Halaman

07 October 2012

Desa cemerlang bila ketua bijak agih tugas

Oleh; Esah Abdullah


Penghakiman pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) berada dipenghujung apabila barisan panel hakim mengunjung negeri terakhir di Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu dalam siri jelajah 13 buah negeri yang terpilih dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan, anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Pengerusi Panel Hakim, Encik Mohd Ali Sebran dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Terengganu merupakan negeri ke-11 yang dikunjunginya dan selepas ini akan ke Sabah dan Sarawak .

“Sebuah komuniti yang baik apabila ketuanya pandai mengagihkan tugas kepada setiap ahli jawatankuasa untuk bersama main peranan membangunkan kampung,”.

“Sebuah desa cemerlang juga apabila pemimpinnya berfungsi mencari sumber kekayaan baru untuk diterokai dan diagih kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya dalam ucapan aluan di majlis Penghakiman ADC Peringkat Kebangsaan di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

 Beliau yang dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi panel hakim pertandingan ADC Kebangsaan sejak 2010 itu mengakui tertarik dengan susunan landskap yang cantik terdapat sepanjang jalan di Kampung Bukit Wan dan teruja kerana diberi kesempatan merasai naik kereta api berhias sambil menikmati keindahan kampung.

 “Saya ingin mengingatkan para hakim agar bersabar dan tidak terburu-buru untuk memberi markah kerana ada lapan aspek perlu dinilai,” katanya secara berseloroh. Lapan aspek yang dinilai untuk ADC ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.

Katanya, setiap kampung yang terpilih mewakili negeri-negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013 baru-baru ini.

 “Sama ada menang atau kalah setiap kampung yang layak ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.