Halaman

09 September 2012

Terengganu tuan rumah KIK Perpustakaan SeMalaysia kali ke-4

Oleh: Aida Abd Rahman
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Negeri akan mengajurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perpustakaan SeMalaysia kali ke- 4 2012 bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada 18 hingga 19 September ini.

Majlis bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pengarah PPAT,Hajah Nor Akmal Abd Fatah, berkata Konvensyen KIK bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai produktiviti dan kualiti serta menjadikan KIK sebagai satu alat untuk penyelesaian masalah serta penambahbaikan yang berterusan, memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota perpustakaan di seluruh negara yang terlibat dalam kumpulan KIK masing-masing.

“Pada masa yang sama ia juga memberi peluang membentangkan idea dan projek mereka serta berkongsi pengalaman kumpulan KIK masing-masing serta meningkatkan kesedaran dalam menambah nilai produk dan perkhidmatan sedia ada.

“Peserta juga mampu memberi idea yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan kualiti kerja serta memberikan perkhidmatan perpustakaan yang cemerlang ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia berasaskan ilmu pengetahuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, sebanyak 16 kumpulan akan menyertai KIK termasuk Titanium, C-FAR, KL LIB, R.E.A.D, WAVE ICQ, Spektrum, Tuah, Vitalize, X-Tra Ordinary, 5K, Intelek 2.0, Q-LIB, Smart Layer, Bibliotera, Elite 10 dan Lentera.

Program Konvesyen bermula pada 18 September (Selasa) jam 9 pagi didahului dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, sebelum ucapan perasmian oleh Dato’ Ahmad Razif.

Sementara majlis penutup pula akan berlangsung pada 19 September (Rabu) jam 8.15 malam dengan ucapan penutup oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu(Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Muda.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan diakhiri dengan acara makan malam sebelum melabuh tirai oleh persembahan lagu-lagu Tradisional Terengganu.




JKKK Gong Gucil johan pertandingan perarakkan Merdeka Raya Besut


JKKK Gong Gucil Juara Perbarisan Merdeka Raya Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Keseragaman dan kreativiti yang ditonjolkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Gucil dalam acara perarakkan membuahkan hasil apabila dipilih sebagai johan sempena Sambutan Merdeka Raya Daerah Besut semalam.

Dengan kejayaan itu JKKK Gong Gucil mewakili DUN Jertih mempertahankan status sebagai juara dua tahun berturut-turut dalam program sambutan Hari Kemerdekaan peringkat daerah itu yang diadakan secara besar-besaran dalam tempoh dua tahun.

JKKK Gong Gucil mempersembahan gaya yang begitu hebat sehingga mampu menarik minat ribuan penonton kerana kreativiti cara berpakaian, kerjasama ahli dalam masa berarak, dan mempunyai persembahan nyanyian patriotik.

Kejayaan itu memberi peluang pasukan itu meraih hadiah wang tunai RM3,000, sijil dan piala.Manakala tempat kedua ialah JKKK Padang Tapong dan ketiga JKKK Gong Bukit Kenak.

Bagi acara kereta berhias tempat pertama dimenangi Jabatan Pertyanian Daerah Besut, kedua Jabatan Kerja Raya dan ketiga sebuah syarikat swasta dari Kampung Pak Wong.

Merdeka Raya Daerah Besut anjuran bersama Pejabat Daerah Besut,Majlis Daerah Besut (MDB) UMNO Bahagian Besut swekali lagi mencatat sejarah apabila lebih 30,000 penduduk membanjiri dataran Pantai Air Tawar yang dijadikan lokasi perhimpunan peserta.

Ketua Umno Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara merasmikan program berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada peserta dan kontijen yang berjaya dalam pelbagai acara yang dipertandingkan sempena program itu.

Hadir sama Penaihat Agama Perdana Menteri,Datok’Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut,ADUN Kuala Besut, DR A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali,Pegawai Daerah A Rahim Jusoh, Yang Dipertua MDB,Ibrahim Mohamad dan Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong.

Sambutan Aidilfitri DUN Teluk Pasu Meriah

MENTERI BESAR DAN ISTERI DI MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI DUN TELUK PASU DI PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN TELUK PASU, MANIR.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Seri Haji Ahmad Said menyuap kek meraikan anak dari DUN Teluk Pasuk yang lahir pada tarikh Merdeka 31 Ogos.

Kehadiran Menteri Besar dan isteri disambut meriah oleh penduduk DUN Teluk Pasu.



Pasangan pengantin baru turut diraikan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Menteri Besar turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada wakil penduduk.

Lautan manusia yang hadir pada Sambutan Aidilfitri DUN Teluk Pasu di Pusat Khidmat Masyarakat.

SUK RAI PESARA KERAJAAN

WAJAH-WAJAH MAJLIS AIDILFITRI DAN MESYUARAT AGUNG/PERWAKILAN TAHUNAN PERSATUAN PESARA KERAJAAN MALAYSIA BAHAGIAN NEGERI TERENGGANU TAHUN 2012/KALI KE-20 DI DEWAN YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA, KUALA TERENGGANU YANG DIRASMIKAN OLEH SUK, DATO' HAJI MAZLAN NGAH.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Haji Mazlan Ngah menerima cenderahati ketika merasmikan mesyuarat agung/perwakilan tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia bahagian Negeri Terengganu.

Antara pesara-pesara yang hadir pada majlis berkenaan.


Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah diperkenalkan dengan ahli Persatuan Pesara Kerajaan.

Menikmati jamuan Hari Raya.

08 September 2012

Hotel TH siap tahun depan

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Hotel Tabung Haji (TH) berharga RM 50 juta yang dibina tidak jauh dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijangka akan dapat memulakan operasi tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kiri) berkata, hotel yang mempunyai 180 bilik itu kini sudah 60 peratus siap dan akan dapat digunakan pada musim haji tahun depan.

“Semua jemaah yang akan mengikuti kursus perdana atau yang akan berlepas ke Tanah Suci akan ditempatkan di hotel berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak petang semalam.


Hadir sama To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat; Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil dan Pengarah TH Terengganu Haji Mokhzani Mokhtar.

Menteri Besar ketika berucap di hadapan bakal haji yang mengikuti Kursus Perdana Haji.

Seramai 1,800 bakal jemaah haji dari seluruh negeri berhimpun di Stadium Tertutup bagi mengikuti kursus selama dua hari untuk mendalami kaedah rukun haji yang betul seperti tawaf, sa’ie, melontar jamrah dan amalan-amalan yang berkaitan dengan haji.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, tahun ini terdapat enam penerbangan haji secara terus dari LTSM di mana tiga penerbang pertama akan mendarat di Madinah dan tiga penerbangan akhir terus ke Jedah.

“Tahun ini kerajaan turut menaja 100 jemaah terdiri daripada penjawat awam yang menerima Anugerah Perkhidmat Cemerlang, Imam, Bilal dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.


Katanya, pihak kerajaan sedang berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan kouta 50 tempat lagi setelah 50 daripadanya sudah mendapat pengesahan.

Menteri Besar turut menasihatkan semua bakal jemaah agar sentiasa menjaga adat sopan selaku tetamu Allah sepanjang berada di Tanah Suci Mekah serta patuhi arahan petugas TH dari semasa kesemasa.

Jemaah pertama di negara ini dijangka berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 17 September ini dan penerbangan terakhir ialah pada 19 Oktober, manakala penerbangan terus dari LTSM pula bermula 28 September hingga 17 Oktober.





TH wujud talian ibadat

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA


Tabung Haji (TH) telah mewujudkan talian khas dikenali sebagai Talian Ibadat (TAIB) yang boleh dihubungi oleh para jemaah untuk bertanya hal ehwal ibadat haji semasa berada di Tanah Suci Mekah mulai tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil (gambar kiri) berkata, selain itu e-book TH juga telah dilancarkan pada awal tahun ini.

“E-book ini membolehkan bakal-bakal haji mendapatkan bahan penerbitan ibadat haji dengan lebih jimat, cepat, praktikal dan mudah diakses walau di mana saja mereka berada,”.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim Haji 1433H/2012M di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak petang semalam.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah merasmikan majlis berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Mufti Terengganu, Dato’ Dr, Alias Abdullah dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Dato’ Haji Rozali Salleh.

Kursus Perdana Haji peringkat negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Katanya, TH telah dapat mengekalkan pengiktirafan MS SO 9001;2008 Perkhidmatan haji tahun ini yang merujuk kepada pengurusan haji di tanah air dan Tanah Suci serta sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan nilai tambah dalam pengurusan haji dari semasa kesemasa.

Katanya, selaras dengan visi TH iaitu ‘tunggak kejayaan ekonomi ummah, pengurusan haji terbilang’ pelbagai kursus diadakan seperti kursus asas haji, kursus insentif haji dan kursus perdana haji.

“Kita juga menganjurkan kursus khas haji untuk warga emas dan juga kepada bakal haji yang terpilih di saat akhir,” katanya.

Haji Abdul Halim turut berpesan kepada semua jemaah agar mematuhi segala peraturan dan arahan pentadbiran hal ehwal haji yang dikeluarkan oleh petugas TH dan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Antaranya syarat ketat yang dikenakan ialah tidak membenarkan jemaah menubuhkan kumpulan untuk berhimpun dengan tujuan menjalankan upacara agama yang taksub terhadap aliran tertentu seperti berzikir dan berdoa di Masjdil Haram dan Masjid Nabi,” katanya.







Usaha berterusan, PRU13 penentu nasib bangsa : Ahmad Maslan

Teks dan Gambar oleh: Mastura Jamaluddin

Datuk Ahmad Maslan bersama barisan pemimpin jentera Umno Bahagian ketika hadir di Hulu Terengganu.

Usaha berterusan semua jentera Umno Bahagian mampu membawa kejayaan kepada Umno serta Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

PRU kali ini amat penting kerana menentukan nasib bangsa ,agama dan tanahair, demikian kata Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata rakyat negara ini mempunyai banyak sebab mengapa perlu menolak PKR serta penyokong-penyokongnya.


“Ini amat penting kerana jika PKR yang memerintah maka bangsa melayu akan hancur di tangan mereka.Kita akan kehilangan segala hak keistimewaan yang kita dapat selama kerajaan Barisan Nasional memerintah sekiranya mereka mengambil alih kerajaan,” kata beliau semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu, semalam (7 September).

Turut hadir, kira-kira 450 orang para perwakilan.


Datuk Ahmad Maslan turut menerangkan 10 sebab mengapa perlu memilih Dato’ Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan menyokong penuh pentadbiranya selain, 10 sebab mengapa perlu menolak Anwar Ibrahim.

Malah, kenyataan beliau itu mendapat perhatian serius daripada para perwakilan Pemuda Umno yang hadir.






Terengganu tidak tandus pelumba pelapis

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu tidak ketandusan atlet pelapis sukan berbasikal berikutan seramai 60 remaja bawah 14 tahun sedang giat menjalani latihan menerusi program pembangunan atlet di bawah Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT).

PLBT berhasrat mendedahkan pelumba muda itu dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) bermula 2016 atau 2017.


Jurulatih pasukan berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata mereka merupakan atlet yang berbakat dan berpotensi menjadi atlet berjaya sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa pada masa depan.

"Mereka kini diletakkan di bawah program pembangunan atlet dan kita akan asuh atlet-atlet ini supaya mereka boleh mencapai tahap tertinggi,"katanya.
Menurut Syed Mohd Hussaini program pembangunan atlet itu ditaja beberapa syarikat tempatan dan syarikat menjual basikal dari Singapura.

"Syarikat berkenaan menaja barang-barang peralatan basikal termasuk jersi untuk atlet itu berlumba," katanya.

Selain itu, PLBT juga memberi tumpuan kepada atlet berbasikal wanita dan pencarian pelumba wanita itu akan dibuat dari semasa ke semasa.







Gandakan calon wanita : Shahrizat

Teks dan Gambar oleh: Mastura Jamaluddin

Calon wanita perlu digandakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 13 nanti kerana ia selaras dengan peranan wanita sebagai tunjang belakang Umno dan sudah terbukti berwibawa sebagai pemimpin.

Dato' Seri Shahrizat (dua dari kanan) ketika menghadiri perasmian Persidangan Perwakilan Wanita Bahagian Hulu Terengganu.

Ketua Wanita Umno Malaysia,Dato' Seri Shahrizat Abul Jalil turut berkeyakinan undi wanita pada kali ini lebih memihak kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah disebabkan kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional telah banyak melakukan perkara dalam pelbagai sektor di samping pembelaan nasib mereka melalui institusi keluarga.


"Wanita adalah tunjang belakang Umno dan sanggup berkorban demi parti yang tercinta.Mereka sanggup meninggalkan suami,anak-anak dan rumah untuk memastikan kemenangan parti apabila diperlukan.Wanita sedia berkhidmat tanpa mengira masa dan tempat dan ini tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak tentang pengorbanan mereka”katanya semasa perasmian Persidangan Perwakilan Wanita Bahagian Hulu Terengganu, semalam (7 September).

Ucapan beliau sentiasa mendapat tepukan gemuruh oleh para perwakilan wanita apabila menyentuh kewibawaan mereka yang bergelar wanita.

“Skuad sayang yang sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU ke-13 nanti yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja dan paling penting mereka telah bersedia sepenuhnya untuk bekerja.

“Saya tekankan bahawa wanita akan bekerja tanpa mengira calon yang bertanding tapi demi parti Barisan Nasional demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.”katanya lagi.









30,000 hadir sambutan Merdeka Raya Daerah Besut di Pantai Air Tawar



Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak yang kagum dengan sambutan luar biasa penduduk daerah Besut dan Setiu pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Padang Bola Kampung Tempinis,Jabi pada 6 September lalu,penduduk daerah berkenaan sekali lagi membuktikan mereka boleh melakukan kejutan.

Ini terbukti apabila program Merdeka Raya Peringkat Daerah Besut yang berlangsung di Pantai Air Tawar pagi tadi mampu mengejutkan semua pihak apabila mendapat sambutan meriah sekaligus mencatat satu lagi sejarah kepada daerah itu.

Lebih 30,000 penduduk menghadiri program anjuran Pejabat Daerah Besut,Majlis Daerah Besut dan UMNO Bahagian Besut.

Sempena program itu pelbagai acara menarik diadakan termasuk perarakkan kereta berhias, motosikal berkuasa tinggai kenderaan pacuan empat roda, kereta nasional. Motosikal roda tiga, bot berhias dan perarakan dari kontijen jabatan kerajaan,

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelajar. Program yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh mampu menyuntik semangat patriotik dikalangan penduduk dan peserta program kerana mereka membiayai sendiri untuk menyertainya.

Paling membanggakan ramai anak muda dan golongan usia emas turut serta dalam acara perbarisan sejauh dua kilometer dari pekan sehari Kuala Besut dan berakhir di Pantai Air Tawar.

Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh berkata, beliau bangga kerana penduduk daerah itu memberi kerjasama dan sokongan kuat kepada program yang dianjurkan menyebabkan dua program besar tahun ini dianggap berjaya.

Hadir sama memeriahkan program itu ialah Ahli Parlimen Besut,Dato;Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Kuala Besut,Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof,ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Jabi,Ramlan Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut,Ibrahim Mohamad dan Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong.