Halaman

13 October 2012

UMT terajui usaha martabat Bahasa Melayu


Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi kepercayaan untuk menerajui usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau ini.

Sehubungan itu, sebuah Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara telah dibentuk dengan penyertaan 10 buah IPT iaitu enam dari Malaysia, tiga dari Indonesia manakala sebuah dari Brunei.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, majlis itu akan membincangkan kaedah atau pendekatan untuk menterjemahkan langkah mengangkat nilai bahasa Melayu ke tahap lebih tinggi dengan penggunaan lebih meluas. 

Katanya, walaupun UMT merupakan sebuah universiti yang baru bertapak dalam negara, kepercayaan diberikan adalah tanggungjawab universiti itu untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT.

"Pemilihan UMT sebagai lokasi perbincangan ialah kerana faktor ramai penduduk Melayu tinggal di pantai timur dan kedudukan geografi negeri ini sesuai dijadikan pusat bahasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara itu akan ditempatkan di bawah kendalian Fakulti Pembangunan Sosial memandangkan fakulti tersebut telah mempunyai pusat bahasa serta ahli akademik yang telah berkecimpung dalam isu-isu berkaitan bahasa sejak ditubuhkan.

Jelasnya, UMT akan mengadakan perbincangan bersama IPT lain dalam rangka mewujudkan sekretariat atau unit lebih khusus dengan beberapa siri program berkaitan bahasa Melayu.

Jelasnya, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memberi dana kepada universiti itu untuk menganjurkan beberapa siri kajian tindakan bagi mencari kelemahan penggunaan bahasa tersebut seterusnya mengemukakan dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif baru.

 Menurutnya, adalah sangat penting untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di IPT agar dapat mengelakkan penghakisan pengunaannya sebagai bahasa ilmu.

"Masyarakat kini hanya melihat bahasa Inggeris mempunyai nilai ilmu kerana perubahan arus globalisasi, namun di negara lain seperti Korea, Jepun, Jerman dan Perancis, bahasa mereka ada nilai.

"Apa yang penting, sesebuah bahasa itu boleh diberi nilai dan bergantung kepada dua landasan iaitu negara itu sendiri memberi perhatian kepada bahasanya dan mesti berasaskan ilmu," jelasnya.