Halaman

07 October 2012

Produk ekspo SDSI dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menganjurkan Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mampu mempromosi dan mengetengahkan produk-produk Insdustri Kecil Sederhana (IKS) secara berkesan kepada pelanggan.

Ekspo yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya demontrasi membuat coklat, masakan pelbagai produk antara daerah-daerah, pertandingan memasak nasi dagang dan persembahan kesenian dan kebudayaan.


Pada program sama turut diadakan Terengganu Chocolate & Bakery Fair 2012 sebagai langkah memperkenalkan pelbagai produk baru.

Tinjauan Teganukita mendapati sebanyak 114 pengusaha IKS dari Pahang, Terengganu dan Kelantan mengambil peluang mempromosi produk masing-masing di setiap kiosk yang disediakan penganjur.

 Orang ramai yang mengunjungi ekspo tidak melepaskan peluang membeli pelbagai produk IKS yang dijual dengan harga sangat berpatutan.

Rata-rata mereka tidak jemu untuk singgah di setiap gerai kerana selain berpeluang mengetahui kaedah membuat produk, pada masa sama berpeluang merasainya.

Pengurus Pemasaran Syarikat Nangka Madu Mastura, Maran, Pahang, Hifzul Akhtar Ismail, berkata terima kasih kepada penganjur kerana sudi menganjurkan ekspo seumpama ini yang jelas dapat membantu pengusaha IKS.

“Ia bukan saja dapat membantu usahawan memperkenalkan produk masing-masing malah menjadi tempat rujukan dan bertukar padangan bersama usahawan di tiga negeri,” katanya.

Usahawan MT Wannur Enterprise, Wan Lijah Wan Jusoh, berkata pelbagai produk seperti pasu bunga, bekas telur dan rantai kunci yang diperbuat daripada akhbar dan majalah lama mendapat sambutan menggalakkan.