Halaman

11 October 2012

Web kamera pantau banjir dipasang di empat lokasi

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Web kamera pemantau banjir dipasang di empat kawasan berisiko banjir di Terengganu sebagai langkah berwaspada dan meningkatkan keselamatan nyawa serta harta benda sepanjang musim tengkujuh bermula tahun ini.

 Sehubungan itu, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan memasang web kamera berkenaan di Kampung Gong Terap, berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh (Setiu), Jambatan Jerteh dan Kampung La (Besut). 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata bermula tahun ini, pihaknya akan memastikan empat kawasan berisiko itu dilengkapi web kamera pemantau banjir selain mengekalkan pemasangan 25 siren amaran banjir di seluruh Terengganu.

“Empat lokasi iaitu di Kampung Gong Terap berdekatan dengan Jambatan Kampung Gong Terap, yang keduanya, berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, Setiu iaitu jalan ke Kampung Hulu Seladang. Ketiga, di jambatan Jerteh, (Besut) berdekatan dengan Balai Polis Trafik Jerteh dan keempat di Kampung La, Besut, iaitu berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung La. Web kamera akan beroperasi pada tahun ini.

 “Siren amaran banjir kita ada di 25 kawasan seluruh negeri iaitu Besut (lima), Setiu (enam), Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Marang dan Dungun, masing-masing dua unit dan Kuala Terengganu satu,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam (10 Oktober).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dato’ Mazlan berkata, kerajaan negeri sentiasa meningkatkan langkah keselamatan dan juga persiapan menghadapi musim tengkujuh dan banjir di negeri ini menerusi jawatankuasa yang dibentuk melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan juga Persekutuan.

Sebelum itu, beliau meminta semua penduduk negeri ini sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku air pasang tinggi, walaupun berdasarkan laporan kaji cuaca jumlah taburan hujan seluruh Terengganu berada pada paras purata.

 “Cuaca tahun ini dijangka dari segi laporan kaji cuacanya, berkaitan hujan adalah dalam paras purata. Cuma dibimbangi lebih dari paras purata.

 “Sebagai contohnya, bulan November nanti, dijangka hujan antara 570 hingga 860 milimeter pada paras purata, pada Disember adalah 430 hingga ke 660 milimeter. Bagaimanapun yang kita bimbangnya apabila air pasang tinggi di mana dijangka air pasang tinggi pada November adalah dua kali, iaitu pada 14 hingga 19 November dan 27 hingga 30 November. Manakala, pada Disember pada 12 hingga 19 Disember dan 25 hingga 31 Disember. Kita bimbangnya apabila hujan berlaku pada musim ini, air tidak turun ke laut,” katanya.