Jalinan kerjasama antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) mampu meneroka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Dekan FST, Prof Dr. Tengku Sifzizul Tengku Muhamad berkata, usahasama ini juga akan dapat merangka dasar yang bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.
“Ia dapat memberi peluang kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan melanjutkan pelajaran dan latihan di UMT,” katanya di Seminar Pemantapan Matematik (Semat) dan Majlis Menandatangani Surat Niat di antara FST dan PKT di UMT semalam.
Hadir sama Pengarah PKT, Hajah Radiah Che Su dan Penyelaras Program Semat, Prof Madya Dr. Sabri Ahmad serta 40 pelajar dan 11 pensyarah PTK mengikuti Seminar Semat.
Katanya, surat niat yang ditangani bersama ini antara lain akan mengadakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran berasaskan teknologi dan multimedia interaktif di samping menjalankan penyelidikan dan kajian bersama dalam bidang-bidang yang dikenalpasti.
Selain itu katanya, UMT juga menyokong dan menggalakkan pensyarah PKT melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran serta memberi peluang kepada pelajar lepasan Diploma menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda di UMT.
“Saya percaya pelajar PKT akan mengambil peluang ini untuk memantapkan diri dalam persediaan untuk mempelajari subjek matematik di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu katanya dapat merancakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan di negara ini serta melonjakkan nama institusi masing-masing ke peringkat antarabangsa.