Terengganu berada pada kelas tersendiri dalam sektor pendidikan sehingga menjadi ikutan negeri lain, malah Kerajaan Pusat turut menjadikan Terengganu sebagai contoh dalam beberapa program yang dirintis peringkat negeri.
Pendekatan dan usaha yang dipacu kerajaan negeri berjaya memberi impak positif dalam sektor itu, khususnya kejayaan mengekalkan prestasi teratas mengalahkan negeri lain dalam peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Malah, kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada 25 peratus dari bajet tahunan bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak Terengganu bukan hanya dalam jangka masa pendek, juga pada masa akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai `Negeri Anjung Ilmu’ dengan memulakan langkah memperkenalkan program khatam al-Quran yang disertai oleh anak-anak Terengganu yang berumur lima tahun hingga 12 tahun sejak beberapa tahun lalu dan tidak dilaksanakan negeri lain.
Tambahnya, kerajaan juga sentiasa prihatin dan mengambil berat perihal pelajaran anak Terengganu dan sebagai kesinambungan itu kerajaan berusaha menyediakan perancangan mahu pun kaedah terbaik dalam kemudahan pendidikan.
Menurutnya, kaedah itu termasuk memperkenalkan skim kepada pelajar yang cemerlang di peringkat ijazah dan berjaya memperolehi kepujian kelas pertama dengan 3.75 dan ke atas dengan menukarkan pinjaman berkenaan dalam bentuk biasiswa.
“Setiap tahun, kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar demi pendidikan anak-anak Terengganu dan bagi memberi pendedahan serta pengalaman di samping mencari ilmu di negara orang, kerajaan juga terlibat di dalam pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa buah universiti tempatan dan luar negara,” katanya.
Pada masa yang sama, Dato’ Seri Haji Ahmad juga mengingatkan rakyat negeri ini mengamalkan budaya menabung di mana budaya itu memberi banyak manfaat dan faedah di samping meringankan beban ketika mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi berikutan kos yang tinggi selain tidak terlalu bergantung harap kepada pinjaman negeri mahu pun pinjaman dari agensi-agensi lain semata-mata.