Halaman

08 October 2012

Dayana Chacho muncul johan deklamasi puisi bulan bahasa

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) Dayana Chacho, 21, diumumkan sebagai johan Kategori Terbuka Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri malam tadi.

Beliau yang berasal dari Sabah memilih sajak `Warkah Buat Bonda’ karya Salmiah Ismail mengalahkan lima lagi peserta termasuk johan menunggu dalam pertandingan akhir itu.

Pelajar tahun pertama jurusan Kaunseling itu menerima wang tunai RM800, medal dan sijil.

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori terbuka dimenangi penuntut dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit, Sharvina Sara a/p Chandi Bal dan Nor Atiekah Hidayah Hussain.

Masing-masing menerima wang tunai RM600 dan RM400 serta sijil. Tiga lagi peserta yang mendapat hadiah saguhati ialah Azahari Ibrahim (johan menunggu), Tengku Anizan Tengku Ibrahim dan Junita Mohamad.

Bagi kategori sekolah menengah dimenangi oleh pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Mohd Ramdan Kamal Md Jamal dengan sajak `Inilah Suara Bangsa’ karya Sharif Putera.

Tempat kedua dimenangi oleh Nur Syahidah Suhaimi, 14, pelajar SMK Tengku Ibrahim Setiu, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Fatihah Ariffabilah, 14, dari SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun. Pemenang menerima wang tunai RM500, RM300 dan RM200 serta sijil kecuali juara turut menerima medal.

Tiga peserta yang menerima hadiah saguhati ialah Noor Azreen Ismail (SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun), Nor Ainn Alfatihah Zamzuri (SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Batu Rakit) dan Nur Akmaliah Alias (SMK Seri Berang, Kuala Berang)

Sementara itu, bagi kategori sekolah rendah dimenangi oleh Siti Nur Zulaikha Mat Lazim, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Kemaman, tempat kedua dan ketiga merupakan pasangan adik beradik Nur Dalila Abd Razak, 7, dan Nur Aisyah Syukriah Abd Razak, 9, masing-masing dari SK. Batu 29, Setiu.

Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Sasteranwan Terengganu (Pelita) itu diadili oleh Ketua Biro Utusan Melayu Terengganu Encik Wan Zulkifli Wan Yaakub. Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Timur, Encik Sharul Rizal Hashim dan Ketua 11 Pelita, Encik Abdul Mubin Ismail selaku ketua hakim.

Semua hadiah pertandingan disampaikan oleh Ketua Unit Penerbitan DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam Juhari. Turut hadir Ketua 1 Pelita, Syed Mohd Nor Tuan Long.