Halaman

07 October 2012

Peruntukan RM2 juta tambah baik jaringan IKS tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menyediakan RM2 juta bagi menambah baik dan memajukan jaringan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Terengganu  pada tahun depan.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Haji  Azmi Razik, berkata peruntukan  yang disalur menerusi YPU meningkat 100 peratus berbanding dana yang diterima tahun ini.

"Dana ini meliputi modal pinjaman dan modal pusingan yang akan diberi kepada usahawan IKS sedia ada, malah YPU menggalakkan agar rakyat Terengganu terus menceburi perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya.

Haji Azmi juga meminta rakyat negeri ini merebut peluang dana sebanyak RM1 bilion seluruh Malaysia yang disediakan untuk pengusaha IKS seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini.

 Mengenai ekspo itu yang bermula Khamis sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 114 pengusaha IKS mengambil bahagian dan daripada jumlah itu 73 orang dari Terengganu, 30 dari Kelantan dan 11 pengusaha dari Pahang.

 Haji Azmi berkata melalui ekspo itu, produk terbaik dari Terengganu akan dipilih untuk menyertai pameran di 'Showcase SDSI' peringkat antarabangsa di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Disember ini.

"Matlamat kita untuk meningkatkan taraf hidup usahawan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat seterusnya menjana sosioekonomi Terengganu berjaya dicapai dengan penganjuran ekspo ini," katanya Setakat ini terdapat kira-kira 21,000 usahawan IKS di Terengganu.