Halaman

10 October 2012

1,400 penduduk Tepoh terima bantuan JKM

Oleh: Noraini Jusoh

Nasib 1,400 penduduk yang kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang upaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh terbela apabila menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan sejak beberapa tahun lalu.

ADUN Tepoh, YB Ustaz Haji Ramli Nuh menyampaikan ucapan di program  Temu Mesra bersama penerima bantuan bulanan di perkarangan Dewan Sivik Padang Nenas
 Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh meluangkan masa menyerahkan bantuan JKM berjumlah RM83,000 di Majlis Temu Mesra Yang Berhormat Tepoh Bersama Penerima Bantuan Bulanan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dewan SiviK Kampung Padang Nenas itu, semalam (9 Oktober).

Turut hadir, Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan Kuala Terengganu, Encik Zulkifli Mohd Yasin dan Pengerusi JKKK Kampung Padang Nenas, Tuan Haji Zakaria.

Seramai 224 orang penerima bantuan bulanan menerima RM200 hingga RM450 dan hamper setiap seorang di majlis berkenaan.

Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu rakyat yang memerlukan pembelaan tanpa mengira peringkat umur dan kategori.

 “Kerajaan bersedia mendengar rintihan dan membela nasib penduduk negeri ini yang memerlukan pembelaan dan bantuan sepatutnya.

Salah seorang penerima bantuan bulanan mengucapkan terima kasih kepada YB Ustaz Ramli  ketika menerima  bantuan bulanan
“Diharap bantuan ini dapat digunakan dengan sebaik yang mungkin untuk membeli barangan keperluan harian dan barangan yang berfaedah untuk keluarga,” katanya.

 Beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa yakin dan memberi sokongan padu kepada pentadbiran sedia ada selain menyambut baik program yang dianjurkan kerajaan negeri kerana mampu memberi manfaat kepada mereka.