Halaman

09 October 2012

23, 025 calon duduki PMR seluruh Terengganu bermula hari ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Seramai 23,025 pelajar Tingkatan Tiga termasuk 124 daripada mereka adalah calon berkeperluan khas (CBK) seperti buta, pekak, bisu, rabun, spastik dan lembam mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini.

Kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 192 pusat peperiksaan melibatkan 135 sekolah bantuan penuh kerajaan; tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); masing-masing dua dan empat swasta dan persendirian.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, berkata seramai 22,229 adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; 495 calon MRSM; 73 calon swasta dan 228 calon persendirian.

"Alhamdulillah, permulaan peperiksaan PMR kali ini berjalan dengan baik dan kita harap ia berterusan sehingga tempoh peperiksaan tamat pada Selasa ini," katanya.

Katanya, cuaca baik pada peperiksaan kali ini juga memberi kelebihan dan keselesaan kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan dengan lancar.

Beliau juga berharap kesemua calon dapat menempuhi peperiksaan tanpa sebarang masalah, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua subjek diambil agar mendapat keputusan cemerlang sekali gus memastikan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan awam itu nanti.

Sehubungan itu juga, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberi kata-kata semangat kepada calon PMR menerusi laman sosial facebook beliau.

 “Selamat berjaya saya ucapkan kepada pelajar Tingkatan Tiga yang akan menduduki PMR yang bermula hari ini.

 “Marilah kita sama-sama mendoakan agar mereka dipermudahkan untuk menghadapi peperiksaan ini dengan lancar.”katanya.

Beliau turut mengharapkan generasi pewaris itu dapat meneruskan prestasi cemerlang negeri Terengganu dalam bidang pendidikan.

 Dalam pada itu, sejumlah 481,424 pelajar Tingkatan Tiga akan menduduki PMR berrmula hari ini sehingga 16 Oktober ini di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), daripada jumlah itu, 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah kerajaan seperti MRSM.

Sebanyak 10,051 calon dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

 Manakala 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.