Halaman

13 October 2012

Jentera Umno lakukan tugas mulia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Jentera pilihan raya Umno melakukan perbuatan mulia melalui tugas mereka mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata tugas yang dilakukan petugas Umno sekarang ini akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah kerana mereka berjuang untuk memastikan agama Islam terus menjadi agama rasmi negara.

Sebaliknya, kata beliau, perjuangan Pas yang didakwa jihad oleh pengikut parti itu bukannya jihad kerana mereka sering melakukan fitnah dan pelbagai perbuatan keji yang bercanggah dengan ajaran agama.

“Perjuangan Pas bukan jihad kerana mereka melakukan fitnah dan dakyah bagi memburuk-burukkan kerajaan BN yang bersusah payah menegakkan syiar Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.

Haji Shamsuddin berkata, Umno dan BN menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat seluruh negeri, termasuk di bidang pendidikan dan agama.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu menukar kerajaan. Kini menjadi tugas besar jentera Umno untuk menjelaskan segala kekeliruan di kalangan rakyat supaya mereka menyokong Kerajaan BN pada PRU 13,” katanya.