Halaman

10 October 2012

TSG senarai tujuh anak jati galas cabaran Jelajah Hainan

Antara pelumba muda basikal TSG yang bakal membawa cabaran pada Jelajah Hainan di China.
Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) bakal menyenaraikan tujuh anak jati negeri itu bagi menggalas cabaran pada Jelajah Hainan di China dari 20 hingga 28 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hadi Hassan berkata , TSG mahu beri peluang tujuh pelumba tempatan diketuai pelumba handalan negara Mohd Shahrul Mat Amin menimba pengalaman pada kejohanan Asia berstatus 2.0 HC (kategori Hors) itu. Selain Mohd Shahrul, TSG akan dibarisi Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosdi, Saiful Anuar Abdul Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

“Kejohanan itu melibatkan lapan peringkat yang mana jarak setiap perlumbaan adalah sejauh antara 180km dan 210km,” katanya.

 Beliau berkata kejohanan lumba basikal Terbuka Perlis yang berakhir semalam merupakan medan pemanas badan bagi tujuh pelumba berkenaan sebelum menghadapi Jelajah Hainan.

 Kejohanan tersebut menyaksikan Mohd Shahrul menjuarai acara kriterium lelaki elit sejauh 49.5 kilometer manakala Mohd Nor Umardi di tempat kedua acara itu, manakala pelumba ATM, Mohd Adiq Hussaini Othman menduduki tempat ketiga.

 Encik Hadi berkata, pelumba TSG ada 10 hari untuk buat persiapan sebelum ke Hainan, 18 Oktober ini. Mereka akan ditemani jurulatih TSG kelahiran Itali, Sabastian Ducles