat letak kereta bertingkat di Jalan Engku Embong Fatimah, Kuala Terengganu sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan bandar raya.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda (gambar), berkata kemudahan setinggi 9 tingkat itu akan mengadungi 718 lot tempat letak kereta berada di tingkat 1 hingga tingkat 6) dan lapan lot kedai di tingkat 1.


“Manakala kemudahan lain iaitu pusat boling yang mempunyai 30 lorong ditempatkan di tingkat 7 dan 10 dewan panggung payang berada di tingkat 8 hingga tingkat 10.

“Kos bagi projek ini masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan perundingan dan jika tiada aral, kita akan membinannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, apa yang dilaksanakan itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

“Sewajarnya, kita sebagai rakyat tidak mensia-siakan apa yang diberi supaya pihak mampu meneruskan kesinambungan pada maa depan,” katanya.