Halaman

08 October 2012

UMT adakan program hari kepelbagaian kebudayaan sedunia

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Unesco Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan program hari kepelbagaian kebudayaan sedunia untuk memberi kesedaran pentingnya mengenali budaya yang terdapat di seluruh dunia.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazeli berkata, setiap bangsa mempunyai budaya yang berbeza dan sikap saling menghormati perlu dipupuk bagi kesejahteraan dunia sejagat.

“Apabila kita menghormati budaya bangsa lain, ianya merupakan satu proses globalisasi kesejahteraan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di UMT hari ini.

Hadir sama Prof. Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Presiden Kelab Unesco UMT Encik Mohd Nashzuan Shaharuddin. Hadir sama pensyarah, kakitangan akademik dan bukan akademik serta 200 penuntut universiti tempatan dan antarabangsa.

Katanya, Unesco berusaha mempromosikan pendidikkan, sains dan budaya namun untuk program hari ini lebih tertumpu kepada kebudayaan bagi mempromosikan kemamanan.

 “Mewujudkan keamanan sejagat melalui promosi kebudayaan dan bangsa dilihat mempunyai keserasian dengan duduk semeja dalam suasana harmoni,”

 katanya. Menurut Prof Dr Azhar, ini program kali ketiga pernah diadakan di mana sebelum ini diadakan Program berbentuk internasional iaitu Gala Night dan Program Kesedaran Penjagaan Spesis Penyu.

“Selepas ini kita bercadang untuk mengadakan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Kelautan Sedunia yang membabitkan penuntut dari unviersiti luar dari UMT, pelajar dan masyarakat awam di negeri ini,” katanya.

Pelajar universiti ada hala tuju jelas

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kemenangan besar kumpulan proaspirasi (Pro-A) pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini menunjukkan golongan pelajar kini mempunyai hala tuju yang jelas.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata kemenangan itu amat bermakna kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia dianggap manifestasi sokongan rakyat kepada kerajaan.

“Kita harap sokongan pelajar kepada kerajaan akan berterusan hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 di mana kita boleh menang besar dan membentuk kerajaan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan besar calon Pro-A pada pemilihan MPP di IPTA seluruh negara yang disifatkan memberi petanda baik kepada BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kejayaan Pro-A menguasai hampir kesemua universiti, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang, pada pemilihan baru-baru ini menguatkan sokongan masyarakat kampus terhadap Kerajaan BN.

Dato’ Tengku Awang berkata, masyarakat pelajar kini telah faham dan mampu mengenali mana kaca dan yang mana intan.

“Mereka kini yakin dengan Kerajaan BN yang sentiasa menunaikan janji seperti slogan “Janji Ditepati” kerana sejarah telah membuktikan rekod pentadbiran BN.

“Masyarakat kampus sedar bahawa parti pembangkang tidak akan mampu menandingi pemimpin BN di mana pembangkang hanya pandai menabur janji tetapi tidak menunaikannya,” katanya.

Beliau turut berkata, pembentangan Bajet 2013 yang dilakukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak amat menggembirakan golongan pelajar dan generasi muda kerana ia banyak memberi imbuhan kepada golongan tersebut.

 

Pemimpin harus berani tentang pembohongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin dan ahli politik harus berani berdepan setiap pembohongan yang dilontarkan puak yang berkepentingan dengan menentangnya secara berhemah.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata sebagai pemimpin dan ahli parti yang sejati serta berikrar untuk taat setia kepada parti yang didokong, keberanian dan kesungguhan perlu diterap dalam diri masing-masing bagi menangkis serangan musuh.

“Jadi kita kena berani berdepan dengan pembohongan, kita kena kuat dan kita kena bersungguh-sungguh.

“Dalam dunia komunikasi massa hari ini berdiam diri bermakna seolah-olah kita mengesahkan apa sahaja tuduhan yang dilakukan kepada kita,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, dalam realiti dunia politik, tugas pembangkang pastinya `membangkang’ walaupun apa sahaja kebenaran dan kenyataan yang dilakukan pihak kerajaan serta parti yang memerintah.

Katanya, kita harus bijak menangani segala pembohongan dan fitnah yang dicipta pembangkang itu secara berhemah, selain harus bersedia berdepan dengan mereka menggunakan fakta yang tepat serta meyakinkan.

“Sesuatu yang tidak benar bahkan berbentuk fitnah, jika diulang berkali-kali di tempat yang sama lama-lama akan dipercayai sebagai benar. Demikian yang dinamakan sebagai `propaganda’.

 “Kata Joseph Goebbels, Menteri Propaganda di zaman Hitler, `if you tell a lie big enough and keep repeating it, people will eventually come to believe it’,” katanya.

 

Terengganu hebat

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukthtar (Pelatih)

Terengganu berada pada kelas tersendiri dalam sektor pendidikan sehingga menjadi ikutan negeri lain, malah Kerajaan Pusat turut menjadikan Terengganu sebagai contoh dalam beberapa program yang dirintis peringkat negeri.

Pendekatan dan usaha yang dipacu kerajaan negeri berjaya memberi impak positif dalam sektor itu, khususnya kejayaan mengekalkan prestasi teratas mengalahkan negeri lain dalam peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Malah, kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada 25 peratus dari bajet tahunan bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak Terengganu bukan hanya dalam jangka masa pendek, juga pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai `Negeri Anjung Ilmu’ dengan memulakan langkah memperkenalkan program khatam al-Quran yang disertai oleh anak-anak Terengganu yang berumur lima tahun hingga 12 tahun sejak beberapa tahun lalu dan tidak dilaksanakan negeri lain.

 Tambahnya, kerajaan juga sentiasa prihatin dan mengambil berat perihal pelajaran anak Terengganu dan sebagai kesinambungan itu kerajaan berusaha menyediakan perancangan mahu pun kaedah terbaik dalam kemudahan pendidikan.

 Menurutnya, kaedah itu termasuk memperkenalkan skim kepada pelajar yang cemerlang di peringkat ijazah dan berjaya memperolehi kepujian kelas pertama dengan 3.75 dan ke atas dengan menukarkan pinjaman berkenaan dalam bentuk biasiswa.

 “Setiap tahun, kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar demi pendidikan anak-anak Terengganu dan bagi memberi pendedahan serta pengalaman di samping mencari ilmu di negara orang, kerajaan juga terlibat di dalam pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa buah universiti tempatan dan luar negara,” katanya.

 Pada masa yang sama, Dato’ Seri Haji Ahmad juga mengingatkan rakyat negeri ini mengamalkan budaya menabung di mana budaya itu memberi banyak manfaat dan faedah di samping meringankan beban ketika mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi berikutan kos yang tinggi selain tidak terlalu bergantung harap kepada pinjaman negeri mahu pun pinjaman dari agensi-agensi lain semata-mata.

Dayana Chacho muncul johan deklamasi puisi bulan bahasa

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) Dayana Chacho, 21, diumumkan sebagai johan Kategori Terbuka Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri malam tadi.

Beliau yang berasal dari Sabah memilih sajak `Warkah Buat Bonda’ karya Salmiah Ismail mengalahkan lima lagi peserta termasuk johan menunggu dalam pertandingan akhir itu.

Pelajar tahun pertama jurusan Kaunseling itu menerima wang tunai RM800, medal dan sijil.

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori terbuka dimenangi penuntut dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit, Sharvina Sara a/p Chandi Bal dan Nor Atiekah Hidayah Hussain.

Masing-masing menerima wang tunai RM600 dan RM400 serta sijil. Tiga lagi peserta yang mendapat hadiah saguhati ialah Azahari Ibrahim (johan menunggu), Tengku Anizan Tengku Ibrahim dan Junita Mohamad.

Bagi kategori sekolah menengah dimenangi oleh pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Mohd Ramdan Kamal Md Jamal dengan sajak `Inilah Suara Bangsa’ karya Sharif Putera.

Tempat kedua dimenangi oleh Nur Syahidah Suhaimi, 14, pelajar SMK Tengku Ibrahim Setiu, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Fatihah Ariffabilah, 14, dari SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun. Pemenang menerima wang tunai RM500, RM300 dan RM200 serta sijil kecuali juara turut menerima medal.

Tiga peserta yang menerima hadiah saguhati ialah Noor Azreen Ismail (SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun), Nor Ainn Alfatihah Zamzuri (SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Batu Rakit) dan Nur Akmaliah Alias (SMK Seri Berang, Kuala Berang)

Sementara itu, bagi kategori sekolah rendah dimenangi oleh Siti Nur Zulaikha Mat Lazim, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Kemaman, tempat kedua dan ketiga merupakan pasangan adik beradik Nur Dalila Abd Razak, 7, dan Nur Aisyah Syukriah Abd Razak, 9, masing-masing dari SK. Batu 29, Setiu.

Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Sasteranwan Terengganu (Pelita) itu diadili oleh Ketua Biro Utusan Melayu Terengganu Encik Wan Zulkifli Wan Yaakub. Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Timur, Encik Sharul Rizal Hashim dan Ketua 11 Pelita, Encik Abdul Mubin Ismail selaku ketua hakim.

Semua hadiah pertandingan disampaikan oleh Ketua Unit Penerbitan DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam Juhari. Turut hadir Ketua 1 Pelita, Syed Mohd Nor Tuan Long.

 

Guru SMAN Terengganu sudah diberi pilihan

Oleh: Noraini Jusoh

Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu sebenarnya telah diberi pilihan samada untuk kekal di bawah kerajaan negeri atau diserapkan di bawah Kementerian Pelajaran.

Oleh yang demikian, tidak timbul masalah tidak puas hati setelah mereka diserapkan ke dalam skim perkhidmatan pelajaran kerana mereka sendiri yang telah membuat persetujuan melalui opsyen yang telah diberikan.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman ketika diminta mengulas mengenai surat oleh Guru Dilema dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 September lalu.

“Semasa tawaran pertukaran pelantikan untuk menyertai Kementerian Pelajaran ini dibuka kepada guru-guru SMAN Terengganu tiada paksaan samada mereka ingin menerima tawaran ini atau tidak. “Kebanyakan golongan muda memberikan reaksi positif terhadap tawaran ini dan hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak bersetuju.” ujarnya.

Menurut beliau lagi, guru-guru agama yang baru berkhidmat dan masih muda menyokong penuh usaha kerajaan ini kerana berpendapat bahawa tawaran ini membuka peluang kepada mereka untuk kenaikan pangkat dan kedudukan setaraf dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran yang lain disamping berpeluang melanjutkan pelajaran.

 “ Sebilangan guru-guru yang tidak bersetuju dengan tawaran ini terdiri daripada mereka yang telah lama berkhidmat dan akan pencen tidak lama lagi.

 “Justeru, soal paksaan dan tidak puas hati sekiranya menerima arahan untuk bertukar keluar daerah seharusnya tidak timbul kerana semasa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran diadakan, mereka mempunyai hak untuk membuat pilihan.’’ tambahnya.

Mengenai soal tugasan pula, Dato’ Ahmad Razif turut menjelaskan bahawa tidak berlaku pertindihan tugas kerana semua tugas guru-guru SMAN Terengganu telah diselaraskan.

Oleh itu, diharap semua guru SMAN Terengganu sentiasa bersemangat untuk mendidik anak-anak dan tidak menjadikan isu ini sebagai halangan untuk mereka mencurah ilmu kepada generasi muda.

 

Pemimpin UMNO Rhu Rendang turun padang

Oleh :Amirullah Othman
Gambar oleh Amirullah Othman

Demi mencorakkan masa depan yang gilang-gemilang, meraih kejayaan dan kemenangan dunia dan akhirat, BarisanNasional (BN) akanmemastikan pembangunan di RhuRendang, Marang setanding dengan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Terengganu.

Nik Dir melawat warga emas yang uzur.
Justeru itu, setiap detik dan ketika Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji NikDir Nik Wan Ku, bersama-sama pemimpin setempat terus turun padang menziarahi pelbagai lapisan masyarakat untuk memastikan kehidupan rakyat terbela.

Inilah sikap pemimpin BN yang gigih bekerja demi rakyat dan mempunyai keyakinan tinggi demi memastikan Bandar Marang, terutama DUN Rhu Rendang, berubah wajah dan tidak ketinggalan berbanding daerah lain.


Hasilnya, Bandar Marang kini yang berada dalam DUN Rhu Rendang sekarang ini tidak seperti dulu lagi kerana pembangunan yang di bawa oleh Kerajaan Barisan Nasional walaupun Adun dari parti Pas.

Jika dilihat dari sudut Islam pula konsep kepimpinan adalah sesuatu yang penting di dalam urusan sosial dan kenegaraan.

Kepimpinan yang baik dilihat dari contoh Rasulullah S.A.W. sebagai ketua di dalam tangannya terletak kuasa, tanggungjawab, tugas dan kewajipan terhadap golongan yang dipimpinnya sama ada unit masyarakat itu merupakan masyarakat majoriti atau minoriti.


Tempat berurusan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang tidak hanya tertumpu di Pejabat UMNO Marang sahaja, tetapi ia boleh dilakukan di kedai-kedai atau rumah beliau.

Ini menggambarkan Nik Dir merupakan seorang pemimpin yang mudah didampingi dan tidak mengira protokol atau waktu untuk rakyat berurusan.

Beliau yakin dengan kesederhaan yang diamalkannya dalam berurusan dengan masyarakat, pengundi di DUN Rhu Rendang dapat menilai pemimpin BN, seterusnya memilih calon BN pada pilihan raya akan datang.

 

Perkasa sektor pelancongan, alternatif tampung sumber petroleum

Oleh: Suriati Ali

Terengganu komited memperkasakan sektor pelancongan sebagai alternatif menambahkan pendapatan negeri, sekali gus mampu menggantikan sumber petroleum yang semakin menyusut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri perlu bersedia dengan merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan tarikan seperti pulau, tasik dan air terjun, selain keunikan budaya yang mampu menambat hati pelancong luar negara.

Katanya, sektor pelancongan menjadi alternatif penting bagi menggantikan sumber petroleum yang belum tentu bertambah pada masa akan datang.

“Kita mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik selain kaya dengan keindahan alam semulajadi. “Ini mampu menambat hati pelancong, sekaligus menjana pulangan ekonomi kepada negeri.

Di mana kawasan yang berpotensi maju, kita akan perindahkan semata-mata mahu pelancong luar datang berkunjung ke negeri kita,” katanya. Beliau berucap ketika merasmikan Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Sebanyak 18 bot mewakili jabatan dan agensi swasta mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan bot milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dinobatkan sebagai juara, sekaligus membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan hadiah wang tunai RM15,000.

Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.



ABMT anjur seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012

Oleh: Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar

ABMT anjur Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012 Akademi Binaan Malaysia Wilayah Pantai Timur (ABMT) akan menganjurkan seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012 bertempat di Cindai Ballroom, Ri-Yaz Herritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu pada 9 Oktober ini.

Seminar anjuran bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia Negeri Terengganu (CIDB) dan Institut Petroleum (INSTEP) itu akan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang.


Ketua Pegawai Operasi, Encik Maliki Endut, berkata seminar itu bertujuan memberi maklumat, pendedahan dan peluang kepada semua pemain industri pembinaan, khususnya di Terengganu bagi menceburkan diri dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan industri minyak, gas dan petrokimia.

 Katanya, orang ramai dijemput memanfaatkan seminar itu supaya dengan perkongsian ilmu nanti mampu memberi sumbangan kepada negara bagi menjana ekonomi dalam sektor berkenaan.

 

IKBN Kemasik perkenal jenama Youth Port

Oleh: Suriati Ali

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik Kemaman akan menggunakan jenama ‘Youth Port’ bagi memasarkan produk keluaran institut itu kepada golongan muda di negara ini.

Pengarahnya Encik Mohd Zaki Mahmud berkata, buat permulaan, pihaknya akan memasarkan produk bakeri, pastri dan salun di tiga kios milik IKBN Kemasik yang dibina bersebelahan IKBN Kemasik

“Kita buat kios berharga kira-kira RM490,000 itu seumpama konsep R&R (Rawat dan Rehat) dengan menyediakan kemudahan surau, bilik air serta mesin ATM.

“Kios yang terletak di laluan utama Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu kita yakin ia akan mendapat sambutan baik daripada pengguna laluan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perniagaan yang dijalankan itu adalah di bawah kelolaan Koperasi Kakitangan IKBN Kemasik Kemaman Berhad dengan jumlah keahlian 50 orang terdiri daripada pelajar dan kakitangan.

“IKBN Kemasik merupakan IKBN yang pertama mengadakan kios dengan menjual produk yang dibuat oleh pelajar sendiri.

 “Hasil jualan berkenaan akan dimasukkan ke dalam tabung koperasi sebagai pusingan modal dan juga bayaran kepada pelajar,” katanya. Menurutnya, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu pelajar dalam bidang keusahawanan apabila keluar dari IKBN nanti.

 “Jika sudah ada ilmu dan pengalaman berniaga, mudah untuk mereka mencari ruang dan pasaran dalam bidang perniagaan. “Bagi tempoh jangka panjang, IKBN Kemasik akan memasarkan produk jenama Youth Port ke pasaran luar yang lebih luas dan terbuka,”katanya.