Halaman

13 October 2012

Nasib Nelayan Terengganu Tidak Diabaikan

Nasib nelayan di Terengganu tidak pernah diabaikan sama sekali oleh pihak kerajaan negeri mahupun Pusat.

Menerusi program ‘Touch Point’ sejumlah RM211,049.00 peruntukan telah diluluskan oleh pihak kerajaan untuk membantu membaikpulih kolam dan sangkar ternakan kira-kira 887 golongan nelayan dan penternak di seluruh negeri ini.

Dato' Haji Ahmad Razif menunjukkan cara memakai jaket keselamatan dengan cara yang betul kepada seorang nelayan pantai. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata program ‘Touch Point’ merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan serta mengurangkan bebanan kos operasi mereka (nelayan dan penternak).

Nelayan menolak bot yang dimuatkan unjam daun kelapa untuk diletakkan di beberapa lokasi bagi menambahkan lagi jumlah tangkapan ikan.
Menurut beliau, kerajaan negeri hari ini sentiasa berusaha mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat terutamanya para nelayan khususnya di perairan pantai Tok Jembal ini.

“Pelbagai bantuan telah diberikan seperti bantuan dalam bentuk makanan ikan,jaket keselamatan dan pemberian bot untuk kemudahan nelayan mencari rezeki halal untuk menyara keluarga.

Oleh hal yang demikan, saya berharap para nelayan dan penternak yang ada pada hari ini sentiasa mencari alternatif lain seperti mengusahakan satu produk baru berasaskan hasil tangkapan laut untuk memberi nilai tambah kepada produk sedia ada supaya pendapatan isi rumah penduduk di sini terus meningkat.” katanya.


Dalam ucapan perasmian Program Touch Point, Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam anjuran Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal itu juga, Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif turut menyatakan bahawa kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Seberang Takir sebagai “Sea Felda” atau Felda Laut.

“Pembangunan kawasan Seberang Takir akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi masih mengekalkan tradisi nenek moyang dengan menjadikan laut sebagai sumber rezeki cuma kita akan gunakan pendekatan berbeza yang lebih sistematik.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM 9 juta untuk pembaikian pesisir pantai Tok Jembal ini selain RM 10 juta diperuntukkan dalam tahun 2006 hingga 2012 untuk pembinaan tukun konkrit penghalang pukat tunda di kawasan ini.”ujarnya.


Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu iaitu Profesor Ibrahim Mamat sedang berusaha mengumpul data penduduk setempat untuk mengukur tahap kemiskinan seterusnya membantu golongan ini menjana pendapatan berasaskan sumber laut.

Dalam menghadapi musim tengkujuh pula, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan sebanyak RM 200 sebulan kepada para nelayan menerusi peruntukan RM230 juta khusus buat golongan nelayan melalui pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

Justeru, Dato’ Haji Ahmad Razif mengharapkan golongan nelayan sentiasa menyokong Barisan Nasional supaya nasib mereka terus terbela.

Seramai kira-kira 250 orang hadir pada majlis perasmian tersebut. Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Haji Mohd Shafee Mohamad; Ketua-ketua KPEP dan ketua-ketua nelayan.